Pegawai Kesihatan Thailand, Malaysia Keluar Mesej Berbeza Tentang Zika
2016.02.02

Tiada wabak Zika berlaku di Thailand dengan hanya satu kes tempatan disahkan pada 2016, kata pihak berkuasa kesihatan Thailand pada Selasa yang mengetepikan laporan mengenai potensi negara berkenaan terdedah kepada virus bawaan nyamuk itu.
"Keadaan di negara kita bukannya wabak, tidak seperti di kawasan lain. Dan, pada masa lalu, Thailand tidak pernah mempunyai tahap wabak yang disebabkan oleh virus Zika, " kata Amnuay Kagina, Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand pada sidang akhbar di Bangkok.
Tetapi pegawai kesihatan di negara jirannya, Malaysia, mengeluarkan amaran awam pada hari sama, yang menyarankan bahawa negara berkenaan amat terdedah kepada virus itu yang dibawa oleh nyamuk Aedes - spesies yang turut membawa demam denggi iaitu penyakit yang menimpa negara-negara Asia Tenggara.
"Adanya kemungkinan besar bahawa virus itu, apabila menyerang, boleh merebak dengan pantas dan meluas di Malaysia, kerana kita sudah pun mempunyai pembawa maut iaitu nyamuk Aedes - yang juga bertanggungjawab bagi masalah denggi," kata Menteri Kesihatan Malaysia Dr S. Subramaniam kepada pemberita di Kuala Lumpur.
'Perlunya Penyelarasan Tindak Balas': WHO
Kenyataan pegawai-pegawai Malaysia dan Thailand dibuat sehari selepas Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Zika sebagai "kecemasan kesihatan awam yang menjadi kebimbangan global."
Kes-kes Zika telah merebak di Asia Selatan dan Amerika Tengah dalam tempoh setahun yang lalu, dengan 1.5 juta kes dilaporkan di Brazil sahaja sejak April, lapor Agence France-Presse.
Menurut WHO, wanita hamil amat mudah terdedah kepada virus itu kerana Zika disyaki menyebabkan kecacatan kongenital dan komplikasi neurologi pada bayi baru lahir. Wanita-wanita hamil Brazil yang dijangkiti virus itu, telah melahirkan bayi dengan kepala berukuran terlalu kecil, menurut laporan.
"Satu penyelarasan tindak balas antarabangsa diperlukan untuk meningkatkan pengawasan, pengesanan jangkitan, kecacatan kongenital, dan komplikasi neurologi, meningkatkan kawalan populasi nyamuk, dan mempercepatkan pembangunan ujian diagnostik dan vaksin untuk melindungi orang yang berisiko, terutamanya semasa mengandung , " kata Dr Margaret Chan, Ketua Pengarah WHO, semasa mengisytiharkan kecemasan tentang Zika.
Perisytiharan sedemikian oleh WHO jarang sekali berlaku.
Dua tahun lalu, agensi PBB itu dikritik kerana tidak mengeluarkan amaran awal tentang virus Ebola yang tersebar pantas di seluruh Afrika Barat dan dilaporkan membunuh beribu-ribu orang.
"Pada masa ini, langkah-langkah perlindungan yang paling penting adalah kawalan populasi nyamuk dan mencegah gigitan nyamuk terhadap individu berisiko terutamanya wanita hamil," kata Chan semasa membuat pengisytiharan darurat tentang Zika.
Tiada vaksin
Pada masa ini, tiada rawatan atau vaksin khusus bagi penyakit ini, kata WHO. Orang yang dijangkiti virus Zika akan mengalami gejala, termasuk demam ringan dan ruam kulit, yang berlaku antara dua hingga tujuh hari, kata agensi itu.
Virus itu diketahui merebak di Amerika, Afrika, Asia dan Pasifik, kata WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat. Menurut agensi Amerika Syariukat itu yang berpejabat di Atlanta, wabak Zika berlaku sebelum 2015 di Afrika, Asia Tenggara dan pulau-pulau di Pasifik.
Setakat tahun ini, sekurang-kurangnya dua kes telah dilaporkan di Asia Tenggara: kes seorang lelaki Thai didiagnosis, dirawat dan bebas Zika dari 24 hingga 26 Januari, kata pegawai kesihatan Thailand; dan kes seorang lelaki Indonesia berusia 27 tahun dari Pulau Sumatera yang dijangkiti virus itu, lapor AFP. Pada Januari lalu, Taiwan juga melaporkan kes seorang lelaki dari utara Thailand yang menghidap Zika.
'Merebak di seluruh Thailand'
Menurut kajian yang diterbitkan tahun lepas oleh American Journal of Tropical Medicine and Hygiene, beberapa kes Zika dilaporkan dihidapi pelancong yang pulang dari Thailand dan tujuh kes jangkitan Zika akut di seluruh negara itu telah disahkan antara 2012 dan 2014.
"Kes-kes ini endemik ini apabila digabungkan dengan laporan dalam kalangan pelancong sebelum ini, memberi bukti bahawa ZIKV [Virus Zika] merebak di seluruh Thailand," kata abstrak kajian itu.
"Thailand menemui pesakit pertama Zika pada 2012 dan, selepas itu, terdapat purata lima orang dijangkiti Zika setiap tahun," kata Dr Pahurat Kongmuang, pegawai lain di Jabatan Kawalan Penyakit THailand, kepada BeritaBenar.
"Thailand telah mewujudkan satu sistem pemantauan untuk penyakit ini sejak 2013, dan kita dapat mengesan penyakit itu, manakala beberapa negara lain di ASEAN tidak dapat berbuat demikian," katanya dalam satu temu bual telefon.
Amnuay, pengarah jabatan itu berkata, ia juga telah menggiatkan kempen dalam tempoh dua minggu lalu untuk membunuh nyamuk di habitatnya, dan langkah itu akan berlangsung selama dua minggu lagi.
Maklum Balas Bangladesh, Malaysia
Di Kuala Lumpur, Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam mengumumkan bahawa kementerian itu akan mengeluarkan satu garis panduan kepada pelbagai kementerian dan orang awam sebagai langkah bagi melindungi orang ramai daripada dijangkiti Zika.
Garis panduan itu, yang akan dikeluarkan minggu ini, antara lain memberi amaran kepada wanita hamil Malaysia supaya tidak melakukan perjalanan ke negara-negara di mana merebaknya wabak Zika.
Garis panduan itu juga menasihatkan mereka yang membuat perjalanan ke Malaysia dari Amerika Selatan dan Amerika Tengah supaya pergi ke hospital atau pusat kesihatan terdekat sekiranya mengalami demam atau ruam.
Perdana Menteri Najib Razak juga menyuarakan kebimbangan tentang perkara itu dalam satu kenyataan pada Selasa. Beliau mengingatkan Malaysia supaya memantau keadaan itu dengan teliti kerana iklim negara berkenaan sesuai untuk pembiakan spesies nyamuk Aedes.
"Saya telah mengarahkan Kementerian Kesihatan supaya mengambil semua langkah pencegahan yang perlu untuk melindungi rakyat Malaysia, terutama wanita hamil daripada virus Zika," kata Najib dalam mesejnya di laman web rasmi beliau.
"Kita perlu mencegah serta menghapuskan sumber atau vektor kepada kedua-dua wabak dan virus ini, iaitu nyamuk Aedes. Jangan beri walau sedikit ruang untuk ia membiak," katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kanan kesihatan di Bangladesh berkata, virus Zika itu tidak wujud di negara itu.
"Tetapi kita tidak leka kerana vektor, nyamuk Aedes, ada di Bangladesh," kata Abul Hakir Md Shamsuzzaman, pegawai yang bertanggungjawab bagi kawalan penyakit di Kementerian Kesihatan, kepada BeritaBenar.
"Ia boleh masuk ke Bangladesh pada bila-bila masa. Kami akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah pencegahan seperti memusnahkan habitat vektor, "kata beliau sambil menambah kata bahawa meningkatkan kesedaran orang ramai tentang Zika merupakan satu lagi strategi dalam mencegah virus itu daripada merebak di negaranya.
Fahirul N. Ramli, Nontharat Phaicharoen dan Kamran Reza Chowdhury menyumbang kepada laporan ini.