Malaysia: Contohi Syarikat AS Bantu Mangsa Pemerdagangan Manusia

Ray Sherman
2017.07.27
Kuala Lumpur
pemerdagangan.jpeg Seorang lelaki sedang duduk di tengah-tengah deretan keranda pada pengebumian semula mayat-mayat dipercayai mangsa pemerdagangan manusia yang ditemui di kem-kem transit penyeludupan manusia di utara Malaysia, 22 Jun 2015.
AFP

Kerajaan Malaysia menggalakkan syarikat tempatan menawarkan pekerjaan kepada mangsa pemerdagangan manusia dengan mengambil contoh seperti yang dilakukan oleh beberapa buah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) di Malaysia, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen pada Khamis.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata demikian dalam satu sesi “Waktu Pertanyaan Menteri” di sidang Parlimen di Kuala Lumpur apabila diajukan soalan mengenai isu pemerdagangan manusia di Malaysia yang pernah menjadi tumpuan dunia.

“Beberapa syarikat dari Amerika Syarikat (AS) telah menawarkan pekerjaan kepada mangsa. Syarikat tempatan patut mencontohi syarikat AS,” kata Ahmad Zahid dalam sesi tersebut.

Ahmad Zahid berkata beliau mahukan usaha yang lebih jitu dari syarikat tempatan yang akan diberikan kemudahan oleh kerajaan dalam membantu isu tersebut.

Sebelum itu, beliau ditanya oleh seorang anggota parlimen Barisan Nasional (BN), apakah faktor yang membantu peningkatan kedudukan Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2017 oleh Jabatan Negara AS dan apakah yang dibuat oleh Malaysia untuk mengekalkan pencapaian tersebut.

Pada Jun lalu, Malaysia dinaik taraf ke Tahap 2 daripada Tahap 2 Senarai Pemerhatian pada tahun sebelumnya dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2017.  Pada 2015 pula, Malaysia menduduki Tahap 2 Senarai Pemerhatian manakala pada 2014, Malaysia berada di Tahap 3.

Berdasarkan laporan itu, Tahap 1 dianggap sebagai memenuhi sepenuhnya standard minimum perlindungan mangsa pemerdagangan. Negara yang berada di Tahap 2 telah mengambil langkah ketara untuk memenuhi standard.

Bagi kategori Pemerhatian Tahap 2, sesebuah negara telah mengambil langkah ketara untuk memenuhi standard, namun gagal menyediakan bukti bahawa usaha telah dipertingkatkan.

AS terus galakkan usaha Malaysia

Sementara itu, seorang jurucakap kedutaan AS memberitahu BeritaBenar, “Kami menggalakkan Malaysia untuk terus memberi tumpuan dalam meningkatkan usaha untuk memberi perlindungan kepada mangsa,” kata jurucakap itu.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa syarikat AS di Malaysia yang mempunyai program inovatif dan menumpukan tanggungjawab korporat mereka kearah membantu mangsa pemerdagangan manusia.

"Kami hanya melihat dan memantau usaha syarikat-syarikat berkenaan, sama ada mereka mahu menghebahkan usaha mereka itu atau tidak," katanya sambil tidak menamakan syarikat dari AS yang terbabit dalam usaha berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata negara-negara sumber pemerdagangan manusia turut boleh membantu Malaysia untuk mencapai matlamat Tahap 1 pada tahun 2020.

“Kami positif boleh mencapai tahap itu dengan syarat mendapat kerjasama dari negara-negara sumber yang menimbulkan masalah kepada kita -  kerana yang menjadi beban adalah negara kita,” katanya

Menurut Zahid, usaha menggalakkan syarikat tempatan adalah inisiatif proaktif untuk memberi perlindungan kepada mangsa pemerdagangan orang.

"Setakat ini, kerajaan telah bekerjasama dengan dua buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Kerajaan memberi peruntukan (kewangan) kepada mereka, serta menggalakkan NGO lain untuk turut memberi perlindungan kepada mangsa pemerdagangan manusia ini. Kerajaan juga menyediakan beberapa kemudahan, termasuk memberi pekerjaan,” katanya sambil menambah dua badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam usaha itu ialah Tenaganita dan Good Shepherd Community Centre.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan telah memberi peruntukan berjumlah RM1.38 juta kepada dua NGO tersebut dalam melaksanakan projek membantu mangsa pemerdagangan manusia itu.

Tambahnya lagi, sebanyak 254 kes penyeludupan manusia dilaporkan setakat Jun, dan 67 kes telah disabitkan.

Malaysia di'naiktaraf'


Laporan Pemerdagangan Manusia 2017 itu telah memuji usaha kerajaan Malaysia dalam mengenal pasti mangsa pemerdagangan manusia namun berkata langkah itu mempunyai kekurangan dari segi perlindungan.

Kerajaan Malaysia tidak sentiasa memantau sektor pekerja migran yang mungkin menjadi mangsa pemerdagangan manusia, kata laporan itu baru-baru ini.

Selain itu, katanya “tidak semua mangsa pemerdagangan manusia diberikan kebebasan untuk bergerak dan bekerja sementara menunggu siasatan terhadap kes mereka dalam sistem kehakiman.”

Kedudukan tersebut adalah pencapaian terbaik Malaysia sejak 2007, setelah negara itu mempunyai undang-undang khusus mengenai pemerdagangan orang.

"Pengiktirafan ini adalah berdasarkan peningkatan siasatan, pendakwaan dan sabitan kes pemerdagangan orang berbanding tahun sebelumnya,” kata Ketua Pengarah kementerian itu, Alwi Ibrahim, dalam satu kenyataan pada bulan lalu.

Pada 2016, kerajaan Malaysia telah menjalankan sejumlah 581 siasatan dalam kes-kes yang mungkin berkaitan dengan pemerdagangan manusia berbanding 158 bagi tahun sebelumnya.

Ia memulakan pendakwaan terhadap 175 yang disyaki pesalah, menunjukkan peningkatan, berbanding 38 pada 2015 dan mendapati sejumlah 35 orang bersalah – 18 orang daripada mereka bagi kesalahan pemerdagangan untuk tujuan buruh dan 17 bagi tujuan seks.

Pada Februari lalu, Zahid berkata, Malaysia mencatatkan 100 sabitan kes pada 2016.

Malaysia menjadi tumpuan dunia apabila ratusan kubur yang mengandungi mayat mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya Islam dari Myanmar dan pendatang Bangladesh, ditemui di Wang Kelian, Perlis pada Mei 2015. Penemuan ini adalah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.

Pada Mac lalu, dalam jawapan bertulis di Parlimen, Zahid berkata empat warga asing telah didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Wang Kelian manakala 12 anggota polis dibebaskan daripada pendakwaan kerana kekurangan bukti.

Manakala di Thailand pula, 62 orang individu, termasuk seorang bekas jeneral tentera berpangkat tiga bintang, baru-baru ini dijatuhi hukuman penjara atas penglibatan dalam aktiviti penyeludupan manusia yang membawa kepada penemuan ratusan kubur tersebut di sebelah Thailand.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.