Malaysia Tahan 42 Wanita Thailand Cuba Diperdagangkan: Pegawai
2016.11.14
Yala, Thailand

Empat puluh dua wanita Thailand yang diseludup ke Malaysia kini ditahan di sebuah rumah selamat ‘safe house’ di Johor, sebelum dihantar pulang ke negara asal, seorang pegawai Malaysia memberitahu BeritaBenar.
Kesemua mereka kini ditempatkan di rumah yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas ditahan kerana memasuki Malaysia tanpa sebarang dokumen rasmi, kata Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Rohaizi Bahari pada Isnin.
Beliau berkata, mereka telah diminta untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam menyiasat mengenai rangkaian yang dipercayai sindiket pemerdagangan manusia ke Malaysia.
"Selepas kesemua kenyataan mereka diambil dalam membantu kes, mereka akan dihantar pulang ke negara asal oleh pihak berkuasa imigresen," Rohaizi memberitahu BeritaBenar tetapi enggan memberi butiran lanjut.
Duta Thailand ke Malaysia turut mengesahkan penahanan seramai 42 wanita dari negara itu yang kini ditempat di sebuah pusat kebajikan wanita di Johor, tetapi beliau bagaimanapun tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya.
Dua puluh satu daripada 42 orang wanita telah meninggalkan Pattani dan Yala, iaitu dua wilayah yang dikaitkan dengan pemberontak selatan Thailand pada lewat September lepas. Keluarga bagi 21 orang wanita yang merupakan kumpulan pertama yang dipercayai menjadi mangsa telah membuat laporkan mengenai kehilangan ahli keluarga mereka selepas meninggalkan negara berkenaan untuk pergi ke Malaysia, di mana mereka dipercayai telah dijanjikan dengan pekerjaan sebagai vendor snek oleh broker imigresen, dakwa saudara-mara mereka.
“Seorang petugas di pejabat konsular Thailand telah diberi kebenaran oleh pihak berkuasa Malaysia untuk bertemu dengan kesemua wanita berkenaan di rumah kebajikan di Johor Bahru itu, pada Selasa, [15 November],
“Kami sedang cuba untuk mendapatkan kebenaran dari Malaysia dalam mempercepatkan proses penghantaran pulang mereka ke Thailand dalam masa terdekat, " kata Duta Thailand ke Malaysia Damrong Kraikruan kepada BeritaBenar.
Menurut seorang pegawai polis Malaysia, kumpulan 21 orang wanita itu kini sedang membantu siasatan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap dua warga Thai yang telah ditangkap kerana dipercayai menjadi dalang penyeludupan manusia.
"Kini, kedua-dua dalang rakyat Thailand itu ditahan atas tuduhan memperdagangkan manusia, dan kesemua 21 orang wanita itu akan dibebaskan selepas semua soal siasat dijalankan, " kata pegawai polis Malaysia itu, kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan, sambil menambah bahawa kesemua wanita tidak akan berhadapan dengan sebarang tindakan undang-undang.
Kebimbangan saudara-mara
Anak kepada seorang wanita tersebut memberitahu bahawa dalang sindiket pemerdagangan berkenaan telah berjanji akan memberi pekerjaan sebagai penjual snek di Johor, dan ibunya bersama 20 orang wanita lain, telah menyeberang ke Malaysia dari wilayah selatan Thailand, Songkhla.
"Terdapat seramai 21 orang wanita yang menaiki dua pikap trak untuk pergi ke Malaysia.... Disebabkan mereka tidak dapat dihubungi, maka kami berfikir bahawa kesemua mereka [wanita] mungkin telah ditahan polis Malaysia kerana tidak mempunyai sebarang permit kerja," Mamagadi Sulong, anak seorang penduduk, berkata.
Di wilayah Pattani yang berhampiran, suami kepada seorang wanita lain berkata, lima anak mereka sering menangis semenjak isterinya pergi ke Malaysia.
"Tujuan isteri saya adalah untuk mendapatkan wang bagi pendidikan anak-anak kami. Tidak banyak pekerjaan di Thailand dan apabila [broker] meminta beliau pergi ke Malaysia, jadi dia pergi,"Musukri Jeho, suami Citi-ashisoh Lateh memberitahu BeritaBenar.
Apabila saudara-mara kepada 21 orang wanita itu mendapat tahu bahawa orang tersayang mereka tidak dapat dikesan di Malaysia, dalang di Thailand telah meminta setiap daripada mereka untuk setiap membayar 20,000 baht (AS $ 564) sebagai yuran untuk mencari kesemua wanita berkenaan, katanya.
Hata Wahari di Kuala Lumpur menyumbang untuk laporan ini.