Butiran Pelik Tentang Dua Suspek Wanita Kes Pembunuhan Kim
2017.02.17
Kuala Lumpur & Jakarta

Kemaskini pada 12.50 a.m ET - 2017-2-18
Seorang wanita yang disyaki terlibat dalam pembunuhan abang tiri Kim Jong-Un mengubah penampilan beliau dan juga hotel berapa kali sebelum dia ditangkap, kata kakitangan hotel pada Jumaat.
Sementara itu, para pegawai Indonesia berkata wanita kedua yang berada dalam tahanan pihak berkuasa Malaysia, iaitu seorang warga Indonesia dikenali sebagai Siti Aisyah, telah ditipu untuk membantu menjalankan tugas dengan dimaklumkan bahawa beliau akan menyertai sebuah rancangan realiti TV yang akan difilemkan dengan kamera tersembunyi, menurut laporan.
Butiran kedua-dua suspek utama muncul pada Jumaat selepas polis Malaysia meneruskan siasatan mereka ke atas kematian Kim Jong-Nam, abang tiri kepada pemimpim rejim Pyongyang, Kim Jong-Un, yang secara tiba-tiba pada Isnin.
Lewat malam Jumaat, polis menahan seorang lelaki Korea Utara yang pertama dalam kes itu, di Selangor. Satu kenyataan media telah dikeluar oleh pihak berkuasa negara itu yang menamakan lelaki yang ditangkap dikenali sebagai Ri Jong Chol, 46, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenainya.
Kim mati dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan memberitahu petugas perubatan bahawa seorang wanita telah menyerang beliau dengan semburan kimia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin, semasa beliau sedang menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau.
Pegawai Malaysia masih belum mengeluarkan laporan bedah siasat mengenai punca kematian manakala Korea Selatan oula menuding jari terhadap Korea Utara, yang memetik "perintah yang diterima" daripada Kim Jong-Un untuk membunuh adik-beradiknya yang gagal dibuat pada 2012 selepas beliau mengkritik rejim.
Dalam kecaman yang dibuat di luar rumah mayat sebuah hospital di Kuala Lumpur, di mana mayat itu ditempatkan, Duta Korea Utara Kang Chol mengecam pegawai Malaysia pada Jumaat kerana enggan melepaskannya sambil berkata, Pyongyang tidak akan menerima hasil bedah siasat yang dijalankan oleh pihak berkuasa Malaysia.
Patung beruang teddy jadi senjata
Polis Malaysia berkata kedua-dua wanita itu dikenal pasti secara positif daripada rakaman CCTV yang diambil di lapangan terbang itu pada masa kematian Kim. Seorang lelaki Malaysia yang juga teman lelaki Siti turut ditangkap, dan polis sedang mencari sekurang-kurangnya empat suspek lelaki lain.
Vietnam tidak mengulas mengenai laporan bahawa suspek pertama kes itu membawa pasport yang tertera maklumat dirinya sebagai Doan Thi Huong berusia 28 tahun dari Vietnam.
Wanita itu telah menginap di tiga hotel di Sepang, yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur, - tidak jauh dari lapangan terbang itu – di antara 11 dan 15 Feb apabila dia ditangkap, kata pekerja di hotel berkenaan.
Dia sering merubah penampilan dirinya dan dilihat memakai topeng pembedahan, menurut para penyambut tetamu hotel itu semasa ditemu bual. Di satu daripada hotel itu, wanita itu meminjam gunting daripada pekerja dan menggunakannya untuk menggunting rambutnya yang paras bahu menjadi pendek ‘bob’.
Para pekerja berkata dia mendaftar masuk di hotel itu dengan membawa beberapa beg dan patung haiwan yang separuh saiz tubuhnya.
"Dia datang dengan patung beruang teddy yang sangat besar, dan dua beg," kata seorang pekerja di satu daripada hotel itu.
Dia menginap di hotel pertama dari 11-12 Feb, di hotel berikutnya dari 12-13 Feb - hari pembunuhan itu - dan di hotel terakhir dari 13 hingga 15 Feb, menurut para penyambut tetamu yang ditemu bual.
Seorang penyelia di hotel ketiga, yang tidak mahu dirinya dikenali berkata, wanita itu "menggunakan kanta lekap berlainan setiap hari" dan menutup mukanya dengan topeng pembedahan semasa berada di dalam premis, dan membukanya apabila dia keluar pada waktu malam bagi mendapatkan makanan .
Penyelia itu menyifatkan wanita itu sebagai "tinggi dan cantik."
"Saya fikir dia warga Korea sehinggalah dia menunjukkan pasportnya," kata penyelia itu.
Bukan bahan ketawa
Pemegang pasport Vietnam itu memakai baju putih tertera perkataan "LOL" apabila dia dirakam kamera CCTV di terminal lapangan terbang pada hari pembunuhan itu.
Pada Jumaat, Ketua Polis Indonesia Tito Karnavian memberitahu pemberita bahawa Siti Aisyah menjadi mangsa orang yang menipunya untuk mengambil bahagian dalam pembunuhan tersebut.
Memetik maklumat yang disampaikan oleh polis Malaysia, Tito berkata Siti telah dibayar untuk bersama-sama dengan beberapa wanita lain bagi menarik beberapa ‘mangsa seloroh’ - yang dipanggil untuk menyerang hendap seorang lelaki dan menyembur air di mukanya - bagi persembahan yang menyamai dengan "Just for Laughs," program TV popular yang menggunakan kamera tersembunyi, lapor Associated Press.
"Perbuatan seumpama itu telah dilakukan tiga atau empat kali dan mereka dibayar beberapa dolar untuk itu, dan dengan sasaran terakhir, Kim Jong-Nam, didakwa adanya bahan-bahan berbahaya dalam penyembur itu," kata Tito, menurut AP.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla menyokong dakwaan itu bahawa Siti telah ditipu.
Kalla berkata, Siti adalah "mangsa manipulasi."
"Kim ... [adalah] mangsa kepada mangsa kerana Aisyah juga seorang mangsa," kata Kalla kepada wartawan di Jakarta, sambil menolak dakwaan bahawa wanita itu merupakan pelaksana operasi Korea Utara.
"Jika dia adalah seorang ejen, saya fikir dia akan hilang tanpa dapat dikesan," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan Indonesia akan memberi Siti bantuan undang-undang.
Siti adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak lelaki berumur 7 tahun yang tinggal dengan datuk dan nenek kandungnya di Tambora, Jakarta Barat, kata bekas bapa mertuanya, Lian Kiong.
Lian Kiong turut mempertahankan Siti berhubung laporan itu, dengan menafikan dia terlibat dalam apa-apa jenayah tipu muslihat dan komplot.
"Saya tidak percaya," katanya kepada BeritaBenar.
Beliau menyifatkan bekas menantu perempuannya itu sebagai sopan dan baik. Kali terakhir beliau bertemunya ialah pada 28 Jan ketika Siti datang dengan ibunya untuk melawat anaknya, dan dia kelihatan "biasa," katanya.
"Jika anda melihatnya, dia hanya akan tersenyum," kata seorang bekas jiran, Damayanti, kepada BeritaBenar mengenai Siti, yang pernah bekerja di sebuah kilang pakaian dengan menggosok dan melipat jaket di Tambora.
Fadzil Aziz turut menyumbang kepada laporan ini.