Malaysia Tubuh Suruhanjaya Diraja Siasat Penemuan Kubur Besar Wang Kelian
2019.03.05
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia telah membuka semula siasatan ke atas penemuan kubur besar di sempadan negara, empat tahun lepas dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja [RCI] selepas pegawai mendapati usaha terdahulu telah membawa kepada persoalan tentang komitmen kerajaan terhadap hak asasi manusia, kata Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin.
Pada Selasa, Muhyiddin telah memperkenalkan tujuh anggota RCI yang telah ditugaskan untuk menyiasat penemuan kubur tersebut dan kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian di negeri utara Perlis yang bersempadanan dengan Thailand.
Muhyiddin memberitahu BeritaBenar bahawa walaupun empat tahun telah berlalu sejak penemuan di Wang Kelian itu, RCI mesti menjalankan siasatan menyeluruh.
"Ini kerana siasatan terdahulu, ramai yang tidak berpuas hati," katanya.
"Oleh itu, kerajaan cuba membawanya ke tahap tertinggi sehingga tidak ada yang dapat mengatakan bahawa mereka tidak berpuas hati dan mempersoalkan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia," katanya merujuk kepada RCI. "Jadi, walaupun terlambat, ia masih belum terlambat untuk sampai ke akarnya."
Menjawab soalan dari BeritaBenar mengenai sama ada RCI akan memberi tumpuan terhadap aduan yang menyatakan siasatan terdahulu cuba ditutup sesetengah pihak, Muhyiddin berkata, "Kami akan melihatnya dari setiap sudut mengenai penemuan kubur besar itu."
BeritaBenar telah menghubungi bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar, yang mengetuai siasatan pasukan polis Malaysia pada masa itu, tetapi beliau enggan mengulas.
RCI akan diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria dan bekas Ketua Polis Negara Norian Mai. Anggota lain adalah Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Razali Ismail, bekas ketua pendakwa raya Noorbahri Baharuddin, bekas ketua penyelidik kamar Peguam Negara Junaidah Abdul Rahman, bekas duta besar Malaysia ke Thailand, Nazirah Hussin dan bekas timbalan pengerusi Jawatankuasa kira-kira Awam Parlimen Tan Seng Giaw.
Anggota RCI akan bertemu pada Rabu pagi untuk menubuhkan garis masa bagi memulakan siasatan dan senarai mereka yang akan dipanggil untuk disoal siasat. RCI telah diberikan enam bulan untuk menyiapkan siasatan dan memfailkan laporan bagi dikemukakan kepada Yang di-Petuan Agong.
Semasa sidang media pada Selasa, Muhyiddin berkata penemuan kubur besar itu telah mendapat perhatian dunia kerana negara-negara yang terlibat.
"Mangsa adalah Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh manakala Malaysia dan Thailand yang bersempadanan menjadi pusat transit," katanya.
139 kubur
Pada akhir Mei 2015, polis Malaysia mendedahkan mereka telah menemui 106 mayat dari 139 kubur di beberapa kem penyeludupan manusia yang terbengkalai berhampiran Wang Kelian.
Pihak berkuasa negara itu juga telah menahan 12 anggota polis bersama beberapa warga asing sejurus selepas penemuan itu.
Pada 2017, Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemberita bahawa anggota polis yang ditahan telah dibebaskan kerana kekurangan bukti. Empat warga asing - dua rakyat Myanmar, dan masing-masing seorang Bangladesh dan Thailand telah disabitkan dengan kesalahan menyeludup dan memperdagangankan manusia dan masih ditahan dipenjara Malaysia.
Sebelum beberapa hari pengumuman penemuan itu oleh pihak berkuasa Malaysia, para pegawai Thailand telahpun berbuat demikian apabila mereka menemui etnik Rohingya dan Bangladesh yang diseludup dan hampir maut ditinggalkan di beberapa kem terbiar di dalam hutan di sempadan negara itu.
Sejak daripada itu, Bangkok telah menahan dan mendakwa seramai 102 individu yang dikaitkan dengan penemuan kubur-kubur berkenaan dan telah menghukum seramai 62 orang, termasuk seorang bekas jeneral tentera negara tersebut.
Muhyiddin berkata beliau menyedari kebimbangan orang ramai tentang penemuan kubur besar itu sambil memaklumkan bahawa kerajaan komited dalam mencari kebenaran terhadap masalah itu melalui penyiasatan yang telus dan adil.
"Di peringkat serantau, Malaysia berada di barisan hadapan mengenai isu-isu berkaitan menangani penyeludupan migran," katanya. "Sebagai perintis dalam menangani isu ini, tindakanMalaysia dalam menubuhkan RCI membuktikan keazaman kerajaan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tindakan tidak berperikemanusiaan berkenaan."
Sebagai tambahan kepada siasatannya sendiri, RCI ditugaskan untuk menentukan bagaimana penemuan kubur besar itu mempengaruhi imej Malaysia di peringkat global yang melibatkan rekod hak asasi manusia dan hubungan dua hala.