Maritim Malaysia tahan 40 nelayan Vietnam tangkap ikan secara haram

Pakar berkata percerobohan berterusan nelayan asing di kawasan Zon Eksklusif Ekonomi Malaysia bakal timbul risiko pada masa depan.
Iman Muttaqin Yusof
2024.04.22
Kuala Lumpur
Maritim Malaysia tahan 40 nelayan Vietnam tangkap ikan secara haram Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Erwan Shah Soahdi (hadapan) memeriksa sebahagian 40 nelayan Vietnam yang ditangkap ketika dibawa di Jeti Tok Bali, Kelantan, 22 April 2024.
[Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Puluhan nelayan warga Vietnam telah ditahan dan bot mereka disita minggu lalu kerana menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia di Laut China Selatan, kata pegawai agensi maritim pada Isnin.

Tiga buah bot yang memuatkan 40 nelayan Vietnam itu cuba meloloskan diri apabila diarahkan berhenti, namun pihak berkuasa Malaysia berjaya menahan mereka, demikian kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kelantan.

Erwan Shah Soahdi berkata agensi itu berjaya merampas lebih 8.7 tan hasil laut, tiga buah bot nelayan, peralatan menangkap ikan dan minyak diesel dengan nilai hampir RM5.4 juta (AS$1.13 juta), sitaan terbesar membabitkan nelayan asing tahun ini.

Pihak berkuasa menahan kru termasuk tiga tekong pada Selasa lepas pada kedudukan 135 batu nautika dari muara Tok Bali, negeri Kelantan dalam beberapa operasi di sepanjang sempadan perairan Malaysia-Vietnam.

"Kesemua bot pada awalnya cuba melarikan diri apabila diarahkan berhenti selepas dikesan berada di perairan negara, namun tindakan pantas bot Maritim Malaysia berjaya menahan bot nelayan asing terbabit," katanya dalam sidang media di Tok Bali, Pasir Puteh pada Isnin.

Menurut Erwan, ketiga-tiba bot nelayan Vietnam itu dikesan dan ditahan oleh pihak APMM antara pukul 3.49 dan 5.47 petang pada 16 April lalu.

“Setelah diperiksa, bot pertama didapati mempunyai lima anak kapal termasuk tekong manakala bot kedua dan ketiga masing-masing mempunyai 15 dan 20 kru termasuk tekong, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan seramai 40 orang.

“Kesemua mereka adalah rakyat Vietnam berumur antara 18 dan 62 tahun dan semua bot yang dirampas adalah milik nelayan Vietnam,” katanya sambil menambah warga asing itu diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Kesemua nelayan asing terbabit disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah manakala tiga tekong disiasat mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985.

Bot-bot yang ditahan itu disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana gagal mempamerkan dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan.

Bagi kesalahan perikanan, tekong boleh dikenakan denda hingga RM6 juta (AS$1.3 juta) manakala RM600,000 (AS$125,416) bagi setiap kru di bawah Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985. Kerajaan Malaysia juga merampas semua bot dan peralatan menangkap ikan.

Bagi kesalahan imigresen pula, tekong dan kru boleh didenda hingga RM10,000 (AS$2,090), penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan enam sebatan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut jurucakap Maritim Malaysia di Kelantan, sejumlah 150 bot nelayan Vietnam telah dirampas oleh pihak berkuasa di negeri itu setakat April, dengan seramai 82 nelayan Vietnam telah ditangkap.

"Sebahagian mereka telah dijatuhi hukuman manakala selebihnya masih menunggu prosiding mahkamah," kata jurucakap itu kepada BenarNews.

Vietnam mempunyai tuntutan yang meluas ke atas kawasan maritim di Laut China Selatan hingga memasuki wilayah Malaysia dan Filipina.

Sebelum ini, Indonesia juga telah menahan dan memusnahkan berpuluh-puluh bot Vietnam yang dituduh menangkap ikan secara haram di perairan republik itu.

Malaysia, Vietnam, Indonesia, dan Filipina telah terbabit dalam pertikaian mengenai Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan selama bertahun-tahun.

Photo 3.jpeg

Tiga bot nelayan Vietnam yang dirampas oleh Maritim Malaysia Kelantan dibawa ke Jeti Tok Bali, Kelantan, 22 April 2024. [Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Malaysia alami kerugian

Pihak berkuasa Malaysia juga terlibat dalam banyak insiden ‘pertembungan’ dengan pencerobohan nelayan Vietnam di sekitar kawasan perairan Laut China Selatan dengan ratusan bot asing ditahan atas dakwaan menangkap ikan secara haram termasuk satu kejadian maut pada 2020.

Mac lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mendedahkan Malaysia mengalami kerugian mencecah RM823 juta (AS$171.78 juta) akibat pencerobohan bot nelayan asing antara 2020 dan 2023.

Dalam tempoh tiga tahun itu, sebanyak 428 kes direkodkan oleh Jabatan Perikanan, APMM dan Polis Marin, katanya.

Jelas menteri itu lagi, anggaran kerugian akibat pencerobohan berkenaan bagi setahun yang direkodkan adalah sebanyak RM225.22 juta (AS$47.07 juta) pada 2020 dengan melibatkan 117 kes; RM238.69 juta (AS$49.87 juta) pada 2021 (124 kes); RM200.19 (AS$41.85 juta) dengan 104 kes pada 2022, manakala 83 kes dicatatkan pada 2023 dengan kerugian sebanyak RM159.77 juta (AS$33.39 juta).

“Pecahan rampasan berdasarkan negara termasuk 18 kes melibatkan bot nelayan Vietnam dan satu kes bot tidak berbendera,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen.

Sebelum ini, Malaysia dan Vietnam bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala dalam membanteras aktiviti penangkapan ikan haram di perairan Malaysia apabila kedua-dua pemimpin bertemu di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Amerika Syarikat pada November lalu.

Risiko di Laut China Selatan

Shahriman Lockman, Pengarah Projek Khas di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, sebuah badan pemikir berkata pencerobohan nelayan Vietnam dalam perairan Malaysia masih menjadi isu berterusan sehingga kini.

“Orang Vietnam mempunyai industri perikanan besar-besaran yang mana bot nelayannya kerap menceroboh ZEE negara lain. Beberapa tahun lalu, mereka dilihat pergi sejauh ZEE di New Caledonia di Lautan Pasifik.

“Hubungan dua hala (Malaysia-Vietnam) kekal stabil walaupun keadaan hubungan tidak selesa berterusan. Malah nelayan Vietnam diketahui agak agresif apabila menentang penahanan oleh penguat kuasa undang-undang maritim.

"Kita tidak boleh mengambil mudah risiko yang bakal timbul di laut pada masa depan," katanya kepada BenarNews.

Pada 2017, Suruhanjaya Eropah mengeluarkan "kad kuning" terhadap Vietnam sebagai amaran bahawa eksport makanan laut dari negara itu akan dihentikan jika penguatkuasaan perikanan mereka tidak ditambah baik.

Sebagai tindak balas, Vietnam menubuhkan jawatankuasa kebangsaan untuk menangani isu tersebut pada 2019.

Bagaimanapun, penangkapan ikan secara haram menjadi isu berpanjangan dengan Vietnam mendapat markah rendah bagi penangkapan ikan IUU (Haram, Tidak Dilaporkan dan Tidak Dikawal) di Asia tahun lepas, menurut Indeks IUU dikeluarkan oleh Inisiatif Global Membanteras Jenayah Terancang Rentas Sempadan berpangkalan di Geneva.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.