Empat Rakyat Yaman Rancang Serang Kerabat Diraja Arab Saudi: Ketua Polis Malaysia
2017.03.07
George Town

Pihak berkuasa menggagalkan rancangan untuk menyerang kerabat diraja Arab Saudi yang mengadakan lawatan ke Malaysia apabila ia enahan empat rakyat Yaman dalam serbuan memerangi keganasan bulan lalu, kata Ketua Polis Malaysia pada Selasa tanpa memberikan butiran lanjut.
Suspek berkenaan, yang tidak dinamakan, telah ditangkap pada 26 Feb lalu berikutan serbuan di Serdang dan Cyberjaya, di negeri Selangor.
Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan rombongannya tiba di Malaysia pada hari tersebut untuk lawatan negara empat hari.
Bercakap pada sidang berita semasa persidangan serantau mengenai penguatkuasaan narkotik antarabangsa, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar tidak menamakan kerabat diraja Arab Saudi yang disasarkan dalam rancangan serangan itu.
"Suspek-suspek berkenaan terlibat dalam menghasilkan dokumen perjalanan palsu dan pengedaran dadah," kata Khalid kepada pemberita.
"Mereka merancang untuk menyerang kerabat diraja Arab Saudi yang mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur. Alhamdulillah, kita dapat menahan mereka sebelum dapat melaksanakan rancangan mereka. "
Rakyat Yaman antara 7 suspek yang ditangkap
Pada Ahad, apabila mereka mengumumkan penangkapan tujuh suspek pengganas dalam beberapa serangan pada Februari lalu, polis berkata, empat rakyat Yaman itu merupakan ahli puak pemberontak di Yaman.
Rakyat Yaman itu dikaitkan dengan sindiket pemalsuan pasport manakala suspek lain dikaitkan dengan rancangan pengeboman kereta yang dapat digagalkan, kata para pegawai dalam sidang berita pada Ahad. Polis berkata, mereka turut merampas pasport antarabangsa palsu dan sejumlah RM270,000 (AS$60,600) dalam matawang asing.
Kesemua tujuh suspek itu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan Akta Imigresen, kata Khalid pada Ahad.
Sebelum Raja Salman berlepas ke Indonesia, kerajaan Arab Saudi dan Malaysia mengeluarkan kenyataan bersama yang mengumumkan penubuhan Pusat Raja Salman bagi Keamanan Antarabangsa, yang dijadual dibuka dalam tempoh tiga bulan dan menumpukan kepada memerangi keganasan global.
Selain keganasan, Raja Salman dan para pegawai Malaysia turut membincangkan isu Palestin, keadaan di Syria, krisis kemanusiaan di Yaman dan musuh Arab Saudi, Iran, yang didakwa campur tangan hal ehwal dalaman negara lain.
Malaysia dan Arab Saudi mengumumkan pemeteraian empat memorandum dan usaha sama bernilai RM9.74 bilion (US$ 2.19 bilion) dalam usaha sama minyak dan gas, kewangan Islam, produk halal dan pembuatan.