Wanita Malaysia Perlu Diberi Hak Sama Rata Berhubung Kewarganegaraan Anak

Timbalan Menteri Dalam Negeri mempertahankan polisi kerajaan itu dengan berkata ia berkait isu keselamatan negara.
Noah Lee & Nisha David
2020.12.04
Kuala Lumpur
Wanita Malaysia Perlu Diberi Hak Sama Rata Berhubung Kewarganegaraan Anak Wanita Malaysia sedang mengambil gambar secara 'selfie' yang berlatar belakangkan Menara Berkembar Petronas dari Menara KL di Kuala Lumpur, 24 Julai 2020.
AFP

Wanita Malaysia sepatutnya mempunyai hak yang sama dengan lelaki berhubung isu pemberian status kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara, kata sekumpulan hak asasi manusia pada Jumaat, sehari selepas seorang timbalan menteri mempertahankan polisi berkenaan yang menyatakan keputusan kerajaan itu dibuat demi keselamatan negara.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, lelaki Malaysia yang berkahwin secara sah dengan pasangan bukan warganegara di luar negara layak mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bagi anak mereka secara automatik, tetapi perlembagaan itu tidak menyebut mengenai hak wanita berhubung keistimewaan yang sama bagi anak mereka hasil perkahwinan dengan lelaki warga asing di luar Malaysia.

Kumpulan Bertindak Bersama Bagi Kesaksamaan Gender (JAG) mengkritik polisi itu dan menyatakan bahawa Malaysia adalah salah satu daripada 25 negara di dunia yang tidak memberikan hak sama rata kepada kaum wanita dalam isu kewarganegaraan anak, berbanding 150 negara lain yang berbuat demikian.

"Kami menggesa supaya kerajaan mengiktiraf status kewarganegaraan anak wanita Malaysia yang lahir diluar negara kerana ia adalah hak dan bukannya keistimewaan, dan kewarganegaraan patut diberikan kepada semua anak yang mana salah seorang daripada ibubapanya atau ibubapa angkatnya adalah rakyat Malaysia tanpa mengira status perkahwinan atau jantina ibubapa berkenaan, atau tempat lahirnya anak itu," kata JAG dalam satu kenyataan bersama 37 pertubuhan sivil lain.

Sehari sebelum itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1, Ismail Mohamed Said telah memberitahu Dewan Rakyat bahawa anak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak semestinya mendapat kewarganegaraan secara automatik, walaupun perkahwinan mereka teratur dan diiktiraf.

Beliau berkata demikian ketika menjawab satu soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, yang mempersoalkan mengapa diskriminasi masih berlaku terhadap wanita Malaysia di dalam hal memberikan kewarganegaraan anak.

Natrah mempersoal pendirian Malaysia berhubung cadangan supaya negara memberikan wanita hak yang setara dengan lelaki mengenai status kewarganegaraan anak mereka selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penghapusan Segala Bentuk kriminasi terhadap Wanita (CEDAW).

Ahli Parlimen itu juga berkata wanita Malaysia yang bersuamikan warga asiang terpaksa berdepan dengan pelbagai kesukaran bagi mendapatkan hak yang sama kepada anak mereka dan perkara ini bukan sesuatu yang baharu.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau semasa menjawab soalan Natrah berkata, "Keputusan kerajaan itu adalah bagi mengelak agar anak yang dilahirkan itu mendapat dwi- kewarganegara, sebab negara-negara lain juga menetapkan bahawa anak yang lahir di luar negara akan mengikut kewarganegaraan bapa dan disebabkan itu perkara berkenaan . Sebab itu kita kena teliti untuk mengelak dua kewarganegaraan diberi kepada anak,"

"Ini soal keselamatan dan kedaulatan negara yang mesti kita pastikan," tambah beliau.

Diskriminasi jantina

Menurut JAG, isu dwi-kewarganegaraan yang diberikan Ismail itu adalah sesuatu yang tidak kukuh kerana anak-anak kepada lelaki Malaysia yang dilahirkan di luar negara (oleh isteri warga asing) juga berkemungkinan mendapat kewarganegaraan daripada kedua-dua ibubapa mereka.

Perkara yang sama turut boleh berlaku dalam kes anak yang dilahirkan di dalam Malaysia, yang mana salah seorang daripada ibubapa mereka adalah warganegara dan perkahwinan mereka dengan warga asing didaftarkan secara sah.

Kata kumpulan itu lagi, polisi yang digunakan hari ini hanya mendiskriminasi anak yang dilahirkan oleh wanita Malaysia di luar negara, kerana mereka tidak mendapat kewarganegaraan kecuali melalui proses yang rumit serta tidak dijamin berjaya.

"Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan juga melarang sebarang diskriminasi berdasarkan jantina. Oleh itu, ibu warga Malaysia yang melahirkan anak mereka di luar negara mesti diberikan hak yang sama seperti bapa warga Malaysia," tegas JAG.

Mereka menyatakan bahawa wanita Malaysia menghadapi kesukaran untuk membawa pulang anak mereka ke negara selepas melahirkan, kerana anak itu terpaksa menggunakan pasport asing kerana mereka tidak mendapat Surat Perakuan Cemas untuk perjalanan pulang.

Penggunaan pasport asing itu dikatakan bakal menjadikan keadaan lebih sukar untuk anak itu diiktiraf sebagai warga Malaysia di kemudian hari.

Selain itu, polisi berkenaan juga memaksa sebahagian wanita Malaysia untuk kekal di dalam rumahtangga yang toksik serta penderaan, kerana mereka terpaksa bergantung kepada suami warga asing dalam isu status anak mereka.

Perkara yang serupa turut disuarakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang menyatakan bahawa polisi diamalkan Putrajaya itu menzalimi anak-anak wanita warga Malaysia.

Kata Ahli Parlimen Segambut itu, undang-undang yang dipakai itu adalah sesuatu yang "kuno", dan menggesa supaya kerajaan mempercepatkan reformasi peruntukan tersebut.

"Polisi yang mendiskriminasi ini mengurangkan pilihan kepada wanita Malaysia dalam mendapatkan perceraian, perlindungan atau bantuan kerana ia menganggap bahawa kehadiran seorang bapa diperlukan bagi membentuk keluarga bahagia. Tetapi realitinya tidak sebegitu kepada ramai wanita Malaysia.

"Mereka yang perlu meninggalkan perkahwinan selalu tersepit kerana anak mereka tidak mempunyai kewarganegaraan di negara mereka sendiri," kata Hannah.

Beliau mendakwa bahawa semasa tempoh Pakatan Harapan memerintah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Wan Azizah Ismail, yang juga adalah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, pernah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri meminta supaya undang-undang berkenaan dipinda.

Akan tetapi, kata Hannah, tiada sebarang maklumbalas daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu, iaitu Muhyiddin Yassin yang kini adalah Perdana Menteri Malaysia.

Seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Kasthuri Patto (Batu Kawan) turut mengeluarkan kenyataan berkenaan isu sama, di mana beliau menempelak jawapan yang diberi oleh Ismail di parlimen pada Khamis.

Kasthuri, yang merupakan Setiausaha Antarabangsa Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP), mempersoalkan sama ada Ismail dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin adalah orang yang "pekak" dan "buta" dalam mendengar rintihan wanita Malaysia di luar negara yang mahu anak mereka mendapat kerakyatan Malaysia.

"Jawapan beliau menunjukkan kegagalan di pihak kerajaan Perikatan Nasional dalam mengenalpasti kesakitan dan kekecewaan para ibu warga Malaysia yang berada di luar negara. Mereka yang patriotik, yang masih menggenggam erat kewarganegaraan mereka dan mahukan anak mereka juga membawa identiti Malaysia," kata Kasthuri.

Menurut data Kementerian Dalam Negeri, dari tahun 2013 sehingga 2018 sebanyak 111,142 permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia direkodkan. Dari jumlah itu hanya 24,327 telah diluluskan, 26,222 permohonan ditolak, 6,371 permohonan dibatalkan dan selebihnya masih menunggu keputusan permohonan.

Permohonan diproses berdasarkan tiga perkara iaitu-prosedur pengendalian standard di bawah Peruntukan Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan Peraturan Kewarganegaraan 1964, perundangan berkaitan pendaftaran perkahwinan, kesahtarafan anak, peraturan imigresen dan lain-lain dan pertimbangan terhadap fakta dan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh pemohon dilaksanakan dengan teliti secara ‘case by case’ dan pertimbangan sewajarnya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.