Polis Malaysia Siasat Menteri Kabinet Di bawah Undang-Undang Hasutan
2018.12.04
Kuala Lumpur, Malaysia
Pihak berkuasa Malaysia menyoal siasat seorang menteri kabinet di bawah Akta Hasutan Malaysia, kata menteri dalam negeri pada Selasa selepas kerajaan mengumumkan bahawa ia menarik balik moratorium ke atas undang-undang itu dan beberapa undang-undang lain demi memelihara keselamatan, ketenteraman awam dan hubungan antara kaum di negara itu.
Seorang pegawai Waytha Moorthy, menteri kabinet yang bertanggungjawab bagi hal Ehwal Perpaduan, mengesahkan bahawa ketuanya disoal siasat di ibu pejabat polis Bukit Aman bagi, antara lainnya, mengenai kenyataan yang didakwa dibuat beliau mengenai perhimpunan kumpulan Muslim konservatif, yang menentang konvensyen PBB berhubung diskriminasi kaum, yang akan diadakan hujung minggu ini.
Bulan lalu, perdana menteri baru Malaysia telah menarik balik janji pilihan raya dengan mengumumkan bahawa kerajaannya tidak akan meratifikasi konvensyen itu.
"Ya, polis akan menyoal siasat beliau mengikut Akta Hasutan," kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin kepada wartawan pada lewat Selasa.
Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun pula berkata, Waytha telah dipanggil untuk hadir di ibu pejabat polis.
"Kami telah memanggilnya dan kami akan merakamkan kenyataan beliau hari ini," kata Fuzi tanpa mengulas lanjut.
Polis akan menyoal siasat Waytha kira-kira seminggu selepas kekecohan berlaku di sebuah kuil Hindu berhampiran ibu negara, Kuala Lumpur.
Sementara itu, pegawai Waytha, telah bercakap kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.
"Polis berkata Waytha disiasat kerana ucapan yang dibuatnya mengenai perhimpunan ICERD yang akan diadakan hujung minggu ini," kata pegawai itu, yang merujuk kepada Konvensyen Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
"Apa yang saya tahu, Waytha tidak mengulas apa-apa pun mengenai perhimpunan itu," kata sumber tersebut.
Menurutnya, Waytha juga akan disoal siasat mengenai rakaman video pada satu acara PBB kira-kira 10 tahun lalu di mana beliau bercakap tentang diskriminasi terhadap etnik minoriti India di Malaysia, dan mendakwa bahawa ramai penganut Hindu dipaksa menukar agama kepada Islam bagi mendapatkan pekerjaan dan pendidikan di negara majoriti Muslim itu.
Berikutan video itu diviralkan baru-baru ini, pengkritik kerajaan telah menggesa Waytha supaya meletakkan jawatannya.
"Polis mahu merakamkan kenyataannya berdasarkan dua isu ini," kata pegawai itu.
Waytha disoal siasat beberapa hari selepas kabinet Mahathir memutuskan minggu lalu untuk menarik balik moratorium ke atas Akta Hasutan 1948, Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA), dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA). Tindakan menarik balik moratorium itu dibuat susulan insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.
"Keputusan itu dibuat dengan mengambil kira tiga perkara yang menjadi keutamaan," kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada Isnin dengan menjelaskan bahawa ia berkaitan soal keselamatan, ketenteraman awam dan hubungan kaum di negara itu.
Muhyiddin berkata bahawa beliau dan Gobind telah mencadangkan agar moratorium itu ditarik balik dan Kabinet mempersetujuinya.
"Ini memberi kuasa penuh kepada polis untuk bertindak bagi memastikan keselamatan awam sentiasa dikekalkan," katanya pada Ahad. "Polis berhati-hati sebelum ini dan beberapa orang mengambil kesempatan daripada keadaan itu kerana mereka fikir polis tidak boleh bertindak."
Pada Julai lalu, Mahathir mengumumkan bahawa kabinetnya memperjuangkan pemerintahan berdasarkan undang-undang dan berjanji untuk memansuhkan beberapa undang-undang termasuk SOSMA, yang membolehkan penahanan individu tanpa perbicaraan.
Parti pembangkang utama Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang pernah dipimpin bekas Perdana Menteri Najib Razak, telah memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh mengancam keselamatan negara.
Walaupun menarik balik moratorium itu, kabinet masih mengkaji undang-undang berkenaan, kata Muhyiddin.
Fuzi pula memberitahu pemberita bahawa pihak polis telah menahan lebih 80 suspek berhubung kejadian kekecohan di kuil Hindu tersebut.
Kekecohan itu didakwa berlaku selepas 50 lelaki bertopeng menyerbu masuk ke dalam kuil dan menyerang penganutnya. Pihak berkuasa menyifatkan kejadian itu berpunca daripada pertikaian mengenai penempatan semula rumah ibadat itu dan bukannya berkaitan dengan perkauman.
"Sehingga 8 pagi ini, sejumlah 83 lelaki telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kekecohan di kuil itu," kata Fuzi kepada pemberita di kolej latihan polis pada awal Selasa. "Kami masih menyiasat dan mereka yang melanggar undang-undang akan ditahan."
Perhimpunan Sabtu
Sementara itu pada Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah meluluskan permit bagi penganjuran perhimpunan yang akan diadakan pada 8 Dis oleh kumpulan Muslim konservatif yang menentang konvensyen PBB.
Malaysia, Myanmar dan Brunei adalah tiga negara Asia Tenggara yang masih belum menandatangani perjanjian PBB itu.
Pada 23 Nov, Mahathir mengumumkan bahawa kerajaannya tidak akan meratifikasi perjanjian itu walaupun telah berikrar untuk berbuat demikian semasa berucap di Perhimpunan Agung PBB di New York pada September lalu.
Semasa beliau berucap di PBB, perdana menteri berkata: “Saya mahu menekankan bahawa kita adalah negara yang berbilang-bilang kaum dan berbilang-bilang agama. Kita akan menghadapi masalah dengan perkara itu. Jadi sekarang, masalah yang kita jangkakan itu telah berlaku, dan kita perlu menanganinya."
Gerakan Pembela Ummah dan NGO lain yang berpejabat di Malaysia menyatakan bahawa peruntukan tertentu dalam konvensyen PBB itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia yang menjamin keistimewaan dan insentif tertentu untuk etnik Melayu dan bumiputera lain termasuk kuota memasuki institusi awam.