Garis Panduan Baharu Media Sosial Lenyapkan Kebebasan Bersuara, Kata Pengkritik

Ray Sherman
2017.05.05
Kuala Lumpur
170505-MY-social-media-RT-620.jpg Logo perkhidmatan pesanan mudah alih WhatsApp, 28 Dis 2016.
AFP

Kumpulan hak-hak sivil dan pentadbir kumpulan chat internet menyifatkan garis panduan baharu Malaysia bagi media sosial dan platform permesejan sebagai alat untuk menutup mulut pengkritik kerajaan serta menghalang kebebasan bersuara.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada lewat Rabu telah mengeluarkan senarai enam perkara apa yang boleh dilakukan dan enam perkara tidak boleh dilakukan, yang disasarkan kepada pentadbir WhatsApp serta platform lain termasuk Facebook, WeChat, Viber dan Telegram.

"Garis panduan tersebut mengganggu privasi rakyat serta kebebasan bersuara dan sudah tentu tidak selaras dengan amalan demokrasi," kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty Eric Paulsen kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Beliau menyifatkan garis panduan itu sebagai tidak perlu dan mendesak SKMM untuk menangani jenayah sebenar internet, termasuk ugutan jenayah serta penipuan.

Perkara yang digariskan SKMM termasuk: pentadbir harus menjelaskan sebab bagi kumpulan chat; mewujudkan peraturan; komen yang disiarkan perlu dipastikan mengekalkan perbincangan di landasan yang betul; mempertimbang untuk mengeluarkan mereka yang konsisten menyiarkan kandungan tidak sesuai; dan bekerjasama dengan siasatan agensi penguatkuasaan.

Larangan-Larangan untuk pentadbir termasuk: tidak boleh tidak hadir dari kumpulan mereka; tidak melanggar syarat yang ditetapkan oleh penyedia platform; tidak menggalakkan atau menghasut post yang menyakitkan hati; tidak membenarkan perbincangan di luar topik; jangan takut untuk menangani "trolls"; dan tidak menghalang siasatan oleh agensi-agensi penguatkuasaan.

Amaran dikeluarkan

Garis panduan itu dikeluarkan selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Jailani Johari memberi amaran pada 27 April lalu bahawa pentadbir kumpulan chat WhatsApp berdepan dengan tindakan undang-undang kerana gagal menghentikan penyebaran berita palsu.

SKMM memperjelas kenyataannya dengan menambah kumpulan media sosial lain turut terikat dengan amaran itu dan berkata siasatan akan dijalankan hanya jika aduan dibuat mengenai kandungan yang dikongsi oleh kumpulan.

"Perlu ditekankan bahawa sebarang siasatan tidak akan membezakan antara pentadbir dan anggota kumpulan. Jika pentadbir atau mana-mana anggota kumpulan didapati menyebarkan maklumat palsu, maka tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka, " kata SKMM.

Garis panduan yang dikeluarkan pada Rabu hanya menyasarkan pentadbir.

Pengkritik menegaskan bahawa peruntukan hukuman telahpun wujud di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia yang menyasarkan penyebaran berita palsu, fitnah, penipuan dan pendedahan maklumat sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi. Garis panduan baharu itu tidak menyatakan hukuman baharu atau tambahan.

"Ia hanya satu alasan untuk mengenakan tindakan keras serta menakut-nakutkan pengkritik kerajaan, dan bukannya usaha ikhlas atau praktikal untuk menangani isu-isu sebenar," kata Paulsen.

Pada Jumaat, Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak berkata SKMM hanya memberi nasihat kepada pengguna dan tidak "terlibat dalam apa-apa aktiviti mengintip perbualan."

"Oleh itu, berhati-hati dengan berita palsu," katanya kepada The New Straits Times.

Shamini Darshni, Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia, yang tidak bersetuju dengan garis panduan itu, berkata platform itu sepatutnya menjadi tempat untuk bebas meluahkan kepercayaan dan idea tanpa rasa takut atau sebarang gangguan.

"Garis panduan SKMM tidak berbuat apa-apa untuk melindungi ruang yang semakin mengecil untuk bersuara," katanya kepada BeritaBenar. "Tujuan Garis panduan ini adalah tidak jelas dan perlu diperjelas."

Seorang pentadbir WhatsApp, yang mahu dikenali sebagai Patrick, menyoal sama ada satu pasukan khas akan "mengintip perbualan peribadi rakyat."

"Jika tindakan diambil berdasarkan aduan, bagaimana jika ada 'pengadu' dalam kumpulan saya  yang membuat aduan palsu terhadap saya kepada pihak berkuasa? Adakah saya akan ditahan? " kata Eksekutif Pemasaran itu yang menguruskan beberapa kumpulan WhatsApp dalam kalangan anggota keluarga dan rakan sekerja kepada BeritaBenar.

Seorang lagi pentadbir mempunyai kebimbangan yang serupa.

"Selalunya, orang-orang yang berkongsi berita yang tidak disahkan dalam kumpulan keluarga saya adalah daripada kalangan warga emas. Saya sering memperbetulkan mereka dengan memaklumkan ia adalah satu penipuan, tetapi mereka terus melakukannya, bagaimana saya boleh ‘beri amaran' kepada mereka, atau menendang mereka keluar dari kumpulan? " kata pentadbir beberapa kumpulan Whatsapp yang mahu dikenali sebagai Sheena kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.