'Hanya IS Boleh Menegakkan Sebuah Negara Islam Al-Mahdi'

Staf BeritaBenar
2015.09.11
150911-MY-WANNDY620 Muhammad Wanndy Mohamad Jedi (kanan), isteri Nor Mahmudah Ahmad dan seorang kanak-kanak yang tidak dikenali di hadapan bendera Kumpulan militan Negara Islam di lokasi yang tidak diketahui di Syria.
Ehsan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi

Muhammad Wanndy Mohamad Jedi yang pernah mengejutkan rakyat Malaysia apabila dikesan terlibat dalam rakaman video penyembelihan rakyat Syria pada Febuari lepas, berkata walaupun dibom setiap hari semangat sebagai Khalifah Daulah Islamiyah (IS) tidak pernah luntur demi menegakkan sebuah negara Islam berlandaskan pemerintahan Al-Mahdi.

“Saya kini berada di Raqqah, Syria dan akan terus berjuang untuk menegakkan Bumi Khalifah Daulah Islamiyah (IS) bagi menyiapkan pemerintahan Al-Mahdi dan sedang melaksanakan 10 perkara sebelum kemunculan Al-Mahdi,” kata lelaki berusia 25 tahun itu kepada BeritaBenar baru-baru ini.

Muhammad Wanndy berkata, penubuhan sebuah negara Islam merupakan motivasi utama baginya dan isteri, Nor Mahmudah Ahmad, 26 untuk pergi ke Syria serta berjuang memastikan matlamat itu dapat dicapai.

“IS inilah yang merupakan satu kaum yang akan menyiapkan pemerintahan bagi Al Mahdi di akhir zaman, sudah banyak pejuang berpanji hitam di beberapa negara seperti Yaman, Somalia, Afghanistan dan Syria, tetapi IS di Syria dan Iraq merupakan satu-satunya yang mewujudkan pemerintahan berlandaskan Syariah,’’ katanya dalam perbualan melalui mesej Facebook.

Al Mahdi adalah gelaran bermaksud "Yang Memimpin". Al Mahdi dipercayai akan menjadi seorang yang sangat adil dan tinggal di kota Damsyik, beliau bukan nabi sebaliknya seorang Khalifah yang akan menjadi pemimpin Islam terakhir di dunia.

Difahamkan pada masa ini terdapat kira-kira 80 rakyat Malaysia yang berjuang dengan IS di Syria dan Iraq, di mana sebanyak 11 orang dipercayai telah terbunuh.

Muhammad Wanndy yang berasal dari Durian Tunggal, Melaka merupakan salah seorang anggota IS Malaysia yang dikesan terlibat dalam rakaman video penyembelihan seorang rakyat Syria yang didakwa menjadi pengintip kepada tentera Bashar al-Assad pada Februari lepas.

Video 30 saat itu dipercayai dirakam oleh seorang lagi rakyat Malaysia yang dikenalpasti oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai Mohd. Faris Anuar, 20, yang berasal dari Gurun, Kedah.

Rakaman video itu yang kemudiannya dimuat naik ke akaun Facebook milik Abu Hamzah Al-Fateh, pada 20 Februari lalu, menunjukkan seorang lelaki kelihatan di samping mayat tanpa kepala, sementara seorang lagi merakam video berkenaan.

“Ini versi video hukuman bagi sesiapa yang mengkhianati Islam. (Ia) pengajaran untuk semua. Mungkin ada yang kata kejam (tapi) baik baca surah Al Anfal ayat 12 dan Muhammad ayat 4,” itu antara kata-kata yang boleh didengar dalam rakaman video berkenaan.

Beliau bertolak ke Syria untuk menyertai IS, pada 26 Januari lalu bersama isterinya, yang berasal dari Baling, Kedah, dengan menaiki kereta api dari Butterworth, Pulau Pinang ke Bangkok sebelum menaiki pesawat ke Moscow, Rusia dan seterusnya ke Istanbul, Turki, untuk masuk ke Syria.

Nafi agen

Pemuda itu juga menafikan IS yang disertainya adalah agen Amerika Syarikat dan berpendapat demikian kerana kumpulan mereka sering diserang dengan bedilan bom daripada pihak musuh dari AS dan negara-negara sekutunya.

“Setelah berada di sini, barulah saya mengetahui akan kebenaran. Jika IS adalah agen Amerika mengapa negara itu dan negara sekongkolnya bersungguh-sungguh mengebom kedudukan mujahidin setiap hari?

“Di bandar Raqqah ini, setiap hari tidak kurang empat butir bom dilepaskan, jadi mana logiknya IS, adalah agen Amerika,” katanya.

Raqqah merupakan sebuah bandar yang terletak berhampiran sempadan Turki dan Syria, dengan perjalanan kira-kira 350 kilometer dari Damsyik, ibu negara Syria.

Beliau bagaimananpun enggan memberikan butiran tentang operasi atau rutin harian kumpulan itu.

Muhammad Wanndy yang baru dikurniakan seorang anak perempuan memberitahu, walaupun beliau rindu akan kampung halaman di Malaysia dan ingin membawa anaknya itu berjumpa dengan keluarga, tetapi hasrat itu terpaksa dibatalkan kerana telah berikrar untuk berjuang untuk mempertahankan IS.

“Perkara rindu ataupun untuk kembali ke Malaysia, walaupun ada tetapi ia bukan keutamaan. Keutamaan saya adalah untuk berjuang di sini, mencapai hasrat saya untuk membantu mempertahankan IS,” katanya.

Beliau juga mengutuk tindakan beberapa rakannya yang melarikan diri dari Syria, dan kembali ke Malaysia untuk mengelak dari mati ke jalan Allah.

“Ada rakyat Malaysia mengadakan beribu-ribu alasan untuk mengelak dari mati di jalan Allah SWT. Bila sampai di Malaysia, sibuk pula melaungkan jihad, jihad dan jihad tetapi mereka melarikan diri. Jihad mereka cuma sedekah dan mengkafirkan orang lain,’’ katanya.

Muhammad Wanndy juga berhubung dengan rakan-rakannya di Malaysia melalui Facebook dan bagi memberi motivasi kepada rakan-rakannya untuk menyertai IS. Beliau berjanji untuk menulis nama mereka diatas peluru, senjata AK47, dan bendera IS.

Pada 7 Mac lepas, akhbar Utusan Malaysia melaporkan, kedudukan rumah pemuda itu, di Durian Tunggal, agak tersorok dan dikelilingi lalang. Ia dikatakan menjadi lokasi rahsia pertemuan kira-kira lapan individu, termasuk dua wanita antara Ogos hingga Disember lalu, dipercayai bagi merancang pemergian mereka ke Syria

Hal itu didedahkan oleh bekas rakan sekolahnya yang enggan dikenali, bahawa kumpulan itu dikatakan terpengaruh untuk menyertai pergerakan militan dengan menggunakan nama Islam kerana mereka ditaja oleh beberapa rakyat asing yang menetap di ibu negara.

Anak ketiga daripada empat beradik dan kini yatim piatu selepas kematian ibunya akibat penyakit leukemia empat tahun lalu, beliau dipercayai tinggal bersama abang sulungnya di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina di atas tanah milik ibunya.

Kakaknya pula difahamkan sudah berkahwin dan menetap di Taman Ayer Keroh Heights, Melaka, manakala lokasi adik perempuan bongsunya pula tidak diketahui.

“Muhammad Wanndy juga saya perasan sering berulang-alik ke ibu negara untuk bertemu dengan rakyat asing yang membekalkan mereka dengan wang tunai, dipercayai untuk kegunaan kumpulan tersebut.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Polis Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay pada Feb lepas berkata, IS memancing remaja dan pelajar menyertai kumpulan itu, dengan menjanjikan gaji bulanan sebanyak AS $2,000 (RM8,000) beserta penginapan dengan "polisi tidak boleh pulang" melainkan jika dibenarkan.

Sementara itu, Ayub dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan lewat malam Jumaat berkata, Polis Malaysia telah mengambil tindakan mempertingkatkan keselamatan di semua tempat yang berkepentingan di negara berikutan seruan yang dibuat oleh IS terhadap pengikutnya supaya melakukan serangan.

“Polis sedia maklum tentang seruan oleh IS di dalam majalah Dabiq yang disebarkan di media online, agar pengikut-pengikut mereka melakukan serangan ke atas beberapa negara termasuklah Malaysia,

“PDRM telah mempertingkatkan keselamatan di semua tempat-tempat yang berkepentingan kepada negara, termasuklah kedutaan-keduataan asing dan juga tempat-tempat yang menjadi kunjungan awam,” katanya dalam kenyataan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.