Wang Tebusan: Keluarga Mangsa Culik Tampil Mohon Bantuan Kerajaan
2016.11.30
Kuching, Sarawak

Ahli keluarga, lima anak kapal Malaysia yang diculik dan masih ditahan oleh Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) di Filipina sejak Julai lalu, mahu campur tangan kerajaan selepas menerima panggilan dari kumpulan militan itu yang menuntut wang tebusan untuk kali keempat.
Gustiah Sultan, suri rumah berusia 46 tahun yang bertindak sebagai jurucakap keluarga anak kapal berkenaan, memberitahu yang beliau menerima panggilan daripada kumpulan militan itu pada 25 November lalu, menuntut wang tebusan sebanyak RM2 juta.
“Ini adalah panggilan keempat daripada mereka [ASG], memaksa keluarga mangsa memenuhi tuntutan wang tebusan… yang sekaligus memaksa keluarga kami meminta campur tangan kerajaan,
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menyampaikan hasrat kami itu dan merayu melalui anda supaya kerajaan mengetahui yang kami sangat memerlukan bantuan dan campur tangan kerajaan untuk membebaskan anggota keluarga yang kami sayangi, " kata Gustiah, kepada BeritaBenar pada Rabu.
Dua anggota parlimen pembangkang dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah, yang melawat Gustiah di Tawau, pada Sabtu lepas, Stephen Wong dan Jimmy Wong menggesa kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan membantu membayar wang tebusan, selepas usaha keluarga mangsa hanya berjaya mengumpul sebanyak RM130,000 hasil daripada ihsan orang ramai.
"Mereka adalah daripada keluarga miskin yang telah pergi pada setiap saudara mara dan rakan-rakan untuk meminta bantuan. Mereka buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Mereka seperti sudah meletakkan nyawa orang yang tersayang untuk dibunuh, " kata Stephen, Anggota Parlimen dari Sandakan kepada BeritaBenar.
Dalam pada itu, Jimmy yang merupakan anggota Parlimen Kota Kinabalu berkata “Mereka meminta RM2 juta (kira-kira US$ 448,000), dan tiada tarikh akhir pembayaran baru telah diberikan.
Mereka telah mengancam untuk membunuh mangsa jika wang tebusan tidak dibayar, " kata Stephen.
Pada 18 Julai, kumpulan dipercayai ASG menculik lima anak kapal daripada kapal tunda Serudong 3 diperairan Sabah. Lima yang diculik ialah Abd Rahim Summas, 62; Tayudin Anjut, 45, Fandy Bakran, 26, Mohamad Jumadil Rahim, 23, yang kesemuanya dari Lahad Datu, Sabah, dan Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7 (penempatan peneroka kelapa sawit), di negeri Pahang.
Tuntutan wang tebusan terakhir yang dibuat oleh kumpulan itu ialah pada 12 Oktober lepas.
Semasa menerima panggilan keempat dari kumpulan militan itu, Gustiah memberitahu yang jumlah tuntutan tetap sama seperti yang diminta, dengan dimaklumkan yang beliau akan dihubungi kembali pada Rabu.
Sebaliknya sehingga laporan ini disiarkan, suri rumah itu tidak menerima sebarang panggilan dari kumpulan militan berkenaan.
"Kita tidak mempunyai cara lain untuk mengumpul RM2 juta seperti yang dituntut. Saya takut.. dan kami semua takut apa yang akan dilakukan kepada suami kami,
"Saya cuba untuk berunding dengan jumlah tuntutan iaitu sebanyak RM130,000, yang saya fikir kita boleh cuba untuk memenuhi tetapi mereka telah bertegas dengan jumlah RM2 juta itu," katanya sambil menambah jumlah RM2 juta adalah jumlah minima yang diterima oleh kumpulan berkenaan.
Gustiah turut memaklumkan bahawa beliau diberikan jaminan oleh pemanggil bawah kelima-lima rakyat Malaysia itu masih hidup dan berada di satu lokasi rahsia.
The Borneo Post melaporkan pada 21 Julai lepas, tiga hari selepas kesemua mereka dijadikan tebusan, Tayudin [mangsa] telah menghubungi majikannya meminta membayar wang tebusan sebanyak RM20 juta (US$4.76 juta), selepas beliau bersama rakannya diculik.
Panggilan kedua diterima pada 28 September lepas, dengan penculik meminta jumlah yang sama, lapor New Straits Times.
BeritaBenar cuba mendapatkan maklum balas daripada pejabat Ketua Menteri Sabah terhadap usaha membantu keluarga mangsa dengan wang tebusan, bagaimanapun gagal manakala Pesuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun dan Wan Abdul Bari Abdul Khalid, yang mengetuai Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) enggan mengulas lanjut semasa dihubungi.
Jurucakap Westmincom Mejar Filemon Tan Jr. berkata, militan Abu Sayyaf kini menahan 24 orang tebusan - lima rakyat Malaysia, seorang warganegara Belanda, seorang rakyat Jerman, seorang rakyat Korea Selatan, empat warga Indonesia, enam rakyat Vietnam dan enam rakyat Filipina.
ASG, yang berikrar setia kepada kumpulan ekstremis Negara Islam (IS), telah mengumpul berjuta-juta dolar melalui penculikan pada tahun-tahun lepas, menurut laporan dalam talian. Tahun ini sahaja, ASG telah mengumpul sekurang-kurangnya 354.1 juta peso Filipina (AS $7.3 juta) daripada wang tebusan yang dibayar untuk orang tawanan, lapor laman web berita yang berpangkalan di Filipina, Rappler.com.