Wanndy Pejuang IS Malaysia Terbunuh Di Syria: Ketua Polis Malaysia
2017.05.08
Kuala Lumpur

Kemaskini pada 22.40 p.m ET - 2017-05-08
Ketua Polis Malaysia pada Isnin mengesahkan bahawa perekrut utama kumpulan militan Negara Islam [IS] bagi Asia Tenggara, yang didakwa pihak berkuasa mendalangi serangan pengganas pertama IS di bumi Malaysia, terbunuh di Syria minggu lepas.
Laporan berhubung kematian rakyat Malaysia dan anggota militan IS itu, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, mula timbul pada 29 April lalu selepas isterinya mengumumkan kematian beliau di akaun Facebooknya namun pegawai Malaysia enggan mengesahkan perkara berkenaan pada masa tersebut.
"Selepas meneliti kesemua risikan yang diperoleh, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengesahkan bahawa Muhammad Wanndy telah terbunuh dalam satu serangan di Raqqa, Syria pada 29 April lalu,” umum Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar dalam akaun Facebook dan Twitter beliau pada Isnin.
Bagaimanapun, para pegawai Malaysia enggan menyatakan bagaimana Wanndy terbunuh. Kematiannya menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang dikaitkan dengan IS dan terbunuh di Syria dan Iraq sejak 2014 ialah sekurang-kurangnya 31 orang, demikian menurut angka yang diperoleh daripada kerajaan Malaysia.
"Kami tidak boleh memberikan butiran mengenai kematian Wanndy kerana ia membabitkan risikan daripada pihak lain,” kata seorang pegawai atasan keselamatan Malaysia kepada BeritaBenar pada Isnin dengan syarat namanya tidak disiarkan.
Wanndy dikenali sebagai perekrut IS yang sangat aktif di media sosial. Dua tahun lepas, pihak berkuasa Malaysia mengenal pasti beliau sebagai seorang daripada dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam penggambaran video insiden memenggal kepala yang disiarkan dalam talian.
Pada akhir Mac lepas, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengisytiharkan Wanndy sebagai Pengganas Global Tentuan Khas dan mendakwa pejuang IS yang berpangkalan di Syria dan Iraq itu menyelaras plot serangan pengganas serta memudahkan perjalanan ke Timur Tengah dari Asia Tenggara untuk para rekrut muda IS.
Ketika BeritaBenar melaporkan buat pertama kalinya mengenai julukan yang diberikan AS itu, Wanndy melakukan pautan kepada artikel itu ke laman Facebooknya.
‘Bermotivasi tinggi dengan rangkaian yang luas’
Selepas menyiarkan berita mengenai kematian suaminya, isteri Wanndy, Nor Mahmudah Ahmad, bagaimanapun telah membuang pengumuman itu tidak lama kemudian.
Namun pada hari yang sama, seorang penyokong IS dikenali sebagai Akhi Hamzah telah berkongsi apa yang didakwanya sebagai status terakhir Wanndy di laman Facebook yang menyebut, "Esok saya akan pergi jauh ... teruja untuk ke tempat yang saya tidak pernah pergi."
Seorang lagi penyokong IS, yang dikenali sebagai Shah al Ghuraba, memuat naik dua gambar kereta yang didakwa dinaiki Wanndy untuk ke destinasi perjalanannya. Foto yang pertama bertarikh 28 April menunjukkan beberapa lubang peluru di bahagian tepi kereta. Gambar kedua pula menunjukkan kereta yang sama selepas ia musnah dalam serangan ‘drone’ pada hari berikutnya, menurut maklumat yang disiarkan bersama gambar tersebut.
BeritaBenar tidak dapat mengesahkan kesahihan gambar-gambar berkenaan.
Menurut Rohan Gunaratna, seorang pakar kumpulan pelampau Asia Tenggara yang berpangkalan di Singapura juga kolumnis BeritaBenar, Wanndy adalah individu utama yang mengarahkan serangan penganas di Malaysia dan beliau telah menjalinkan hubungan dengan pengganas Malaysia yang beroperasi di Filipina serta negara lain.
"Kematian Wanndy membuktikan bahawa para pengganas boleh lari, tetapi mereka tidak boleh bersembunyi," Gunaratna memberitahu BeritaBenar.
"Walaupun beliau mungkin digantikan, kematian Wanndy mengurangkan ancaman kepada Malaysia kerana beliau merupakan seorang anggota yang mempunyai motivasi tinggi dengan rangkaian yang luas."
Serangan Movida
Pihak berkuasa Malaysia telah menuduh Wanndy mendalangi dan menyelaras satu plot dari Timur Tengah yang menyebabkan lapan orang cedera dalam satu serangan bom tangan oleh IS di sebuah kelab malam di luar Kuala Lumpur pada Jun 2016.
Wanndy kemudian muncul secara dalam talian dan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu di kelab malam Movida di Puchong. Dua lelaki telah dihukum penjara 25 tahun pada Mac lalu kerana membaling sebutir bom tangan ke arah pelanggan yang sedang menonton perlawanan bola sepak di kawasan teres kelab malam itu.
Wanndy dipercayai menjadi satu-satunya pejuang IS Malaysia yang sangat konsisten dan aktif di media sosial, terutama Facebook, begitu juga di WhatsApp dan Telegram. Kematian beliau dijangka mengganggu rangkaian yang telah dibinanya melalui media sosial, kata penganalisis.
Azmi Hassan, seorang pakar geopolitik di Universiti Teknologi Malaysia, berkata Wanndy merupakan penghubung antara militan Malaysia dan IS serta bertanggungjawab merancang serangan di negara asalnya.
"Hakikatnya, hanya satu yang berjaya iaitu di Kelab Movida. Strategi Daesh ialah merekrut pengikut tempatan dan kaedah itu kurang berjaya," kata Azmi kepada BeritaBenar, dengan menggunakan nama lain bagi IS.
"Berikutan kematian Wanndy, pengaruh Daesh di Malaysia sudah pasti lumpuh, pada masa sama, Daesh di Syria dan Iraq juga kehilangan banyak kawasan yang dikuasai mereka.
"Laporan kematian Wanndy yang tidak sahih mula timbul minggu lepas dan Sidney Jones, Pengarah Institut Analisis Dasar Konflik, sebuah badan pemikir Jakarta berkata, kumpulannya telah menerima maklumat bahawa Wanndy dikatakan semakin prihatin untuk menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke Malaysia.
Jones berkata kematian Wanndy bakal menjadi satu tamparan hebat kepada gerakan pro-IS di Malaysia namun beliau turut memberikan amaran.
"Ia juga mungkin mencetuskan pelbagai usaha bagi satu serangan balas," katanya kepada BeritaBenar sambil menambah bahawa kapasiti untuk serangan sedemikian selalunya tidak begitu besar.
Peringkat awal bersama IS
Wanndy, yang berhijrah ke Syria bersama isterinya pada Januari 2015, telah dikenal pasti sebagai seorang daripada dua rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam pemenggalan kepala seorang banduan Syria yang dirakam sebulan selepas itu. Rakannya itu, Mohd Faris Anuar, terbunuh di Iraq pada Disember 2015.
Wanndy kemudian memuat naik video pembunuhan berdurasi 30 saat itu di laman Facebooknya pada 22 Feb 2015. "Ini adalah hukuman bagi seorang perisik yang mengkhianati Islam ... satu pengajaran untuk kita semua," demikian petikan sebahagian mesej yang dihantar bersama-sama video yang dimuat naik itu.
Dalam satu temu bual dengan BeritaBenar pada September 2015, Wanndy berkata beliau tidak pernah menyesal meninggalkan kampung halamannya untuk menyertai Negara Islam.
Beliau turut mengkritik rakyat Malaysia lain yang tidak berani berkorban nyawa demi IS.
"Mereka ini memberikan seribu satu alasan untuk mengelak daripada mati syahid. Apabila mereka kembali ke Malaysia, mereka melaung-laungkan semangat untuk berjihad, namun ironinya mereka melarikan diri dari medan pertempuran," katanya.
"Saya ingin menyatakan bahawa saya memang berharap dapat kembali ke Malaysia, tetapi ia bukan keutamaan saya kerana fokus saya sekarang adalah untuk tinggal di sini dan berjuang, demi mencapai impian saya bagi mempertahankan IS," katanya kepada BeritaBenar ketika itu.