Malaysia Haram Buku Kartunis Satira Zunar

Hadi Azmi
2017.10.04
Kuala Lumpur
171004-my-zunar apuman3-350.jpg Kartunis Satira Zunar dengan buku "Sapuman: Man of Steal" yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana didakwa melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984, di Kuala Lumpur, 3 Okt 2017.
[BeritaBenar]

Malaysia telah mengharamkan sebuah lagi buku oleh kartunis satira terkenal Zunar, yang menyifatkan keputusan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak menghormati perlembangaan negara yang menjamin kebebasan bersuara.

Buku "Sapuman: Man of Steal" yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, merupakan lakaran kartun mengenai Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB], telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri kerana didakwa melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984.

Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam ‘jadual yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang’ adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” menurut warta yang dikeluarkan pada Selasa dan boleh diakses di laman web Peguam Negara Malaysia .

Ini adalah buku ke-11 oleh Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, yang diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Zunar yang merupakan penyumbang BeritaBenar mendakwa, tindakan undang-undang itu telah dirancang pihak berkuasa.

“Sebelum ini, buku-buku saya yang lain seperti - Gedung Kartun, 1 Funny Malaysia, Isu Dalam Kartun (Vol 1, 2, 3), Conspiracy to Imprison Anwar, Perak Darul Kartun and Pirates of Carry-BN – telahpun diharamkan, manakala ‘Ros di Kangkongland’ dan beberapa buku koleksi kartunnya telah disiasat dibawah Akta Hasutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu semasa dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur, Zunar melahirkan rasa terkejut dan berfikiran bahawa pihak berkuasa seharusnya mengetahui bahawa tindakan mengharamkan buku adalah satu tindakan yang tidak memberi kesan.

"Saya telah berbincang dengan peguam saya dan akan mengemukakan cabaran undang-undang tidak lama lagi, Jelas kelihatan bahawa pengharaman buku kini kembali lagi, dan ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin lemah pada masa ini kerana kerajaan yang kuat biasanya boleh menerima sebarang sindiran atau lawak," katanya kepada BeritaBenar pada Rabu.

Hasil kerja lakaran saya semasa bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad berkuasa, lebih kritikal dan buruk daripada sekarang ini, tambah Zunar, tetapi ia tidak pernah diharamkan oleh pemerintah ketika itu.

"Kesemua 11 buku, yang dirampas, serbuan, segala yang berlaku kepada saya, berlaku di bawah pemerintahan Najib sejak tahun 2008," katanya.

Sekat kebebasan pemikiran

Zunar berkata beliau tidak mempunyai masalah jika kerajaan tidak suka kartunnya tetapi melarang dan mengharamkan adalah salah kerana ia menyekat kebebasan pemikiran.

"Tetapi anda tidak boleh menterjemahkan tafsiran anda ke dalam undang-undang dengan mengharamkan buku fikiran saya. Ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara, " katanya dalam satu kenyataan.

Selain daripada "Sapuman: Man of Steal", Kementerian Dalam Negeri juga mewartakan pengharaman beberapa buah buku lain termasuk dari seorang cendekiawan terkemuka Turki Mustafa Akyol yang ditahan hampir sehari oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) minggu lepas kerana berdakwah tentang agama Islam tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

"Terdapat usaha yang jelas untuk menghalang perbezaan pendapat di Malaysia, sama ada dalam agama atau politik," kata Zunar sambil menegaskan ia menjadi contoh rasa ketidakpastian dalam kerajaan.

Larangan itu datang satu minggu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan yang menggesa kerajaan Malaysia untuk menggugurkan segala dakwaan menghasut terhadap Zunar dan menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan terhadap kartunis itu sejak Jun lepas.

Laporan oleh Pelapor Khas PBB dalam bidang hak kebudayaan, Karima Bennoune telah  menyatakan kebimbangan mendalam mengenai tuduhan terhadap Zunar.

"Kerajaan Malaysia perlu membangunkan satu rancangan konkrit dalam menjamin kebebasan bersuara seni," kata laporan itu.

Pada Ogos lalu, Zunar memfailkan tindakan undang-undang terhadap pegawai kerajaan dan polis yang mendakwa penangkapan dan rampasan buku serta t-shirt pada acara amal di Kuala Lumpur menyalahi undang-undang.

Zunar juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pihak berkuasa melanggar hak perlembagaannya.

Pada April lepas, mahkamah telah menganugerahkan Zunar RM18,000 (AS$4,060) sebagai ganti rugi kerana tuntutannya terhadap kerajaan yang telah penyita 66 naskhah buku dan karya seninya pada September 2010.

Baru-baru ini, kartunis itu telah membatalkan pamerannya di Pulau Pinang kerana bimbang kemungkinan ada ancaman daripada sayap pemuda parti pemerintah Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Zunar, pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia sejak Jun 2016, dijangka hadir di mahkamah pada 1 November untuk menghadapi sembilan pertuduhan menghasut selepas didakwa menghina badan kehakiman dalam catatan Twitter beliau mengenai sabitan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabitkan dengan semua pertuduhan itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 43 tahun.


Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.