Dua suspek ditahan susulan insiden pengeboman kereta di Selatan Thailand

Mariyam Ahmad
2024.07.01
Pattani, Thailand
Dua suspek ditahan susulan insiden pengeboman kereta di Selatan Thailand Seorang pegawai polis memeriksa lokasi kejadian selepas sebuah kereta meletup di depan kuarters Balai Polis Bannang Sata di Yala, sebuah wilayah di selatan Thailand, 30 Jun 2024.
[Edaran Balai Polis Bannang Sata]

Dua lelaki termasuk seorang jurutera yang bertugas di sebuah agensi kerajaan tempatan ditahan semalam selepas dipercayai terlibat dalam insiden pengeboman kereta yang meragut nyawa seorang guru wanita di wilayah Selatan Thailand yang bergolak pada Ahad, demikian kata pegawai.

Letupan yang berlaku di depan kompleks perumahan pegawai polis di Bannang Sata, sebuah daerah dalam wilayah Yala, telah menyebabkan seorang maut manakala 34 lagi cedera selain merosakkan harta benda seperti kereta, motosikal dan tiang utiliti berdekatan, demikian menurut pihak berkuasa Thailand.

Suspek yang ditahan adalah pembantu jurutera awam berusia 27 tahun yang bertugas dengan Pertubuhan Pentadbiran Daerah Kecil (SAO) di Than To, sebuah lagi daerah di Yala, dan seorang pekerja aluminium berusia 45 tahun, kata pihak berkuasa . BenarNews tidak menyiarkan nama kerana mereka belum didakwa.

"[Suspek pertama, seorang jurutera] kelihatan gugup semasa disoal siasat. [Suspek kedua] pula adalah orang terakhir yang meninggalkan premis SAO dan telah menghubungi [suspek lain] untuk bertanya tentang kunci kenderaan pada kira-kira 4 petang," kata Kolonel Ekwarit Chobchuphon, jurucakap ISOC-4, pejabat serantau bagi Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri, dalam satu kenyataan.

Kenderaan yang digunakan dalam letupan itu dipercayai milik pejabat SAO dan dilaporkan telah dicuri sehari sebelum insiden itu, kata pegawai.

Pihak berkuasa belum mengenal pasti motif insiden itu namun puak pemisah yang bergerak aktif di seluruh wilayah sempadan selatan Thailand dengan bilangan anggota yang ramai amat terkenal dengan tindakan mereka yang sering melakukan pengeboman di tepi jalan serta memasang bom pada kereta dan motosikal.

Suspek telah dibawa ke Rejimen Pasukan Renjer ke-41 di Raman, sebuah lagi daerah di wilayah itu untuk soal siasat. Pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa isteri jurutera yang ditahan adalah individu dalam buruan bagi kes jenayah berasingan namun mereka enggan memberikan butiran lanjut.

"Kereta itu, Toyota empat pintu berwarna biru, tidak diubah suai di bahagian luar namun dipasang dengan bahan letupan buatan sendiri yang diisi dalam silinder gas seberat 16 kg. Bom itu mengandungi potongan bar keluli serta bahan letupan dengan berat lebih 80 kg kesemuanya bersama-sama dua gelen minyak. Ia diletupkan oleh pemasa," kata Leftenan Jeneral Polis Piyawat Chalermsi, komander bagi Polis Wilayah 9 yang mengesahkan bahawa kenderaan itu milik Than So SAO.

240630_01.jpg

Menteri Kehakiman Thailand, Tawee Sodsong (berbaju merah) melawat lokasi kejadian letupan bom kereta di hadapan kompleks kediaman polis di daerah Bannang Sata, Yala, selatan Thailand, 30 Jun 2024. [Edara Balai Polis Bannang Sata]

Kesemua 34 mangsa yang cedera dalam insiden itu tidak berdepan kecederaan yang boleh mengancam nyawa.

Satu-satunya mangsa yang terkorban dikenali sebagai Rokiyoh Sarana, seorang guru berusia 45 tahun yang mengajar di sebuah sekolah Islam tempatan. Mangsa yang sedang memandu terbunuh apabila bom itu meletup ketika dia ingin membeli makanan untuk pelajarnya, kata pegawai.

Rokiyah sudah berkahwin serta mempunyai tiga orang anak dan keluarganya akan menerima bantuan dan sokongan kewangan, kata Ramadan Hayeeawae, penolong ketua setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC). Pampasan itu termasuk sokongan pendidikan untuk anak mangsa sehingga mereka melanjutkan pengajian ke universiti dan pakej kewangan sebanyak 500,000 baht (AS $14,000).

Yala dan tiga wilayah di kawasan sempadan yang majoriti penduduknya adalah Melayu Islam serta terletak berhampiran dengan Malaysia merupakan kubu kuat pejuang pemisah yang terlibat dalam pemberontakan selama beberapa dekad.

Sejak pemberontakan tercetus semula 20 tahun lepas, dilaporkan terdapat lebih 22,200 insiden keganasan di wilayah itu sehingga 2023 yang menyaksikan lebih 7,540 kematian dan 14,000 kecederaan, menurut data Deep South Watch, sebuah badan pemikir tempatan.

Serangan pada Ahad itu adalah insiden pengeboman kereta kesembilan yang menyasarkan kuarters polis di wilayah sempadan selatan Thailand sejak 2017.

Insiden sebelum ini berlaku pada 22 Nov 2022 di kuarters Balai Polis Muang Narathiwat yang mengorbankan seorang pegawai dan mencederakan 37 lagi di wilayah berhampiran iaitu Narathiwat.

Keganasan yang dikaitkan dengan pemberontakan itu masih berterusan walaupun Malaysia telah mempelopori usaha mengadakan rundingan damai secara langsung pada 2020 di antara Thailand dan Barisan Nasional Revolusi (BRN), kumpulan pemberontak terbesar serta paling berpengaruh dalam kalangan pejuang dan puak pemisah di selatan negara berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.