Dua Juta PATI Boleh Miliki Permit Kerja Sah Mulai 15 Feb Ini

Suhana Osman & Ahmad Najmi
2016.02.05
160205-my-pati6201 Pekerja asing rakyat India berehat seketika daripada melakukan kerja-kerja mendirikan sebuah tiang elektrik di pinggir Kuala Lumpur, 14 March 2007.
AFP

Malaysia akan melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula (Rehiring program) Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) mulai 15 Febuari ini, yang sekaligus membolehkan kira-kira dua juta pekerja asing haram, memiliki permit kerja yang sah, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat.

Beliau berkata, fasa pertama program itu akan dilaksanakan selama tiga bulan mulai tarikh berkenaan, dengan memberi peluang kepada pekerja asing haram mendaftar melalui talian tanpa melalui agen pekerjaan untuk mendapatkan permit sah mereka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun berkata, perlaksanaan program itu akan dibuat serentak di seluruh negara tetapi bagi negeri Sabah dan Sarawak, ianya akan diselia pihak berkuasa negeri masing-masing

Pada 28 Januari lepas, Perdana Menteri Najib Razak semasa membacakan perutusan Khas Mengenai Pengubahsuaian Bajet 2016 berkata, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI untuk memberi peluang kepada mereka yang bekerja secara haram di Malaysia diberikan permit kerja yang sah.

“Perlaksanaan program ini adalah bagi memenuhi permintaan industri serta membolehkan kerajaan mengetahui jumlah PATI di negara ini, bagi tujuan pemantauan keselamatan,” kata Najib.

Kerajaan Malaysia juga pada Jun tahun lepas, mengumumkan yang negara itu akan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja dari Bangladesh secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi menampung permintaan majikan daripada pelbagai sektor.

'Tipu ejen'

Ahmad Zahid menambah, program Penggajian dan Penempatan Semula itu juga akan dapat mengelak pekerja asing daripada ditipu oleh ejen yang menguruskan pendaftaran mereka serta kejadian majikan gagal membayar levi untuk pekerja.

“Kementerian mendapat maklum balas dari majikan yang telah membuat permohonan pendaftaran melalui ejen dengan membayar sejumlah wang, tetapi pendaftaran itu tidak dilaksanakan sekaligus menjadikan pekerja mereka itu sebagai pekerja tidak sah di Malaysia.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga mendapati pembayaran levi tidak dibuat, oleh ejen yang menguruskan pendaftaran pekerja asing " katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahunan 2016 Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pelancaran Buku Dasar KDN di Putrajaya pada Jumaat.

Beliau berkata, program itu akan diteruskan jika mendapat sokongan daripada majikan dan pekerja asing.

Ahmad Zahid semasa mengadakan lawatan rasmi ke Sibu, Sarawak pada Isnin lepas, mengumumkan mengenai penstrukturan semua kadar levi pekerja asing bagi sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian yang dijangka memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada negara

Semasa pengumuman itu, Ahmad Zahid dilaporkan media tempatan sebagai berkata, levi baru bagi sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan adalah sebanyak RM2, 500 manakala sektor perladangan perlu membayar RM1, 500 berbanding kadar sebelum ini iaitu kira-kira RM1,250

Bagaimanapun, penstrukturan semula itu tidak melibatkan sektor pembantu rumah yang kekal pada tahap RM410.

Pada pengumuman itu, Ahmad Zahid juga berkata, kerajaan perlu tampil dengan kadar baru berkenaan, memandangkan pekerja asing turut menikmati pelbagai faedah seperti harga subsidi makanan dan keperluan lain yang sepatutnya untuk rakyat Malaysia.

Namun jelasnya, kerajaan tetap mengiktiraf peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara.

Sejak itu, pelbagai reaksi negatif diterima kerajaan kerana penstrukturan kadar baru levi yang diperkenalkan melibatkan sehingga dua kali ganda yang dilihat oleh majikan sebagai membebankan mereka atas faktor keadaan ekonomi yang mencabar dengan kelemahan nilai ringgit.

Dalam sidang media yang sama hari ini, Ahmad Zahid tidak menafikan menerima rungutan dan kritikan terhadap perlaksanaan penstrukturan kadar baru levi itu dan perkara itu telahpun dibincangkan bersama Perdana Menteri.

"Kita akan meneliti perkara ini semula, terutamanya beberapa aspek tertentu, yang merangkumi kadar dan tempoh perlaksanaannya… satu pertemuan antara KDN dan majikan akan diadakan selepas Chap Goh Mei [perayaan kaum Cina] untuk membincangkan berkaitan perkara ini,” tambah beliau.

Akhbar The Edge pada Rabu lalu melaporkan syarikat Top Glove Corporation, kilang pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia,yang beroperasi di Malaysia, telah mengumumkan hasrat untuk mengurangkan lima peratus pekerja asing mereka tahun ini, akibat kesan daripada langkah peningkatan kadar levi yang diperkenalkan kerajaan itu.

Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Wee Chai yang dipetik sebagai berkata, syarikat itu pada masa ini mempunyai sekitar 7,000 pekerja asing dan mendakwa keputusan kerajaan menaikkan levi tahunan setiap pekerja asing dibuat tanpa mendapatkan pandangan sektor swasta.

“Kebanyakan syarikat dan persatuan mengadu mengenai langkah menaikkan levi ini. Keputusan yang dibuat itu tanpa sebarang perjumpaan dan dialog dengan pemain-pemain industri,” katanya seperti dilaporkan akhbar berkenaan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan seperti dilaporkan oleh akhbar The Star berkata, pihaknya bersama 54 lagi persatuan kekal dengan pendirian untuk membantah kenaikan levi pekerja asing sehingga RM2,500.

“Kerajaan digesa mengembalikan kadar levi kepada asal supaya tidak membebankan majikan-majikan yang menggaji 2.1 juta pekerja asing, yang juga terpaksa berhadapan dengan kenaikan kos dalam perniagaan…. selain itu kerajaan perlu mendaftar empat juta pekerja asing tanpa izin yang berada di Malaysia,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.