Keputusan Peguam Negara Terus Dipertikai
2016.02.02

Perdana Menteri Najib Razak dan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali berhadapan dengan desakan daripada dua belah pihak apabila satu semakan kehakiman dihantar ke mahkamah dan satu laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat pada Selasa berkaitan dengan dakwaan penyelewangan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MBD).
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan, membuat satu laporan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Apandi.
Tindakan itu dibuat kerana mereka percaya Apandi telah menyalahgunakan kuasa untuk menutup siasatan terhadap Najib dari potensi kesalahan rasuah membabitkan hampir AS$700 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya dan skandal kewangan yang lain.
Zaid, yang pernah memegang portfolio undang-undang di dalam kabinet sebelum ini, dalam permohonan kehakimannya memberitahu, semakan kehakiman itu difailkan kerana beliau bimbang kedaulatan undang-undang negara akan terjejas sekiranya tindakan seseorang individu yang mempunyai kuasa tidak boleh dipersoalkan di dalam sesuatu kes.
“Saya memohon Mahkamah Tinggi untuk memberi kebenaran, berdasarkan semakan kehakiman, untuk mengetepikan keputusan peguam negara supaya tidak mendakwa Najib dan (telah) memerintahkan SPRM menutup siasatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang diterima BeritaBenar hari ini.
‘Pertimbang prosiding’
Dalam permohonan tersebut, Zaid juga memohon kepada mahkamah agar peguam negara menggunakan budi bicaranya untuk mempertimbangkan semula dan memulakan prosiding jenayah terhadap Najib serta mengistytiharkan keputusan peguam negara menyuruh SPRM untuk menutup kes itu, sebagai tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Minggu lepas, Apandi mengumumkan bahawa “tiada kesalahan jenayah” telah dilakukan perdana menteri dan wang sejumlah AS$681 juta (RM2.08 bilion) yang dimasukkan dalam akaun peribadinya adalah ”sumbangan peribadi” daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Pengumuman peguam negara itu menamatkan siasatan peringkat nasional terhadap skandal yang membelenggu Najib sejak enam bulan lalu sehingga membawa kepada desakan supaya beliau meletakkan jawatan.
Tindakan Apandi itu sekaligus membersihkan nama perdana menteri daripada siasatan salah laku kewangan dalam SRC International, sebuah syarikat milik kerajaan yang berkaitan dengan 1MDB dan mengarahkan SPRM menutup semua siasatan terhadap Najib.
Zaid yang merupakan bekas ahli UMNO menegaskan, terdapat bukti yang kukuh bahawa Najib telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
'Penyalahgunaan kuasa’
Dalam pada itu, laporan yang dibuat Khairuddin di SPRM terhadap Apandi membabitkan penyalahgunaan kuasa yang diberikan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk membebas dan melepaskan Najib tanpa menghiraukan saranan yang dibuat oleh suruhanjaya berikutan siasatan yang telah dijalankan.
Dalam laporan tersebut, beliau meminta suruhanjaya menyiasat sama ada wujud unsur-unsur salah guna kuasa atau tindakan jenayah yang telah dilakukan oleh peguam negara.
“Siasatan ini berkaitan dengan tindakan Peguam Negara yang melepas dan membebaskan Najib, malah telah membersihkan nama Perdana Menteri dalam dua kes jenayah iaitu membabitkan derma RM2.6 bilion dan wang berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beliau oleh SRC International,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada pagi Selasa.
Beliau yang pernah ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) juga mempersoalkan tindakan Apandi yang turut mengarahkan SPRM menutup siasatan terhadap Najib.
Khairuddin adalah antara individu pertama yang melaporkan salah guna kuasa oleh Najib di dalam hal berkaitan dengan 1MDB kepada beberapa pihak berkuasa di London, Perancis, Switzerland, Singapura dan Hong Kong.
Pada Selasa juga, Pejabat Peguam Negara (OAG) Switzerland menjelaskan, Najib bukan antara individu yang dituduh melakukan kesalahan dalam siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB.
"Dalam prosiding jenayah oleh pejabat Peguam Negara ketika ini, Najib bukan merupakan antara pegawai awam yang dituduh," kata jurucakap OAG, Andre Marty, seperti yang dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang memetik berita Nikkei Asian Review.
Lewat Jumaat lepas, pejabat peguam negara Switzerland telah mengumumkan bahawa ia meminta bantuan pihak berkuasa Malaysia dalam siasatannya mengenai deposit wang AS$4 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB ke dalam bank-bank Switzerland yang mungkin telah disalahgunakan antara 2009 dan 2013.
Dan pada Sabtu, Apandi telah mengeluarkan kenyataan media dan berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di Switzerland dalam menjalankan pelbagai siasatan terhadap 1MDB, di mana lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib.
Sementara itu, di Singapura, Lembaga Kewangan Singapura (MAS) dan Jabatan Hal-Ehwal Komersil (CAD) negara itu pada Isnin, telah mengeluarkan satu kenyataan bersama yang berkata bahawa pihak berkuasa telah merampas sejumlah besar wang yang terdapat di dalam akaun bank yang mempunyai kaitan dengan penggubahan wang haram yang mungkin membabitkan 1MDB.
“Singapura tidak bertolak ansur dalam penggunaan sistem kewangannya sebagai tempat perlindungan atau saluran untuk wang haram,” menurut kenyataan itu yang dipetik dari The Straits Times Singapore.
Dalam pada itu, laman web berita asing Asia Sentinel telah disekat oleh pihak berkuasa negara itu sejak hari Jumaat. Akhbar tersebut mempersoalkan keputusan Malaysia untuk tidak mendakwa Najib dalam pertuduhan rasuah beratus juta dolar yang telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu.
BeritaBenar yang cuba mendapatkan komen daripada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai sekatan tersebut melalui panggilan telefon dan pesanan WhatsApp bagaimanapun gagal.
Dalam laporannya, Asia Sentinel telah mempersoalkan dakwaan peguam utama Malaysia pada minggu lalu bahawa AS$ 681 juta (RM2.08 bilion) yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Najib adalah hadiah daripada keluarga diraja di Arab Saudi.
Percubaan untuk mengakses laman web tersebut hari ini menghasilkan mesej berikut: 'Laman sesawang ini tidak dapat diakses di Malaysia kerana kandungannya melanggar undang-undang negara'.
Asia Sentinel adalah sebuah laman web berita serantau yang memberi tumpuan kepada Malaysia, Indonesia dan China.
Ahmad Najmi turut menyumbang kepada laporan ini.