Malaysia Lulus Pendaftaran Bersyarat Vaksin COVID-19 AstraZeneca dan Sinovac

Kelulusan kesemua vaksin berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah pada Selasa.
Noah Lee & Dizhwar Bukhari
2021.03.02
Kuala Lumpur
Malaysia Lulus Pendaftaran Bersyarat Vaksin COVID-19 AstraZeneca dan Sinovac Vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech yang digunakan semasa proses vaksinansi kepada petugas barisan hadapan di Hospital Universiti Teknologi Mara (UITM), Sungai Buloh, Selangor, 2 Mac 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi dua lagi vaksin COVID-19 yang dikeluarkan oleh firma AstraZeneca dari Sweden dan Sinovac, keluaran negara China untuk kegunaan dalam negara, kata Ketua Pengarah Kesihatan pada Selasa, seminggu selepas program imunisasi kebangsaan digerakkan menggunakan vaksin Comirnaty keluaran syarikat Pfizer-BioNTech dari Jerman.

Pada hari yang sama, kerajaan turut mengumumkan pelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sebelum ini dikenakan bagi mengekang penularan pandemik itu di beberapa negeri, selepas menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu kadar jangkitan COVID-19 merekodkan penurunan.

Noor Hisham Abdullah memberitahu satu sidang media di Putrajaya bahawa keputusan meluluskan dua lagi vaksin itu dibuat semasa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali ke-354 Berkenaan Pendaftaran Vaksin COVID-19 yang bersidang pada Selasa.

"Mesyuarat telah bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi produk vaksin COVID-19 berikut.

"Yang pertama ialah vaksin COVID-19 Astrazeneca dikilangkan Medimmune Pharma BN Netherland, dan yang kedua, vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences dari China," kata Noor Hisham.

Selain itu, Ketua Pengarah berkenaan juga memberitahu pihak berkuasa kesihatan juga telah memberikan kelulusan bersyarat untuk sumber kedua vaksin Comirnaty, yang dikilangkan oleh syarikat BioNTech Manufacturing GmbH di Mainz, Jerman.

Untuk rekod, vaksin Comirnaty yang dikilangkan oleh Pfizer Manufacturing Belgium NV dari Puurs, Belgium, adalah yang pertama mendapat kelulusan bersyarat dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada Januari lepas.

Menurut Noor Hisham, pendaftaran bersyarat itu memerlukan semua syarikat terbabit untuk mengemukakan analisis data-data tambahan dan terkini vaksin mereka kepada NPRA secara 'rolling submission', bagi dinilai badan tersebut untuk memastikan keberkesanan dan keselamatan produk.

Selain tiga jenis vaksin tersebut, Kementerian Kesihatan juga sedang membuat penilaian ke atas vaksin Sputnik V keluaran syarikat Gamaleya dari Rusia, serta permohonan dari pemegang lesen pendaftaran Sinovac - Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd - untuk mendaftarkan vaksin CoronaVac yang dikilangkan syarikat Malaysia itu.

"Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD. Kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa Malaysia mencapai imuniti kelompok (herd immunity) selaras dengan sasaran Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan," kata beliau.

AstraZeneca dari kilang di Thailand

Dalam pada itu, menurut laporan media tempatan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, "Vaksin AstraZeneca telah memenuhi pesanan melalui kilang pembuatan yang berbeza di seluruh dunia.

"Untuk Malaysia dan Asia Pasifik, mereka akan mengeluarkan vaksin itu di sebuah kilang di Thailand. Bukan dari kilang di Belanda. Ini bermaksud kilang di Thailand perlu mendapatkan kelulusan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebelum boleh menggunakannya di Malaysia.

"Ini untuk memastikan kilang terbabit memenuhi standard kualiti yang diperlukan. Kami sedang menunggu pihak Astra menyerahkan dokumen berkaitan mengenai kilang terbabit," katanya dalam beberapa siri ciapan di Twitter.

Agensi berita Nasional Malaysia Bernama pada Selasa pula melaporkan yang Presiden AstaZeneca bagi Malaysia Dr Sanjeev Panchal sebagai berkata kelulusan bersyarat oleh kerajaan Malaysia itu membolehkan syarikat berkenaan membekalkan sejumlah 6.4 juta dos Vaksin COVID-19 AstraZeneca kepada penerima.

Putrajaya sebelum ini berkata, Malaysia telah berjaya mendapatkan akses keseluruhan sebanyak 12.8 juta dos bekalan vaksin AstraZeneca kepada rakyatnya.

Malaysia telah memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Feb, dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Noor Hisham menjadi antara individu terawal menerima suntikan vaksin.

Program itu bertujuan untuk mewujudkan komuniti kelompok di Malaysia bagi melawan pandemik COVID-19 dan mensasarkan 80 peratus populasi dan terbesar dilaksanakan di seluruh negara.

Program berkenaan juga melibatkan tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan golongan petugas barisan hadapan yang bermula pada 24 Feb sehingga April depan, diikuti Fasa kedua disediakan kepada kumpulan berisiko tinggi yang akan bermula pada April sehingga Ogos.

Manakala fasa terakhir melibatkan golongan dewasa berusia 18 tahun yang dijadualkan bermula pada Mei dan dijangka selesai pada Feb 2022.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitternya, seramai 43,881 individu telah menerima suntikan vaksin dos pertama COVID-19 setakat jam 2 petang Selasa, manakala jumlah mereka yang telah mendaftar untuk mendapatkan imunisasi adalah seramai 1.66 juta individu.

Kerajaan Malaysia sebelum ini juga telah mengumumkan bahawa program vaksinasi percuma itu akan turut melibatkan semua warga asing yang tinggal di negara itu, termasuk migran tanpa dokumen sah, dengan tujuan mewujudkan imuniti kelompok terhadap virus COVID-19.

Sehingga kini, Malaysia telah berjaya mendapatkan akses bekalan vaksin sebanyak 66.7 juta dos melalui Fasiliti COVAX dan pembelian awal daripada lima pengeluar vaksin COVID-19.

Penukaran status PKP

Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penukaran status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang, bermula 5 Mac ini.
Menurut beliau, keputusan berkenaan dibuat oleh sidang khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan COVID-19 selepas mendengar penilaian risiko yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan.

"KKM mengesahkan kes COVID-19 di seluruh negara ketika ini telah menunjukkan trend penurunan. Begitu juga dengan kadar kebolehjangkitan atau nilai R-naught juga menurun daripada 1.2 kepada 0.8. Selain itu, kes kluster dan sporadik serta kes dalam komuniti juga menurun.

"Atas cadangan serta penilaian risiko oleh KKM, sidang khas membuat keputusan bahawa semua empat negeri PKP iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang ditukar status kepada PKP Bersyarat PKPB)," kata Ismail, merujuk kepada nama yang digunakan untuk perintah kawalan yang sedikit longgar berbanding PKP secara total.

Empat negeri berkenaan adalah yang terakhir masih dikenakan PKP, selepas kerajaan melonggarkan kawalan ke atas negeri-negeri lain ekoran penurunan jumlah kes positif.

Ismail berkata kerajaan juga bersetuju untuk membenarkan perjalanan merentas daerah di semua negeri, kecuali Sabah. Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Pelonggaran PKP tersebut menyaksikan aktiviti pelancongan dibenarkan beroperasi semula, termasuklah taman tema dan pusat hiburan keluarga, serta pusat-pusat urut dan spa, selain majlis keramaian rasmi dan tidak rasmi serta sosial seperti kenduri dan sambutan hari lahir turut dibenarkan.

Bagaimanapun had kehadiran bagi semua aktiviti tersebut ditetapkan pada 50 peratus daripada kapasiti sebenar premis untuk negeri-negeri di bawah PKPB.

Kementerian Kesihatan pada Selasa turut mencatatkan jumlah kes positif COVID-19 harian yang terendah pernah direkodkan pada tahun ini, iaitu sebanyak 1,555 kes.

Menurut sidang media Noor Hisham itu, bilangan kes baharu meningkatkan jumlah kumulatif kes positif kepada 304,135 dengan enam lagi kes kematian menjadikan jumlah total meningkat kepada 1,141 orang.

Noor Hisham memberitahu pemberita bahawa mereka menjangka kadar jangkitan COVID-19 akan terus menurun dengan jumlah kes yang rendah direkodkan pada Selasa.

"Hari ini 1,555 kes dilaporkan, iaitu kurang daripada unjuran untuk R-nought 0.8 iaitu pada Zon Merah. Jadi kita menjangkakan R-nought hari ini akan turun kurang daripada 0.91 seperti yang dicatatkan semalam (1 Mac)," kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.