Malaysia Bersedia Serahkan Zakir Naik Sekiranya Ada Permohonan

Ray Sherman
2017.11.08
Shah Alam, Selangor
zakirnaik.jpg Zakir Naik menerima kad keahlian Perkasa selepas menghadiri program ‘Ijtimak 150 Cendekiawan Islam Malaysia dengan Dr. Zakir Naik anjuran Pertubuhan Pribumi Malaysia (Perkasa) di Kuala Lumpur, 16 April 2017.
[Ihsan Perkasa]

Malaysia akan menyerahkan pendakwah televisyen berasal dari India, Zakir Naik, yang menghadapi pertuduhan berhubung pengubahan wang haram dan menghasut kebencian melalui khutbahnya yang disiarkan oleh Peace TV, kata Timbalan Perdana Menteri sambil menambah sekiranya menerima permintaan daripada kerajaan India.

Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh anggota Parlimen berkata, “Sekiranya kerajaan India ada membuat permohonan untuk mengekstradisi Zakir Naik berdasarkan kepada Bantuan Undang-Undang Bersama, Malaysia akan menghantarnya pulang ke negara asal.”

“Setakat ini, tiada permohonan yang diterima daripada kerajaan India… Saya ada bertemu dengan Perdana Menteri India Narendra Modi, dan saya bersama dengan Modi ada membincangkan mengenai Zakir Naik tetapi pada masa itu tiada permohonan ekstradisi telah dikemukakan,” kata Ahmad Zahid sambil mengimbas kembali lawatan dan pertemuannya dengan Perdana Menteri India itu, Julai lepas.

Dalam pada itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu yang kerajaan Malaysia telah membuat kesimpulan bahawa pengajaran pendakwah kontroversi itu tidak menggalakkan keganasan.

“Kementerian Dalam Negeri telah meneliti "setiap ucapan" yang dibuat oleh Zakir Naik sama ada melalui video atau teks yang ditranskripsikan dari ucapannya dan tidak ada satu pun yang mengalakkan keganasan,” tambah Ahmad Zahid.

"Tafsiran ini (keganasan) datang dari pemimpin-pemimpin tertentu di luar," kata Ahmad Zahid, sambil menambah bahawa dakwaan penglibatan Zakir dalam serangan pengganas di Dhaka pada tahun 2016 adalah persepsi pihak berkuasa Bangladeshi.

Zakir melarikan diri dari India sebulan sebelum pengganas melakukan pembunuhan beramai-ramai di sebuah kafe di Dhaka, Bangladesh, pada Julai 2016. Baru-baru ini , Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata Zakir telah memperoleh taraf penduduk tetap yang sah di negara itu, dan pihak berkuasa Malaysia hanya akan menangkapnya jika beliau melanggar undang-undang tempatan atau didapati terlibat dalam kegiatan pengganas.

Khutbah Zakir didakwa telah memberi ilham kepada beberapa militan yang melakukan pengepungan di kafe Holey Artisan Bakery di Dhaka, di mana 29 orang termasuk 20 tebusan dan lima lelaki bersenjata, terbunuh.

Pada November 2016, kerajaan India mengharamkan pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Penyelidikan Islam, yang dimiliki Zakir. Pertubuhan itu turut membiayai sebahagian daripada saluran Peace TV yang juga diharamkan di India, Bangladesh dan beberapa negara lain.

Dalam pada itu, cubaan BeritaBenar untuk menghubungi pegawai Jabatan Imigresen Malaysia untuk bertanyakan sama ada Zakir berada di Malaysia pada masa ini tidak berjawab.

Minggu lepas, kerajaan India memfailkan pertuduhan setebal 61 muka surat terhadap Zakir dan mendakwa beliau terlibat dalam konspirasi jenayah dengan memuji organisasi pengganas. Pada April, waran tanpa ikat jamin dikeluarkan terhadapnya berhubung dakwaan pengubahan wang haram melalui NGO , yang beliau usahakan serta syarikat tidak sah.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Raveesh Kumar, memberitahu taklimat media mingguan di New Delhi bahawa pegawai-pegawai akan menghubungi pihak Malaysia berhubung permintaan ekstradisi itu dalam masa dua minggu akan datang.

"Sebarang permohonan rasmi bagi meminta bantuan daripada kerajaan negara lain berhubung kes-kes ekstradisi memerlukan penyelesaian proses undang-undang dalam  negara yang membabitkan perbincangan dengan kementerian lain yang terlibat dalam kes berkenaan," kata Kumar.

"Pada peringkat ini, kami hampir menyelesaikan proses ini dan sebaik sahaja ia siap, kami akan membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Malaysia berhubung perkara ini," kata Kumar.

"Ia boleh mengambil masa beberapa hari atau beberapa minggu. Tetapi, ia akan dilakukan tidak lama lagi dan sebab-sebab kami membuat permohonan ini juga jelas. "

Sementara itu, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa Zakir Naik diberikan status permastautin tetap Malaysia, walaupun tidak fasih berbahasa Malaysia, iaitu bahasa kebangsaan negara berkenaan yang merupakan antara prasyarat untuk menjamin statusnya.


Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.