Najib Umum Peruntukan RM15 Juta Kepada Kedah

S. Adie Zul
2016.02.05
160205-my-utc620 Perdana Menteri Najib Razak disambut orang ramai semasa tiba pada majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar UTC mini di Sungai Petani, Kedah, 5 Febuari 2016.
BeritaBenar

Sehari selepas kemelut politik Kedah berakhir, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk membina sebuah kompleks penjaja di Sungai Petani, yang dilihat sebagai sokongan Putrajaya terhadap Menteri Besar yang baru.

Peruntukan itu diluluskan oleh Najib selepas ucapan sulung Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Menteri Besar baru Kedah, yang  menyuarakan kepada Perdana Menteri semasa majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) mini di Sungai Petani pada Jumaat.

Dalam ucapannya itu, Ahmad Bashah meminta Najib mempertimbangkan permintaannya untuk membina sebuah kompleks untuk penjaja kecil bagi daerah Kuala Muda yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM15 juta.

Ahmad Bashah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru pada Khamis, selepas Mukhriz Mahathir, anak bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, melepaskan jawatannya sebagai pemimpin tertinggi negeri itu sehari sebelumnya, setelah berdepan dengan kemelut politik lebih dua minggu.

Pergolakan politik di negeri itu berlaku selepas Ahmad Bashah mengadakan satu sidang media yang mendakwa 14 ketua UMNO bahagian dan beberapa anggota Parlimen Barisan Nasional negeri telah hilang keyakinan kepada kepimpinan Mukhriz, yang didakwa gagal menyusun gerak kerja parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang perlu dijalankan dalam tempoh dua tahun.

“Saya luluskan permohonan peruntukan RM15 juta untuk membina kompleks tersebut asalkan tujuan kita baik untuk tolong peniaga yang duduk merata tempat, bersepah-sepah, kita kumpul di satu tempat,” kata Najib dalam ucapannya itu.

Projek mini UTC yang dirasmikan oleh Najib itu adalah pengubahsuaian Kompleks Ukir Square yang merupakan idea Mukhriz selepas projek UTC pertama di Alor Star, tiga tahun lepas.

‘Utamakan rakyat’

Dalam ucapannya itu, Najib turut memberi jaminan bahawa pentadbirannya akan tetap mengutamakan golongan rakyat yang memerlukan walaupun kerajaan kehilangan RM40 bilion akibat kejatuhan mendadak harga minyak dunia.

Najib turut menegaskan kerajaan akan terus menangani beban yang ditanggung rakyat dengan memberi contoh dalam kajian semula bajet 2016, pesawah padi di Kedah bakal menerima tambahan RM50 bagi setiap tan metrik padi yang mereka hasilkan.

Perdana Menteri sebelum itu, merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaa Tamil Jalan Paya Besar di Kulim, juga di Kedah.

Sementara itu, rakyat Kedah yang ditemui pada majlis perasmian berkenaan mengakui mereka masih terkejut dan cuba menyesuaikan diri dengan peralihan kuasa Menteri Besar yang dianggap sebagai "secara tiba-tiba" itu.

Che Yah Mohd Ali, 52, seorang suri rumah dari Sungai Petani mengakui merasa amat kecewa dengan pergolakan politik negeri itu sejak dua minggu lalu sehingga membawa kepada perletakan jawatan Mukhriz pada Rabu.

Menurutnya, apa yang berlaku sememangnya tidak dijangka kerana dia tidak nampak apakah kelemahan atau kesalahan Mukhriz sehingga secara mendadak pemimpin UMNO Kedah mendakwa mereka hilang keyakinan terhadap beliau.

"Memang sangat terkejut. sebagai rakyat Kedah, saya amat kecewa dengan apa yang berlaku. Anak-anak saya yang masih belajar menghubungi saya dan bertanya apa yang telah berlaku dan mengapa Mukhriz meletak jawatan.

"Mukhriz adalah pemimpin muda yang memiliki pelbagai idea baru untuk pembangunan di Kedah. Ramai rakyat negeri ini sayangkannya, termasuk pelajar sekolah pondok mahu dia terus menerajui Kedah," ujarnya.

Safilas Osman pula berkata apa yang berlaku tidak dapat diubah dan rakyat Kedah kini akan menilai kemampuan Ahmad Bashah dalam mentadbir negeri itu sehingga pilihan raya umum akan datang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.