India Akan Minta Malaysia Ekstradisi Zakir Naik: Kementerian Luar Negeri

Prabhat Sharan
2017.11.03
Mumbai
zakir.jpeg Anggota polis India berkawal di luar pejabat Yayasan Penyelidikan Islam milik Zakir Naik di Mumbai, 8 Julai 2016.
[AP]

India akan memohon bantuan kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi pendakwah televisyen, Zakir Naik, yang menghadapi pertuduhan berhubung pengubahan wang haram dan menghasut kebencian melalui khutbahnya yang disiarkan oleh Peace TV, kata Kementerian Luar Negeri pada Jumaat.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Raveesh Kumar, memberitahu taklimat media mingguan di New Delhi bahawa pegawai-pegawai akan menghubungi pihak Malaysia berhubung permintaan ekstradisi itu dalam masa dua minggu akan datang.

"Sebarang permohonan rasmi bagi meminta bantuan daripada kerajaan negara lain berhubung kes-kes ekstradisi memerlukan selesainya proses undang-undang dalam  negara membabitkan perbincangan dengan kementerian lain yang terlibat dalam kes berkenaan," kata Kumar.

"Pada peringkat ini, kami hampir menyelesaikan proses ini dan sebaik sahaja ia siap, kami akan membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Malaysia berhubung perkara ini," kata Kumar. "Ia boleh mengambil masa beberapa hari atau beberapa minggu. Tetapi, ia akan dilakukan tidak lama lagi dan sebab-sebab kami membuat permohonan ini juga jelas. "

Zakir melarikan diri dari India sebulan sebelum pengganas melakukan pembunuhan beramai-ramai di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh, pada Julai 2016. Minggu ini, Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata Zakir telah memperoleh taraf penduduk tetap yang sah di negara itu, dan pihak berkuasa Malaysia hanya akan menangkapnya jika beliau melanggar undang-undang tempatan atau didapati terlibat dalam kegiatan pengganas.

Khutbah Zakir didakwa telah memberi ilham kepada beberapa militan yang melakukan pengepungan di kafe Holey Artisan Bakery di Dhaka, di mana 29 orang termasuk 20 tebusan dan lima lelaki bersenjata, terbunuh.

Pada November 2016, kerajaan India mengharamkan pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Penyelidikan Islam, yang dimiliki Zakir. Pertubuhan itu turut membiayai sebahagian daripada saluran Peace TV yang juga diharamkan di India, Bangladesh dan beberapa negara lain.

Kumar berkata, memandangkan kerajaan India tahu Zakir berada di mana, prosedur undang-undang akan disesuaikan mengikut keperluan kedua-dua negara berdasarkan perjanjian ekstradisi mereka.

Peguam cabar pertuduhan

"Zakir sedang diburu kerana beliau berasal daripada kalangan masyarakat minoriti. Semua pertuduhan yang agensi penyiasatan katakan adalah lapuk dan salah, "kata peguam S. Hariharan kepada BeritaBenar dalam temu bual menerusi telefon dari Delhi.

"Pertuduhan itu tidak sahih dan tidak mampu berdepan dengan peneriksaan balas di mahkamah undang-undang. Kami akan mencabar ekstradisi dan pengusiran itu. "

Minggu lepas, kerajaan India memfailkan pertuduhan setebal 61 muka surat terhadap Zakir dan mendakwa beliau terlibat dalam konspirasi jenayah dengan memuji organisasi pengganas. Pada April, waran tanpa ikat jamin dikeluarkan terhadapnya berhubung dakwaan pengubahan wang haram melalui NGO dan syarikat tidak sah.

Sementara itu di Malaysia, parti pembangkang Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menggesa kerajaan negara itu untuk mengabaikan sebarang permintaan daripada kerajaan India untuk mengekstradisi Zakir, lapor Reuters.

"Bagi individu Muslim, walaupun mereka menang dengan menggunakan hujah dan bukan senjata seperti Dr. Zakir Naik, mereka dianggap sebagai pengganas kerana hujah mereka tidak boleh disanggah," kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada minggu lalu dalam satu laporan yang diterbitkan Harakah Daily .

Hareez Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.