India Tarik Balik Pasport, Zakir Naik Batalkan Ceramah di Malaysia

Hata Wahari & Kamran Reza Chowdhury
2017.07.18
Kuala Lumpur & Dhaka
160411-my-zakirnaik620.jpg Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdul Aziz (kiri) menyampaikan Hadiah Antarabangsa Raja Faisal bagi Perkhidmatan untuk Islam 2015 kepada pendakwah televisyen Zakir Naik di Riyadh, 1 Mac 2015.
[AFP/HO/Yayasan Raja Faisal]

Pendakwah Islam kontroversial Zakir Naik membatalkan kehadirannya pada perhimpunan ulama Islam di Kelantan, negeri pantai timur Malaysia, di mana beliau sepatutnya menyampaikan ceramah pada Sabtu, kata pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang menganjurkan acara itu.

Pengumuman mengenai perkara itu dibuat pada Selasa, iaitu beberapa jam selepas India memberitahu bahawa ia telah menarik balik pasport pendakwah televisyen kelahiran negara itu.

Zakir, yang telah diberikan kewarganegaraan Arab Saudi pada Mei, memberitahu penganjur pada Selasa bahawa beliau tidak dapat menghadiri acara hujung minggu di negeri yang konservatif agama itu kerana "sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan," kata Ketua Penerangan PAS Nasharuddin Tantawi yang mengesahkan perkara itu kepada BeritaBenar.

Harakah Online, portal berita PAS, melaporkan bahawa pendakwah itu telah memohon maaf "kerana tidak dapat memenuhi jemputan," dan akan mengumumkan mengenai penceramah yang menggantikannya tidak lama lagi.

Menurut laporan yang diterbitkan Times of India pada Selasa, kerajaan negara itu bertindak pantas untuk membatalkan passport Zakir selepas mengetahui tentang rancangannya menyertai perhimpunan itu di Malaysia. Pembatalan pasport itu akan memaksanya mendapatkan dokumen perjalanan khas dari Arab Saudi atau Malaysia, menurut laporan itu, yang menyatakan bahawa tindakan itu akan membolehkan India menggunakan tekanan diplomatik dan mengemukakan senarai kes terhadapnya.

Zakir, pengasas Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) yang berpejabat di Mumbai, telah berulang kali mengelak saman yang dikeluarkan oleh Direktorat Penguatkuasaan India supaya menghadiri pendengaran pertuduhan terhadap NGO beliau di mahkamah khas. Beliau meninggalkan India pada Jun 2016 dan sejak itu menetap di Arab Saudi, menurut laporan.

Pada November 2016, kerajaan India mengenakan larangan lima tahun terhadap yayasan penyelidikan Zakir, dengan menyatakan ia melanggar Akta Kawal Selia Sumbangan Asing dan Akta Pencegahan Aktiviti Tidak Sah.

Ia menuduh Zakir membuat kenyataan yang mencetuskan keresahan termasuk memuji pemimpin al-Qaeda Allahyarham Osama Bin Laden, menyokong serangan bunuh diri dan mengecam tuhan Hindu semasa menyampaikan ceramah-ceramahnya melalui Peace TV, saluran televisyen yang dibiayai oleh IRF.

Diharamkan di Bangladesh, dialu-alukan di Malaysia

Ceramah-ceramahnya yang ‘berapi’ dipercayai memberi inspirasi kepada   sekurang-kurangnya dua pengganas yang membunuh 20 orang tebusan semasa  mengepung semalaman sebuah kafe di Dhaka pada Julai 2016, menurut pegawai di Bangladesh. Sejak itu, kerajaan negara berkenaan menyekat saluran Peace TV Zakir.

Zakir Naik tidak lagi dialu-alukan di Bangladesh, kata Menteri Dalam Negeri Asaduzzaman Khan Kamal kepada BeritaBenar.

"Ceramah-ceramahnya mungkin telah memberi galakan kepada beberapa militan. Ini adalah keputusan kerajaan untuk menghalangnya memasuki  Bangladesh, "kata Khan. "Selaras dengan keputusan kerajaan, kementerian pendidikan telah menutup sekolah-sekolah Peace di Bangladesh dan kementerian telekomunikasi mengharamkan transmisi Peace TV."

Bagaimanapun, Zakir mempunyai ramai peminat dalam kalangan majoriti Muslim Sunni di Bangladesh.

"Tidak seperti Imam-imam tradisional, ceramah Zakir Naik mengandungi penjelasan baru tentang Islam; beliau mengaitkan Al-Quran dengan sains dan kehidupan seharian, "kata Ahmedul Kabir, seorang peniaga pakaian berusia 55 tahun, kepada BeritaBenar.

"Saya mengikutinya sejak lebih 10 tahun, dan saya tidak pernah mendengar beliau mengatakan bahawa membunuh orang wajar dilakukan. Jadi, saya tidak nampak sebarang rasional untuk mengharamkan Peace TV beliau, "katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia merancang untuk membenarkan Zakir mengunjungi Kelantan bagi menghadiri perhimpunan PAS itu, kata ketua polis negara kepada BeritaBenar pada Isnin.

Polis tidak menyiasat Zakir kerana kerajaan tidak menerima apa-apa permintaan daripada India untuk menahan atau mendakwa beliau, kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

"Zakir Naik boleh datang ke Malaysia pada bila-bila masa kerana beliau memegang status pemastautin tetap Malaysia," kata Khalid sebelum India membatalkan pasport Zakir. "Pada masa ini, tiada siasatan jenayah atau penglibatan dalam aktiviti militan dibuat terhadapnya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.