Malaysia Ulangi Gesaan Perangi Militan Dengan Strategi Komprehensif

Staf BeritaBenar
2016.04.02
Washington
160402-my-zahid-620 Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pemimpin dunia, termasuk Perdana Menteri Denmark, Lars Lokke Rasmussen, Presiden Majlis Eropah Donald Tusk, Menteri Luar Vietnam Pham Binh Minh dan Menteri Hal Ehwal Luar Negara Pakistan Tariq Fatemi yang mengambil bahagian pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Pusat Konvensyen Walter E . Washington, di Washington, DC, 1 April 2016.
AFP

Misi memerangi dan menghapuskan militan radikal kumpulan Negara Islam (IS), Al-Qaeda atau rangkaian militan lain di seluruh dunia boleh dicapai sekiranya semua negara melaksanakan strategi menangani pengganas secara komprehensif dan meluas, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu.

Mengulangi gesaannya itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, menangani keganasan dan ekstremisme adalah satu usaha kolektif dan holisitik, dan Malaysia yakin kerjasama serantau dan antarabangsa boleh memastikan kejayaan usaha itu.

Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada majlis bicara bersama Timbalan Perdana Menteri Malaysia di The School Of International Service, American University di ibu negara Amerika Syarikat pada Sabtu. Text ucapan beliau diperolehi BeritaBenar.

Beliau berada di Washington sejak Selasa, untuk lawatan kerja seminggu termasuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Pusat Konvensyen Walter E. Washington.

“Keganasan adalah satu ancaman yang serius di dunia. Ia tidak mengenal sempadan dan berlaku di tempat yang tahap keselamatannya tinggi,” katanya sambil menzahirkan rasa sedih Malaysia dengan serangan di Brussels dan Lahore baru-baru ini, serta di Paris, Istanbul, Ankara, Jakarta, Beirut, San Bernardino dan bandar-bandar lain.

Pada 22 Mac lalu, Brussels diserang pengganas yang mendakwa diri mereka daripada IS hingga mengakibatkan 30 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera. Sebelum itu, Ankara diserang pada 13 Mac dan Istanbul pada 19 Mac.

Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang disasarkan dalam serangan didakwa dilakukan IS, yang mengorbankan lapan orang di pusat bandar Jakarta termasuk empat suspek penyerang pada 14 Januari lepas.

Serangan 13 November yang berlaku di Paris pula  mengorbankan 129 orang dan mencederakan 352 yang lain.  

Ahmad Zahid turut mengingatkan bahawa keganasan boleh menyerang pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

“Itulah sebabnya kita - masyarakat dunia - mesti bekerjasama dalam mengenal pasti dan meneutralkan ekstremis di seluruh dunia,” katanya.

Ahmad Zahid  berkata, Malaysia sendiri bersungguh-sungguh memerangi dan menghapuskan ekstremisme di Malaysia termasuk melaksanakan tiga perkara.

“Pertama, Malaysia mesti menafikan golongan ini daripada mendapat dana dan bantuan kewangan daripada mana-mana pihak termasuk menggunakan Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).

“Kedua, kita mesti menghalang mereka daripada mengendalikan bahan letupan, membuat bom dan pengendalian senjata api.

“Ketiga, kita mesti menghalang mereka daripada mempunyai akses kepada peranti Improvised Explosive (IED) dan mana-mana komponen yang berkaitan nuklear,” tegas beliau.

'Kerjasama'

Menurutnya, Malaysia juga menjalinkan kerjasama menyeluruh dengan Amerika Syarikat dalam memerangi IS termasuk membangunkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi di Kuala Lumpur bagi mengekang penyebaran ideologi dan maklumat palsu serta merekrut ahli militan IS menerusi media sosial.

Kesungguhan Malaysia memerangi militan juga membuatkan negara Asia Tenggara itu menyertai Gabungan Global menentang IS yang diterajui Amerika Syarikat pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu dan menandatangani dokumen Keselamatan Tanah Air Arahan Presiden No 6 bagi membolehkan Malaysia dan Amerika saling bertukar maklumat mengenai pengganas dan  jenayah berat.

“Bersama-sama dengan Amerika Syarikat dan kerajaan lain, Malaysia melakukan apa yang diperlukan untuk melindungi setiap rakyat daripada sebarang ancaman nyawa dan harta mereka. Keganasan adalah satu pemberontakan ganas dan berdarah yang bertujuan hanya untuk menindas dan memusnahkan semua yang menentang misinya.

“Kita perlu jelas dengan apa yang kita hadapi. IS atau ‘The Islam State’ atau ISIL hanya  menganiaya minoriti agama dan etnik, menculik dan memenggal orang awam, dan membunuh kanak-kanak.  Mereka menghambakan, menyeksa dan merogol wanita dan gadis.

“IS beroperasi dalam tiga dimensi - sebuah daerah di Iraq dan Syria, sebuah rangkaian pengganas antarabangsa termasuk ahli gabungan di seluruh dunia serta pergerakan ideologi radikal jihadisme radikal.

“Kita perlu menyasarkan dan menghapuskan kesemua dimensi ini. Saya ingin jelaskan  yang Malaysia bersatu dengan Amerika Syarikat dan rakan-rakan gabungan dengan matlamat utama kami memerangi keganasan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia turut mengambil langkah ‘memulihkan’ militan yang dipenjarakan menerusi usaha deradikalisasi bagi menyedarkan mereka tentang bahayanya gerakan ekstremis dan cuba membawa mereka kembali ke pangkuan masyarakat.       

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.