Kartunis Zunar Batal Pameran, Bimbangkan Ancaman UMNO
2017.07.31
George Town & Kuala Lumpur

Kartunis satira Zunar, yang ditahan tahun lalu selepas sayap pemuda parti pemerintah Malaysia mengganggu satu daripada pamerannya, bertindak membatalkan pameran serupa di Pulau Pinang pada hujung minggu, dan menyuarakan rasa bimbangnya terhadap kemungkinan menerima ancaman daripada kumpulan yang sama.
Zulkiflee Anwar Ulhaque, yang juga penyumbang BeritaBenar dengan menggunakan nama pena Zunar, berkata, beliau membatalkan pameran di George Town pada Ahad selepas bimbang dengan kemungkinan ahli-ahli Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mencetuskan satu lagi kekecohan.
"Saya sedih kerana kebebasan saya sebagai kartunis telah diganggu oleh UMNO yang tidak menyokong kebebasan individu, kartunis dan warganegara yang berusaha keras untuk mendedahkan kelemahan kerajaan," kata Zunar kepada BeritaBenar pada Isnin.
Kartunis yang memenangi banyak hadiah itu, yang terkenal dengan sindiran terhadap pegawai-pegawai kerajaan melalui lukisannya - terutamanya Perdana Menteri Najib Razak - dijangka hadir di mahkamah pada November nanti untuk berdepan dengan sembilan pertuduhan menghasut berpunca daripada mesej yang disiarkannya di Twitter yang mengkritik badan kehakiman negara itu.
November lalu, Zunar telah ditangkap selepas kira-kira 30 orang yang diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizul Abdul Rahim, menyerbu ruang pamerannya di bangunan Komtar dan memintanya memindah keluar semua karya seni beliau.
‘Tindakan ugutan fizikal'
Zunar berkata beliau belum memutuskan sama ada mengambil tindakan undang-undang terhadap ancaman itu yang menyebabkan beliau membatalkan pameran terbarunya, "Ketawa Pink Pink".
Pada Sabtu, Zunar mendakwa Pemuda UMNO Pulau Pinang telah mengedarkan poster yang mendesak ahlinya untuk "melawat" pamerannya itu.
"Berdasarkan pengalaman tahun lepas, ini bukan lawatan biasa tetapi lebih kepada tindakan ugutan fizikal," kata Zunar dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Rafizal berkata, lawatan yang dicadangkan itu bertujuan untuk melihat sama ada Zunar masih mengejek dan menyindir pemimpin mereka – bukannya untuk menimbulkan kekecohan.
"Ini hanyalah andaian dan tuduhan liar seorang kartunis yang tidak beretika, berat sebelah dan kurang sopan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zunar, hasil karya yang dicadangkan untuk dipamerkannya memberi fokus kepada skandal kewangan sekitar dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang membawa kepada gesaan supaya perdana menteri meletakkan jawatan berhubung dakwaan rasuah yang dikaitkan dengannya.
Zunar berkata, beliau mungkin menampilkan karyanya menerusi platform digital bagi membolehkan peminatnya memuat turun dan mengedarkannya secara bebas jika beliau menerima pembiayaan untuk pencetakan awal.
Pameran beliau juga menampilkan kartun yang menggambarkan tuntutan sivil berkaitan dengan saman yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), dan pembelian kontroversi "berlian merah jambu" - permata berjuta-juta dolar yang didakwa dibeli dengan wang yang dikaitkan dengan 1MDB, seperti yang didakwa dalam saman AS.
Pada Jun, dalam saman bagi mendapatkan semula AS$540 juta (RM2.3 bilion) bagi pelbagai aset yang dibeli dengan menggunakan wang 1MDB, pegawai Kehakiman AS menyatakan bahawa sebanyak AS$27.3 juta (RM116 juta) digunakan untuk membeli 22 karat berlian merah jambu dan kalung untuk isteri "Pegawai Malaysia Pertama."
Tahun lepas, Jabatan Kehakiman negara itu telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula" beberapa aset bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang dicuri. Jabatan itu tidak menyebut nama Perdana Menteri Najib dalam kesemua saman berkenaan, tetapi pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini mengesahkan bahawa orang yang dikenal pasti sebagai "Pegawai Malaysia Pertama" dalam dokumen mahkamah itu adalah Najib.
Poster pameran yang dibatalkan "Ketawa Pink Pink." (Ihsan Zunar)
Tahun yang penuh dengan peristiwa
Dalam insiden November 2016 di George Town, sekumpulan lelaki yang yang menganggap karya seninya sebagai memalukan, telah mengerumuni Zunar dan mengancam untuk menurunkan kartunnya. Kemudian, kartunis itu ditangkap dan karya seninya dirampas, tetapi dia dibebaskan daripada penjara pada hari berikutnya.
Rafizal berkata, Pemuda UMNO tidak mempunyai masalah dengan kartun-kartun Zunar yang lain.
"Tetapi kami tidak suka jika kartun itu menyentuh dan mengutuk pemimpin kami," kata Rafizal. "Itulah hasrat kami untuk pergi dan melihat pamerannya, kami tidak berniat mencetuskan kekecohan."
Pada Disember 2016, Zunar ditangkap semasa menghadiri satu acara amal, "Tea with Zunar," di mana polis menyita lebih daripada 1,000 salinan buku kartun, lakaran dan kemeja-T beliau yang semuanya bernilai kira-kira RM40,000 (AS$9,000). Zunar dan empat orang lagi dibawa ke balai polis Kuala Lumpur untuk disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan iaitu memudaratkan demokrasi berparlimen. Dia dibebaskan enam jam kemudian.
Zunar sepatutnya hadir di mahkamah pada 1 November ini untuk berdepan dengan pertuduhan hasutan selepas didakwa menghina badan kehakiman dalam catatan Twitter beliau mengenai sabitan Ketua Umum Pembangkang Anwar Ibrahim dalam kes liwat pada Februari 2015. Jika disabitkan bagi semua pertuduhan itu, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 43 tahun.
Pemenang Anugerah Kartun Keamanan 2016 itu telah dihalang daripada meninggalkan Malaysia sejak Jun 2016.