Pengacara Sukan Dan Penerbit Didakwa Menghina Di TV

Laja Laing
2017.06.06
Kuching, Sarawak
170606-my-watsonyambek-620.jpg Watson Nyambek pelari pecut Malaysia melintasi garisan penamat larian 100 meter lelaki separuh akhir pada Sukan Asia ke-13 di Kompleks Sukan Tammasat University, utara Bangkok, 13 Disember 1998.
AFP

Pengacara televisyen dan penerbit telah didakwa di sebuah mahkamah di Sarawak pada Selasa kerana dengan sengaja mengejek bekas pelari pecut terkemuka Malaysia, Watson Nyambek, dua bulan lalu semasa siaran televisyen dengan meniru bunyi seekor kambing mengembik.

Pengacara stesen swasta TV3 melalui rancangan 'Sukan Tak Sentral' Azizul Ammar Abu Hassan, 30, dan penerbit rancangan itu, Abdul Ghani Mokhtar, 41, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu pada Selasa.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka dituduh dengan sengaja menghina Watson dan sekaligus mencetus provokasi terhadap beliau [Watson], dengan mengetahui bahawa provokasi seperti itu boleh menggugatkan ketenteraman awam.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan. Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

Majistret Saiful Sayoti membebaskan kedua-duanya dengan ikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan mengarahkan mereka untuk hadir semula ke mahkamah pada 4 Julai depan bagi pra-perbicaraan.

Watson, yang berasal dari Sarawak, adalah bekas pelari pecut 100 meter negara yang  memegang rekod kebangsaan selama 18 tahun.

Watson kemudiannya meneruskan tindakan undang-undang walaupun permohonan maaf telah disampaikan oleh pihak stesen televisyen itu, TV3 dan penerbit program berkenaan, Primeworks Studios.

Bekas pelari pecut negara yang berusia 41 tahun itu bagaimanapun enggan menerima permohonan maaf berkenaan. Azizul dan kru produksi juga digantung tugas.

Pada 23 April, Watson memuat naik laman sosial media Facebooknya dengan berkata beliau tidak pernah dihina dengan cara begitu sepanjang kerjayanya tetapi menghina bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Orang mempersendakan saya dengan mengatakan saya sudah bankrap, itu tidak apa dan saya boleh menerimanya. Tetapi bapa saya tidak patut dipersendakan," katanya.

Pada 24 April lepas, Watson telah membuat laporan polis terhadap TV3 dan Primeworks kerana mempersendakan nama keluarga yang didakwanya telah menjatuhkan maruah.

"Ia telah membawa malu kepada keluarga kami dan saya sangat marah," katanya kepada media selepas membuat laporan berkenaan pada masa itu.

“Cara mereka menyebut nama itu seolah-olah mereka membandingkan bapa saya dengan binatang," katanya.

Akhbar harian terbesar di Sarawak, The Borneo Post, juga melaporkan Watson melihat  penghinaan itu "sebagai provokasi untuk menghasut kebencian kaum dengan memperlekehkan nama orang Iban".

Kaum Iban atau juga dikenali sebagai Dayak Laut adalah satu suku kaum Dayak yang terdapat di Kepulauan Borneo.

Pada kemuncak kehebatan sukan beliau, Watson digelar "The Flying Dayak" dengan mencatat masa pecut 100 meter larian beliau, 10.30 saat, sepanjang tahun kehebatannya dari tahun 1998 hingga 2016.

Kini beliau adalah seorang jurulatih sepenuh masa dengan Majlis Sukan Negara di kampung halamannya di Miri.

Watson pernah mendapat laporan media massa beberapa tahun lepas apabila beliau telah diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar balik pinjaman bank yang dipinjam untuk membiayai rawatan kanser bapanya.

Bekas Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem telah menyelamatkannya dengan menyelesaikan hutangnya itu tahun lepas.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.