Video Katibah Nusantara Dikitar Semula Tanda Kelemahan, Pakar

Hata Wahari & S. Adie Zul
2016.05.19
Kuala Lumpur & Pulau Pinang
160519-my-zainuri620 Video Negara Islam yang dimuat naik pada awal minggu ini menunjukkan kanak-kanak lelaki membakar apa yang muncul sebagai pasport Malaysia dan Indonesia.
Petikan oleh BenarNews

Video Katibah Nusantara yang mula diedarkan di internet pada awal minggu ini adalah bahan lama dan bukti terdapatnya kelemahan dalam sayap Melayu kumpulan militan Negara Islam itu, kata pakar keganasan Asia Tenggara kepada BeritaBenar.

Pengarah Institute of Policy Analysis of Conflict (IPAC) Sidney Jones yang berpangkalan di Indonesia semasa dihubungi BeritaBenar berkata, video berkenaan dirakam awal tahun 2015, yang disiarkan semula.

“Video itu dirakam pada awal tahun 2015 kerana beberapa orang yang kelihatan di dalam video berkenaan telah mati dan antaranya ialah bekas anggota polis dari Jambi [Indonesia] yang dilihat sedang minum teh, dan beliau mati pada 29 Jun 2015,” kata wanita itu kepada BeritaBenar pada Rabu.

Sidney juga menambah video itu telah dirakam di tempat sama seperti satu lagi video yang bertajuk ‘Cahaya Tarbiyah di Bumi Khilafah’ yang telah disiarkan di internet yang turut memaparkan beberapa orang kanak-kanak pada awal tahun lepas.

“Saya percaya kerana ia adalah video yang lama, ini menandakan kelemahan mereka [Katibah Nusantara] yang  tidak boleh menghasilkan propaganda terbaru kerana desakan peperangan,” tambah pakar keganasan dari Indonesia itu.

Dalam pada itu, Profesor Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM) P. Sundramoorthy ketika dihubungi BeritaBenar di Pulau Pinang berkata, militan IS sememangnya gemar mengeksploitasi kanak-kanak untuk menyebarkan ideologi mereka dengan motif memancing perhatian di kalangan “symphatizers dan emphatizers” di Malaysia.

“Ini adalah sebahagian langkah terdesak mereka untuk mempercepatkan proses indoktrinasi supaya lebih ramai rakyat bersimpati dengan ideologi mereka untuk tampil terlibat secara langsung dengan pergerakan itu,” katanya.

Video sepanjang 15:48 itu dipercayai dimuatnaik pada Isnin lepas dan kini tidak lagi boleh ditonton di Malaysia, yang antara lain memaparkan kanak-kanak dari Asia Tenggara sedang dilatih menggunakan senjata, ideologi pelampau, serta menghasut penonton membakar pasport, dengan media Indonesia Tribunnews menyiarkan video berkenaan di laman rasminya.

Pada dua minit terakhir video berkenaan, seorang lelaki yang disahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Zainuri Kamaruddin seorang rakyat Malaysia, yang dikerumuni sekumpulan kanak-kanak telah memaklumkan bahawa mereka semua bukan lagi rakyat negara asal yang disifatkan sebagai negara taghut [melawan perintah Allah] dengan itu mengambil keputusan untuk membakar pasport mereka.

Pada 2014, media tempatan Malaysia melaporkan Zanuri yang merupakan bekas anggota Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), telah pergi ke Syria untuk berjuang dengan seorang lagi rakyat Malaysia, iaitu bekas Ketua Penerangan Pemuda PAS Kedah,  Mohd Lofti Ariffin, 46.

Beliau yang merupakan seorang juruteknik berasal dari Bota, Perak mendapat kecederaan parah di bahagian tengkuk, manakala rakannya Mohd Lofti dan seorang lagi yang dikenali sebagai Zainan Harith 52, meninggal dunia dalam pertemuran dengan tentera Bashar al-Assad di negara berkenaan

Terdahulu itu, Zainuri pernah menjalani hukuman penjara selama 10 tahun di Malaysia kerana memiliki senjata api dengan beliau dan seorang lagi rakannya Mohd Rafi Udin, 50, pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan selain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Polis DiRaja Malaysia Ayob Khan Mydin Pithcay semasa dihubungi BeritaBenar dari Washington mengesahkan lelaki yang memegang pasport berwarna merah di dalam video itu adalah Zainuri.

“Zainuri masih hidup dan bukan seorang ketua bagi Katibah Nusantara,” katanya menjawab soalan menerusi aplikasi Whatsapp.

'Sembilan serangan'

Dalam komen awal Ayub Khan kepada akhbar New Straits Times, Ayob berkata, pihaknya mengetahui siapakah antara rakyat Malaysia yang berada di Syria. Beliau turut memberi nama, umur serta asal, tiga lagi rakyat Malaysia yang dilihat dalam video berkenaan.

Malaysia telah berjaya mematahkan sembilan serangan yang dirancang oleh anggota IS di negara ini sejak 2013, dengan sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, katanya.

"Trend peningkatan dalam statistik yang melibatkan IS di rantau ini merupakan satu petunjuk terhadap kekuatan yang dilihat semakin meningkat dalam kedudukan mereka di rantau ini," katanya kepada akhbar itu.

"Pengawai kami sentiasa bersedia... sempadan utara yang begitu luas, pengaruh daripada rakan IS di selatan Filipina, dan serangan tunggal ... Penyokong IS cuba untuk menjalin hubungan dengan kumpulan berunsur IS di kawasan seperti selatan Filipina .

Pakar Politik Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia Profesor Madya Dr. Mohd. Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat kegagalan sayap Katibah Nusantara merekrut belia Malaysia dilihat sebagai punca video itu disiarkan.

“Ia adalah satu lagi propaganda IS yang kini berhadapan dengan masalah melaksanakan agenda dalam merekrut pejuang baru di Malaysia. Setakat ini IS tidak mampu untuk mengugat Malaysia kerana polis kian agresif,’’ katanya kepada BeritaBenar.

Sementara itu, Pengarah Institute of Crime and Criminology HELP University Akhbar Satar berkata, keupayaan Malaysia menyekat pengaruh Katibah Nusantara dan menangkap rakyat yang simpati dengan kumpulan militan itu menyebabkan ia kehilangan pengaruh.

Namun katanya, apa yang membimbangkan ialah belia Malaysia yang mendapat didikan di sekolah pondok atau pesantren di Indonesia yang juga bertanggungjawab untuk meluaskan ideologi IS serta Katibah Nusantara.

“Polis perlu mengambil perhatian terhadap belia tempatan yang menerima pendidikan ini bagi memastikan apabila mereka pulang nanti tidak membawa ideologi kumpulan militant berkenaan,’’ katanya.

Katibah Nusantara dipercayai mempunyai pengikut dari Malaysia, Singapura dan Indonesia dengan kira-kira 1,000 orang dari Asia Tenggara telah mengembara ke Syria dan Iraq untuk menyertai kumpulan militan berkenaan menjelang akhir 2015, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Sidney yang ditemubual oleh BeritaBenar Jakarta mencadangkan pihak berkuasa Indonesia utnuk memanfaatkan video yang disiarkan oleh Katibah Nusantara itu sebagai alat kepada pelbagai program deradikalisasi.

“Video itu boleh diguna oleh tokoh agama dan masyarakat sebagai dalam menyalurkan penerangan dan memberitahu bahawa IS sememangnya kejam kerana mengguna dan mengajar anak kecil sebagai pembunuh,” tambahnya lagi.

Sidney juga berkata, laporan IPAC pada Februari mendapati perpecahan sedang berlaku di dalam IS di Indonesia dengan wujudnya tiga serpihan kumpulan Negara Islam di rantau itu, dengan setiap pemimpin kumpulan mahu menunjukkan kekuatan masing-masing dalam membuktikan siapa lebih berkuasa.

Sejak tahun 2013, lebih 170 dipercayai bersimpati dengan IS ditahan di Malaysia, dengan 55 daripadanya telah didakwa, mengikut statistik PDRM.

Seramai 73 warga Malaysia dipercayai berada di Syria atau Iraq untuk menyertai kumpulan itu dengan sekurang-kurangnya 19 daripada mereka telah meninggal dunia, kata pegawai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.