Malaysia Bincang dengan Thailand Mengenai Tahanan Etnik Uyghur – TPM

Razlan Rashid
2018.02.20
Kuala Lumpur
180220_MY-uyghurs-620.jpg Penyokong-penyokong etnik Uyghur memegang bendera Turki (kanan) dan Turkestan Timur - istilah yang digunakan kebanyakan pemisah Uyghur dan Turki untuk merujuk kepada tanah air Uyghur di wilayah Xinjiang di China - ketika mereka melaungkan pelbagai slogan semasa demonstrasi di luar Kedutaan China di Ankara, 9 Julai, 2015.
[AFP]

Malaysia sedang berbincang dengan Thailand mengenai nasib 11 orang etnik Uyghur yang melarikan diri dari penjara negara itu tahun lepas, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Selasa, di tengah-tengah tuntutan Beijing supaya Malaysia menghantar pulang kesemua tahanan itu ke China.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan menyelesaikan masalah itu secara diplomatik dan tanpa menyinggung perasaan mana-mana negara.

"Kami sedang berbincang dengan pihak Thailand," kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri.

Kesemua 11 lelaki itu adalah antara 20 orang etnik Uyghur yang meloloskan diri dari sel tahanan mereka di selatan Thailand pada November lalu, menurut pegawai Malaysia.

"Kami akan mengambil tindakan yang tidak akan menyinggung perasaan mana-mana negara," kata Ahmad Zahid kepada pemberita di Kuala Lumpur, tanpa mengulas lanjut.

"Keputusan itu, Insya-Allah, akan menjadi keputusan terbaik," kata beliau.

Semasa ditanya sama ada Malaysia merancang untuk menghantar tahanan Uyghur itu kembali ke Thailand, timbalan perdana menteri menjawab: "Saya tidak berkata sedemikian, tetapi kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai diplomasi dan keselamatan dengan negara-negara yang terlibat."

Beliau berkata, Malaysia akan mengambil kira kebimbangan yang disuarakan oleh kumpulan-kumpulan  hak asasi manusia dari rantau ini serta bahagian lain di dunia.

Pegawai Thailand tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan lanjut.

Awal bulan ini, BeritaBenar melaporkan bahawa pegawai-pegawai Cina yang tidak dikenali telah berhubung dengan pihak Malaysia untuk mengatur kemungkinan penghantaran pulang tahanan Uyghur itu ke China.

Kesemua tahanan Uyghur itu telah disoal siasat tetapi dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan militan, menurut dua pegawai keselamatan Malaysia yang enggan dinamakan semasa memberikan maklumat secara berasingan.

Para pegawai berkenaan tidak memberitahu bila etnik Uyghur itu ditahan.

Pada 9 Feb lalu, Human Rights Watch yang berpejabat di New York telah menggesa Malaysia supaya memastikan tahanan Uyghur itu tidak dipaksa pulang ke China, di mana mereka dipercayai menghadapi "ancaman dipenjarakan dan penyeksaan."

Sebelas tahanan itu harus diberi "akses segera" kepada prosiding Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian  bagi menentukan status mereka sebagai pelarian, kata badan pemerhati hak asasi itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat menyuarakan kebimbangannya mengenai  kemungkinan pengusiran tahanan Uyghur itu ke China.

"Kami menggesa pihak berkuasa China untuk menegakkan norma-norma hak asasi manusia antarabangsa berhubung dengan individu yang telah kembali ke China, dan memastikan ketelusan, proses sewajarnya, serta keselamatan dan layanan sepatutnya terhadap kesemua individu ini," kata pegawai Jabatan Negara kepada BeritaBenar bulan ini .

Etnik Uyghur berasal dari wilayah Xinjiang barat di China di mana kumpulan hak asasi berkata, peraturan amat ketat pihak berkuasa telah memaksa ramai daripada minoriti Islam itu melarikan diri ke luar negara.

Kesemua 20 orang etnik yang melarikan diri dari pusat tahanan Thailand pada November 2017 adalah antara lebih 200 orang Uyghur yang ditahan pada Mac 2014 selepas ditemui di tempat pelancongan popular di wilayah Songkhla selatan Thailand. Tidak jelas bagaimana mereka tiba di sana.

Etnik Uyghur itu, yang bertutur dalam bahasa Turki, mendakwa bahawa mereka adalah orang Turki dan menuntut agar mereka dibenarkan pergi ke Turki tetapi Thailand menempatkan mereka dalam tahanan ketika pihak berkuasa cuba mengesahkan kewarganegaraan mereka.

Ketegangan terus berleluasa di Xinjiang, di mana etnik Uyghur telah lama merungut tentang meluasnya diskriminasi, serta penindasan agama dan budaya di bawah pemerintahan Cina.

China menyalahkan etnik Uyghur bagi serangan "pengganas", tetapi kumpulan hak asasi menuduh tindakan polis China terhadap isi rumah Uyghur serta menyekat amalan Islam mereka antara sekatan lain yang mengekang kebebasan mereka.

Bulan lepas, Radio Free Asia (RFA), sebuah entiti BeritaBenar, memetik seorang pegawai keselamatan yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa kira-kira 120,000 etnik Uyghur sedang ditahan dalam "kem pendidikan semula" politik di daerah Kashgar di wilayah Xinjiang yang terletak di barat daya China.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.