Malaysia: Ketua Unit IS Terbunuh Dalam Serangan Udara Kerajaan Syria
2017.01.16
Kuala Lumpur

Seorang pemimpin unit pertempuran berbahasa Melayu Negara Islam (IS) di Syria dan dua rakyat Malaysia yang lain terbunuh dalam satu serangan udara kerajaan di Raqqah, Syria, pada Sabtu, kata ketua unit memerangi keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay kepada BeritaBenar.
Zainuri Kamaruddin, 50, pemimpin Katibah Nusantara (KN) muncul dalam video propaganda berbahasa Melayu IS yang diedarkan tahun lepas yang antaranya menunjukkan pasport rakyat Indonesia dan Malaysia dibakar. Video berdurasi 15 minit dan 48 saat itu menunjukkan kanak-kanak Asia Tenggara diajar mengenai ideologi ekstremis, dilatih menggunakan senjata dan dihasut untuk membakar apa yang kelihatan seperti pasport Indonesia dan Malaysia, dalam satu tindakan bagi mengumumkan tindakan melepaskan kewarganegaraan mereka.
Pada akhir video itu, Zainuri mengetuai acara membakar pasport berkenaan dan mengancam bahawa kumpulan tersebut akan menghantar tenteranya kembali ke Kepulauan Melayu untuk menyingkirkan mereka yang tidak beriman.
Ayob berkata Zainuri juga mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Malaysia dalam video itu.
Zainuri, yang lebih dikenali sebagai Abu Talhah, adalah bekas pemimpin Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM), yang dilatih di Afghanistan dan dipenjarakan di Malaysia selama 10 tahun kerana memiliki senjata api, kata Ayob. Dia ke Syria pada April 2014 dan menyertai satu lagi kumpulan pemberontak, Ajnad al-Sham, sebelum menjalinkan hubungan dengan IS.
"Zainuri terlibat dalam merekrut orang ramai menyertai kumpulan IS di Syria melalui Facebook dan juga mengaturkan urusan perjalanan untuk mereka," kata Ayob yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism Cawangan Khas Polis DiRaja Malaysia .
Seorang penganalisis memerangi keganasan pula berkata serangan udara itu akan menjejaskan kumpulan militan itu.
"Kematian Zainuri Kamaruddin, yang juga dikenali sebagai Abu Talhah, merupakan satu kehilangan besar buat kumpulan Katibah Nusantara [KN] kerana Zainuri adalah ahli berpangkat tinggi, berpengalaman dalam kaedah taktikal dan ideologi, serta merupakan individu yang bermotivasi tinggi," kata penganalisis Ahmad El- Muhammady kepada BeritaBenar.
"Tetapi, ia tidak bermakna ancaman terhadap Asia Tenggara semakin berkurangan. Ada beberapa orang lain yang sanggup mengambil langkah untuk meneruskan perjuangan itu. "
Dua yang lain terbunuh
Ayob berkata dua rakyat Malaysia yang terbunuh dalam serangan itu dikenal pasti sebagai Ahmad Asyraf Arbee Ahmad Jamal Arbee, juga dikenali sebagai Abu Luqman Al Malizi, 31, dan Sazrizal Mohd Sofian Thayalan, juga dikenali sebagai Abu Badar Al Malizi, 27. Kedua-duanya pergi ke Syria pada November 2014.
Ayob berkata, Sazrizal ke Syria dengan isterinya tanpa pengetahuan keluarga mereka dan turut muncul dalam video Zainuri.
"Sebelum menuju ke Syria, Sazrizal dan isterinya serta beberapa rakan mereka telah bekerja sebagai pemetik buah di Australia untuk mengumpul dana bagi membolehkan mereka pergi ke sana," katanya.
Antara rakan mereka ialah Mohamad Amirul Ahmad Rahim, seorang warganegara Malaysia berusia 26 tahun yang meninggal dunia ketika dia memandu trak yang penuh dengan bahan letupan, menyebabkan 21 yang lain terbunuh dalam serangan berani mati di Raqqah tahun lepas.
Ayob berkata, kematian tiga lelaki itu menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terbunuh ialah 30 daripada 95 orang yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan IS di Syria.
Sembilan membunuh diri dalam serangan bom bunuh diri, kata Ayob kepada BeritaBenar dalam satu temu bual pada akhir tahun lalu.
KN merupakan unit Kepulauan Melayu IS, iaitu kumpulan pejuang dari rantau berbahasa Melayu - Malaysia dan Indonesia serta selatan Filipina.
Unit ini boleh menjadi angkatan pertempuran di Indonesia, Malaysia dan Filipina, menurut laporan Institut Analisis Dasar Konflik, sebuah badan pemikir yang berpejabat di Jakarta, pada 2014.
"Dari sudut pandangan saya, dan maklumat yang saya ada, KN telah dan sedang berusaha gigih merekrut rakyat Malaysia untuk melaksanakan tindakan bagi pihak mereka," kata Ahmad. "Pada pendapat saya, kita boleh memusnahkan KN sama sekali jika semua ahli KN di Syria dapat dihapuskan. Ia tidak mustahil. Namun, ia adalah operasi yang sukar. "
Pihak berkuasa Malaysia telah menahan 264 suspek IS sejak 2013, dengan 66 orang daripada mereka telah pun dibebaskan, menurut statistik yang diberikan Ayob baru-baru ini.