Mahkamah Benarkan Zunar Cabar Pengharaman Buku Sapuman

Hata Wahari
2018.02.12
Kuala Lumpur
180212-my-zunar18-620.jpg Kartunis satira Zunar bersama peguamnya N. Surendran selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkannya mencabar pengharaman buku “Sapuman: Man of Steel”, 12 Februari, 2018.
[Ihsan Zunar]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin membenarkan kartunis satira terkenal Malaysia, Zunar mencabar pengharaman bukunya, berjudul 'Sapuman: Man of Steel', lakaran kartun mengenai Perdana Menteri Najib Razak, yang berkuatkuasa mulai Oktober tahun lalu.

Hakim Azizah Nawawi telah membenarkan semakan kehakiman tersebut setelah Peguam Kanan Persekutuan dari Pejabat Peguam Negara, Mazlifah Ayob membenarkan permohonan tersebut, yang bertujuan untuk membatalkan arahan Kementerian Dalam Negeri mulai 4 Oktober itu.

Keputusan berkenaan dibuat di dalam kamar hakim, menurut peguam N. Surendran yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque.

“Kebenaran diberikan selepas tiada bantahan didapati daripada Pejabat Peguam Negara. Justeru, mahkamah memberi kebenaran kepada Zunar untuk meneruskan semakan kehakiman terhadap pengharaman bukunya," Surendran berkata ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Beliau memberitahu, Azizah juga menetapkan 27 Februari ini sebagai tarikh semakan kehakiman bagi Zunar yang percaya bahawa pengharaman buku itu merupakan satu tindakan yang tidak wajar dan bertentangan dengan perlembagaan.

Zunar ketika ditemui memberitahu, “Ini pusingan pertama, banyak lagi perkara yang perlu dibuat tetapi ia merupakan permulaan yang baik memandangkan permohonan itu baru dibuat pada 2 Januari lepas,” katanya sambil berazam untuk  meneruskan permohonan sehingga buku satiranya dilepaskan dari pengharaman oleh pihak kerajaan.

Tegasnya, keputusan Mahkamah Tinggi itu memudahkan barisan peguam yang mewakilinya untuk membentangkan hujah-hujah yang lebih konkrit terhadap pengharaman buku itu untuk dilaksanakan dengan secepat mungkin.

Zunar memfailkan semakan kehakiman itu pada 2 Januari lalu dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Buku Sapuman: Man of Steal" yang diterbitkan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 4 Oktober tahun lepas.

Zunar menamakan Menteri Dalam Negeri sebagai defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua dengan menuntut bahawa perintah pengharaman buku itu adalah batal dan tidak sah.

Permohonan itu meminta mahkamah menyatakan perintah dan warta itu sebagai tidak sah, salah dan tidak memiliki kuasa perundangan kerana ia adalah ultra vires dengan Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta memungkiri Perkara 5 (Kebebasan Individu), Perkara 8 (hak kesamarataan)  dan Perkara 10 (1) (a) dalam Perlembagan Persekutuan untuk kebebasan bersuara.

Beliau juga menuntut gantirugi am dan khas serta peruntukan yang sesuai bagi kos permohonan untuk kebenaran dan semakan kehakiman.

"Sapuman: Man of Steal" lakaran kartun mengenai Perdana Menteri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad [1MDB], telah diharamkan oleh KDN kerana didakwa melanggar Akta Pencetakan dan Penerbitan 1984.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam ‘jadual yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang’ adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” menurut warta yang dikeluarkan dan boleh diakses di laman web Peguam Negara Malaysia .

Selain “Sapuman: Man of Steel” antara buku-buku Zunar yang lain diharamkan adalah - Gedung Kartun, 1 Funny Malaysia, Isu Dalam Kartun (Vol 1, 2, 3), Conspiracy to Imprison Anwar, Perak Darul Kartun and Pirates of Carry-BN.

Manakala, Buku ‘Ros di Kangkongland’ dan beberapa buku koleksi kartunnya telah disiasat dibawah Akta Hasutan.

Beliau sebelum ini memberitahu, hasil kerja lakarannya ketika zaman bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad berkuasa adalah lebih kritikal tetapi ia tidak pernah diharamkan oleh pemerintah ketika itu.

“Kesemua 11 buku, yang dirampas, serbuan, segala yang berlaku kepada saya, berlaku di bawah pemerintahan Najib sejak tahun 2008,” kata Zunar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan laporan yang menggesa kerajaan Malaysia supaya menggugurkan segala dakwaan menghasut terhadap Zunar dan menarik balik larangan perjalanan yang dikenakan terhadap kartunis itu sejak Jun lepas.

Laporan oleh Pelapor Khas PBB dalam bidang hak kebudayaan, Karima Bennoune telah menyatakan kebimbangan mendalam mengenai tuduhan terhadap Zunar.

"Kerajaan Malaysia perlu membangunkan satu rancangan konkrit untuk menjamin kebebasan bersuara di dalam kesenian," kata laporan itu.

Pada Ogos tahun lalu, Zunar memfailkan tindakan undang-undang terhadap pegawai kerajaan dan polis yang mendakwa penangkapan dan rampasan buku serta t-shirt pada acara amal di Kuala Lumpur menyalahi undang-undang.

Zunar juga memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pihak berkuasa melanggar hak beliau di bawah perlembagaan.

Pada April tahun lepas, mahkamah telah menganugerahkan Zunar RM18, 000 (AS$4,060) sebagai ganti rugi kerana tuntutannya terhadap kerajaan yang telah menyita 66 naskhah buku dan karya seninya pada September 2010.

Pada tahun 2016, kartunis itu telah membatalkan pamerannya di Pulau Pinang kerana bimbang kemungkinan ada ancaman daripada sayap pemuda parti pemerintah Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO].

Zunar, pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia sejak Jun 2016, juga menghadapi sembilan pertuduhan menghasut selepas didakwa menghina badan kehakiman dalam catatan Twitter beliau mengenai sabitan kesalahan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabit dengan semua pertuduhan itu, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 43 tahun.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.