Menteri Dalam Negeri Pertahan Polisi, Tangkapan Pendatang Asing Tanpa Dokumen Mudahkan Vaksinasi
2021.06.03
Kuala Lumpur

Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Khamis mempertahankan polisi yang diumumkannya baru-baru ini bahawa pihak berkuasa akan menjalankan operasi menangkap pendatang asing tanpa dokumen sah ketika perintah berkurung berlangsung di negara itu, dengan menyatakan bahawa ia adalah satu langkah untuk mendokumentasikan, diimunisasi dalam usah mengekang penularan wabak COVID-19.
Hamzah Zainudin berkata bahawa migran yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah tidak akan mendaftar untuk menyertai program vaksinasi yang dijalankan negara, dan disebabkan itu kerajaan akan bekerjasama dengan majikan mereka serta pihak kedutaan bagi mendapatkan dokumen untuk mereka yang ditahan supaya boleh diinokulasi atau deportasi ke negara asal mereka
Kata beliau, perbincangan sudah dibuat dengan kedutaan asing mengenai rancangan tersebut, dan lebih banyak pusat tahanan sementara kini dalam pembinaan bagi menempatkan para migran sementara menunggu giliran mereka diberikan suntikan vaksin COVID-19 selepas ditangkap pihak berkuasa.
"Kita tidak boleh memberikan vaksin kepada orang yang tidak mempunyai dokumen, kerana pendaftaran memerlukan identiti. Bagaimana mereka yang tiada dokumen mahu mendaftar?
"Saya hendak menjaga rakyat kita, sebab itu kita buat operasi supaya selepas ditangkap nanti, kita akan beri mereka vaksin. Kita akan bekerjasama dengan majikan dan kedutaan untuk dapatkan dokumen sah, dan selepas itu kita bagi vaksin." Hamzah berkata kepada media selepas melawat sebuah pusat tahanan sementara yang terletak di Beranang, tidak jauh dari Kuala Lumpur.
Kenyataan Hamzah itu, bagaimanapun bertentangan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin beberapa bulan lepas yang berkata bahawa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan merangkumi warga negara asing yang tidak berdokumen, dengan jaminan bahawa kerajaan tidak akan menangkap mereka yang tampil untuk vaksinasi.
Ditanya samada rancangan operasi itu satu perkara yang bertentangan dengan jaminan Putrajaya bahawa golongan pelarian dan migran tanpa dokumen tidak akan ditahan ketika tampil untuk disaring, Hamzah berkata operasi itu adalah untuk "membantu" pendatang.
"Sekiranya seorang pendatang itu mempunyai majikan tetapi tiada dokumen, kita akan bantu mereka mendapatkan (dokumen). Tetapi bagaimana pula dengan migran di luar sana yang tiada majikan?
"Operasi ini kita lakukan supaya kita tanya berapa lama mereka ada sini, jika tiada dokumen kita hendak bantu tangkap dan bantu daftarkan mereka. Kalau mereka ada majikan kita hendak pastikan panggil majikan dan dibantu," kata beliau.
Menurut Hamzah lagi, selepas migran yang ditahan diberikan imunisasi, mereka akan diberikan pilihan untuk terus bekerja di Malaysia atau pulang ke negara asal.
"Kita lakukan untuk kebaikan rakyat dan untuk membantu migran yang tiada dokumen. Ahli-ahli parlimen yang perjuangkan mereka ini sepatutnya menjadi penaja untuk mereka yang tiada dokumen, bawa jumpa kita dan kedutaan dan beri dokumen sah supaya boleh daftar untuk vaksin," tambahnya lagi.
Beliau merujuk kepada sekumpulan ahli parlimen yang mengkritik rancangan Jabatan Imigresen untuk melaksanakan operasi besar-besaran terhadap pendatang asing tanpa dokumen ketika Perintah Kawalan Pergerakan yang berlangsung antara 1 Jun dan 14 Jun ini.
Menteri Dalam Negeri itu juga menyatakan bahawa sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19 akan sukar dicapai sekiranya terdapat pendatang asing yang enggan tampil ke hadapan bagi diuji untuk koronavirus, apatah lagi untuk vaksinasi, kerana mereka takut ditangkap kerana tiada dokumen.
Bank Dunia pula menganggarkan bahawa antara 1.23 hingga 1.46 juta pendatang tanpa dokumen bekerja di Malaysia pada 2017.
Kementerian Dalam Negeri pada Sabtu berkata, Jabatan Imigresen bersama Polis DiRaja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Malaysia akan menahan pendatang tanpa dokumen dan sesiapa sahaja yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan dan Prosedur Operasi Standard mulai 1 Jun, apabila bermulanya 'lockdown' penuh di seluruh negara semasa negara itu berdepan dengan peningkatan jumlah jangkitan harian dan kematian akibat pandemik COVID-19.
Negara Asia Tenggara itu mencatatkan 8,209 kes jangkitan baharu pada Khamis, dengan jumlah kumulatif hampir 600,00 dan sebanyak 103 kematian dengan keseluruhan mereka yang mati akibat pandemik berkenaan seramai 3,096 orang.
Pada awal minggu ini, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud menjadi sasaran kritikan pelbagai pihak ekoran kenyataan dibuatnya untuk menjustifikasi operasi menangkap pendatang tanpa dokumen.
Melalui ciapan di laman Twitter, Khairul Dzaimee berkata bahawa jabatan itu melindungi hak rakyat tempatan dengan mengadakan operasi besar-besaran bagi menahan pendatang, dan menyatakan bahawa golongan itu "tinggal dan bekerja di negara ini tanpa sebarang dokumen, tidak membayar cukai atau levi, tetapi mengambil semua faedah".
Para pengkritik menyifatkan operasi tersebut sebagai sesuatu yang tidak produktif dalam melawan pandemik, kerana sebelum ini banyak kluster jangkitan COVID-19 meletus di pusat-pusat tahanan imigresen di seluruh negara serta penjara.
"Masih ketinggalan di belakang"
Pada awal Khamis, dua kumpulan ahli parlimen dan wakil-wakil rakyat menghentam rancangan memburu pendatang asing ketika perintah berkurung dijalankan.
Operasi bersama itu dijangka akan turut disertai pasukan polis serta Jabatan Pendaftaran Negara.
Dalam sebuah kenyataan media, Kumpulan Rentas Parti Parlimen Mengenai Reformasi Penjara Dan Tempat Tahanan Awam berkata bahawa ia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima apabila kerajaan masih mempertimbangkan untuk membuat tangkapan secara beramai-ramai dan pemenjaraan sebagai satu cara untuk melawan pandemik.
"Lebih-lebih lagi ketika 109 buah negara lain telah belajar daripada kajian dan mengaplikasikan langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan (dalam pusat tahanan), serta alternatif lain kepada pemenjaraan.
"Kita masih kekal di belakang," kata kumpulan itu, yang ahlinya termasuk timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said serta ahli parlimen dari kedua-dua belah kerajaan dan pembangkang, serta seorang pakar kesihatan awam dan peguam.
Kumpulan itu memberikan contoh kluster-kluster jangkitan di penjara yang berlaku pada tahun lalu, dan mempersoalkan kewajaran di sebalik tindakan kerajaan yang sekali lagi mengambil risiko berulangnya episod serupa.
"Adakah kita telah lupa pengalaman pahit yang berlaku ketika gelombang ketiga pada September 2020, yang bermula dari kluster penjara di Sabah. Adakah kita lupa mengenai puluhan ribu kes COVID-19 sejak beberapa bulan lepas dan kini masih berlaku di penjara-penjara di dalam negara, mengancam nyawa para tahanan, pegawai penjara, keluarga dan juga masyarakat?," persoal kumpulan itu.
Sementara itu, sekumpulan 16 wakil rakyat yang lain, termasuk ahli parlimen dan wakil rakyat di negeri-negeri, dalam satu kenyataan bersama pula menyifatkan pengumuman Hamzah itu sebagai sesuatu yang "memeranjatkan" dan "memalukan" kerajaan.
"Terdapat kira-kira tiga juta pendatang asing tanpa dokumen di Malaysia (dan ia boleh jadi lebih ramai), manakala di antara dua hingga tiga juga pekerja asing yang berdaftar. Selagi kebanyakan mereka ini tidak diimunisasi, maka ia adalah sukar untuk negara mencapai imuniti kelompok bagi melindungi nyawa rakyat Malaysia.
"Ia adalah sesuatu yang mengejutkan apabila Hamzah selaku seorang menteri yang memegang jawatan penting gagal memahami satu polisi yang amat asas bagi melindungi rakyat Malaysia melalui vaksinasi," kata kumpulan itu yang turut dianggotai Maszlee Malik dan Mujahid Yusof Rawa, dua orang bekas menteri ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan.
Mereka juga menggesa supaya perdana menteri campur tangan dan menangani isu tersebut kerana ia merisikokan keselamatan dan kesihatan awam.
'Rombak semula sistem'
Sementara itu, Glorene Das, pengarah eksekutif Tenaganita - sebuah kumpulan yang memperjuangkan hak pendatang asing -- berkata operasi besar-besaran imigresen itu boleh membahayakan nyawa jutaan orang.
"Ini adalah hasilnya apabila sebuah kementerian boleh mengatasi kuasa semua kementerian lain yang relevan, apabila Akta Imigresen lebih berkuasa daripada semua undang-undang lain dalam negara, dan tiada konsultasi dibuat dalam membuat keputusan. Polisi ad-hoc seperti ini meletakkan jutaan nyawa manusia dalam risiko," beliau berkata kepada BenarNews.
Das berkata Hamzah sepatutnya menyoal terlebih dahulu Jabatan Imigresen kenapa terdapat tiga juta pendatang asing tanpa dokumen sah di dalam negara.
"Jika jabatan itu berfungsi dengan telus, dengan integriti dan prinsip-prinsip asas, adakah kita akan mempunyai satu sistem yang banyak penyelewengan, yang mana ini telah dilaporkan dengan banyak di Malaysia?
"Daripada meratap mengenai melindungi hak rakyat Malaysia, Kementerian (Dalam Negeri) patutnya menjalankan kerja membersih dan merombak semula sistem imigresen dengan meletakkan pemimpin yang betul," kata beliau.