Wayang Kulit: Seni Teater Yang Perlukan Sentuhan Generasi Muda
2016.11.23
Kuala Lumpur

Wayang kulit, teater tradisional orang Melayu yang persembahan seninya telah melebihi seribu tahun lalu di bumi Malaysia, sangat memerlukan penggiat seni atau Tok Dalang yang boleh menginovasikan persembahannya mengikut peredaran masa dalam usaha menarik minat golong anak muda untuk mewarisi bakal seni itu.
Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, Profesor Dr. Hatta Azad Khan berpendapat bahawa teater persembahan wayang kulit masih mempunyai ruang untuk pembaharuan bagi menarik minat lebih ramai anak muda berkecimpung dalam seni tradisional itu.
“Banyak cara perlu dilakukan jika mahu menambah baik wayang kulit melayu, kita boleh tukar bahan yang digunakan untuk membuat patung wayang kulit dari menggunakan kulit lembu kepada bahan plastik.
“Malah kita juga boleh tambah warna di dalam teater tersebut, dan juga selain watak boneka, Tok Dalang juga boleh menggunakan prop seperti bangunan atau kenderaan, bagi menjadikan persembahan wayang kulit lebih hidup,” cadang Hatta semasa ditemui BeritaBenar baru-baru ini.
Hatta berkata, wayang kulit merupakan tradisi seni yang unggul kerana melalui simbolisme bayangan, pelbagai cerita, mesej dan falsafah boleh disampaikan kepada khalayak ramai.
Persembahan wayang kulit menggunakan prinsip cahaya dan bayang serta patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak mitologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Tok Dalang, individu yang mengawal patung wayang kulit di belakang tirai dengan diiringi alunan muzik menggunakan alatan tradisional seperti gong, seruling dan gamelan.
Di belakang tirai persembahan wayang kulit dengan diiringi alunan muzik menggunakan alatan tradisional seperti gong, seruling dan gamelan.
Persembahan wayang kulit juga merupakan simbol kepada dunia manusia dan ghaib dan ianya sangat terkenal di pantai timur Malaysia iaitu di Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, Mohd. Shukri Idrus, penggiat seni teater boneka Malaysia tetap mahukan sebuah panggung diwujudkan untuk peminat serta pengamal wayang kulit di seluruh negara dan luar negara
“Dengan adanya sebuah panggung tetap, ia boleh dijadikan sebagai platform untuk penggiat teater boneka berkumpul. Ia juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk mengajar dan membentuk Tok Dalang dan pembuat boneka wayang kulit di masa hadapan." katanya yang merupakan ahli Teater Boneka Antarabangsa kepada BeritaBenar.
Dengan penubuhan pusat itu, Malaysia secara tidak langsung boleh mempromosikan wayang kulit serta memulihara warisan seni itu daripada pupus.
Menurut Shukri, seni tradisional itu dilihat kian hilang di kalangan masyarakat Melayu dan khuatir golongan anak muda tidak berpeluang mengenali seni warisan tersebut kerana ditelan zaman.
“Pada pandangan saya wayang kulit Melayu mungkin tidak akan pupus tetapi berkemungkinan pada masa hadapan nanti tiada anak Melayu yang berminat dengan seni tradisional tersebut.
“Sayang sekali jika warisan turun temurun ini hilang, perlu ada generasi yang seterusnya mengambil alih untuk mengembangkan seni ini,” ujarnya kepada BeritaBenar.
Dalam pada itu, Shaifullah Sapian seorang pelajar sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula mencadangkan supaya promosi terhadap persembahan wayang kulit perlu dibuat di bandar-bandar dan bukan hanya tertumpu di kawasan pantai timur.
Kesenian wayang kulit bukan sahaja sebagai hiburan semata-mata malah ia turut menyelitkan unsur-unsur nasihat kepada penonton melalui simbol-simbol yang dapat dilihat serta proses persembahan wayang kulit dari awal sehinggalah selesai.
Teater rakyat pada zaman dahulu, sebelum wujudnya radio dan televisyen yang menjadi sumber hiburan rakyat jelata mengisi masa lapang mereka dengan bertanggapan bahawa seni tradisional tersebut hanya dipelopori oleh kaum Melayu, meleset sama sekali.
Tanggapan itu terbukti tidak tepat dan relevan lagi pada masa kini kerana di tempat kelahiran seni kraftangan tersebut di Terengganu dan Kelantan wayang kulit diminati oleh semua lapisan masyarakat.
Lebih mengujakan, pengamal seni tradisional tersebut bukan sahaja terdiri daripada golongan kaum Melayu – tetapi diminati oleh kaum Cina, India dan Iban yang turut mengambil bahagian dalam pementasan teater tradisional tersebut.
Secara tidak langsung, ia memartabatkan lagi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yand berkongsi budaya dan minat yang sama.
Eyo Hock Seng atau lebih mesra dengan panggilan Pok Cu
Tok Dalang berbangsa Cina
Eyo Hock Seng atau lebih mesra dengan panggilan Pok Cu telah berkecimpung di dalam dunia pementasan tradisional wayang kulit sejak bangku sekolah dan beliau merupakan antara tokoh wayang kulit yang bukan berbangsa Melayu di Malaysia.
Anak jati Kelantan itu telah bergiat dalam seni tradisional wayang kulit sejak 41 tahun yang lalu dan kini beliau masih aktif mengadakan persembahan teater wayang kulit di dalam dan luar negara.
“Saya mula belajar bermain wayang kulit pada usia 19 tahun, sejak kecil lagi saya selalu mengikut kawan-kawan Melayu pergi melihat persembahan wayang kulit. Ketika itu saya mula meminati seni tradisional ini.
“Sebelum boleh menjadi Tok Dalang, saya perlu mahir menggunakan alatan muzik tradisional dulu seperti gong dan seruling. Saya mengambil masa selama 2-5 tahun untuk mahir sepenuhnya sebagai Tok Dalang,” katanya kepada BeritaBenar di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pok Cu berkata, mempelajari bagaimana untuk menjadi Tok Dalang bukanlah sesuatu yang mudah atau pun boleh dipelajari di dalam satu masa yang singkat.
Menurutnya, dia telah membelanjakan banyak wang untuk mempelajari kemahiran bermain wayang kulit sejak di bangku sekolah dan ketika itu keluarganya turut banyak memberi bantuan dan sokongan.
“Saya masih ingat ketika itu pada tahun 1969, kerana kesungguhan dan minat saya untuk mempelajari dan mendalami seni wayang kulit ini, keluarga saya tidak teragak-agak untuk membelanjakan wang modal pendahuluan sebanyak RM5,000 untuk membeli alatan muzik dan sebagainya.
“Keluarga saya ketika itu menghormati semangat dan minat saya terhadap wayang kulit, walaupun ia bukan seni tradisional kaum cina,” ujarnya.
Kumpulan Sri Campuran
Tambahnya, walaupun pada zaman teknologi dan animasi, wayang kulit tidak ditelan zaman dan dengan beliau dan rakan-rakannya masih mampu menyara kehidupan melalui teater dan penghasilan patung boneka wayang kulit yang berharga sekitar RM40 hingga RM200.
“Saya mempunyai kumpulan persembahan wayang kulit yang dipanggil ‘Sri Campuran’, kumpulan tersebut terdiri daripada enam orang, dan semua ahli kami campuran di antara kaum seperti Melayu, Cina, India dan Iban.
Tok Dalang bukan berbangsa Melayu itu turut berkongsi pengalaman beliau melakukan persembahan wayang kulit di persada dunia termasuk jemputan oleh UNESCO.
“Antara negara-negara yang pernah saya lawati dan melakukan persembahan wayang kulit di sana ialah, Thailand, Brunei, Indonesia, Singapura dan Perancis,” katanya.