Penganalisa: Pembangkang Huru Hara Selepas Anwar Tarik Diri Sebagai Calon PM
2017.06.22
Kuala Lumpur

Parti-parti pembangkang Malaysia kini berbalah tentang siapa yang harus menyandang jawatan perdana menteri sekiranya pakatan mereka memenangi pilihan raya umum akan datang - walaupun mereka berdepan tugas berat untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri Najib Razak yang dicemari dengan rasuah.
Pemimpin pembangkang de fakto yang kini dipenjarakan, Anwar Ibrahim, membuat kejutan pada hujung minggu lalu apabila mengumumkan menarik diri sebagai calon jawatan tertinggi kerajaan itu ketika parti-parti politik membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum, yang dijangka pada akhir tahun ini.
Para penganalisa berkata, adalah penting bagi parti-parti dalam pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), untuk menamakan calon tunggal utama bagi jawatan itu dan bukannya saling menyerang satu sama lain, yang akhirnya menjejaskan sokongan terhadap mereka.
"Pemilihan calon PM adalah faktor yang amat penting kerana pilihan raya umum semakin hampir dan jika PH tidak mencapai kesepakatan berhubung perkara itu, masalah itu akan terus berlarutan sehinggalah tempoh pemilihan kerusi antara parti,” kata penganalisa geopolitik, Profesor Azmi Hassan kepada BeritaBenar.
"Ini ... akan menjejaskan pakatan itu," katanya sambil memberitahu mereka yang berada atas pagar mungkin tidak mengundi parti-parti PH "kerana meragui kemampuan pemimpin pakatan itu untuk menerajui negara."
Petunjuk terkini memperlihatkan perbalahan ketara dalam menamakan calon pembangkang bagi jawatan tertinggi negara itu apabila Anwar, yang merupakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), memberitahu dalam satu kenyataan dari penjara pada Sabtu lalu bahawa beliau tidak akan menawarkan dirinya sebagai perdana menteri bagi pakatan itu sekiranya PH memenangi pilihan raya berkenaan.
“Terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pilihan raya umum, maka, saya memilih untuk tidak menawarkan diri sebagai calon perdana menteri,” kata Anwar, yang telah disabitkan dan dipenjarakan kerana meliwat bekas pembantunya, di mana beliau dan penyokongnya berkata pertuduhan itu bermotifkan politik untuk memusnahkan kerjayanya.
“Pergeseran (berhubung siapa yang harus menjadi perdana menteri) melelahkan (pembangkang) kerana keputusan muktamadnya adalah di tangan rakyat dalam pilihan raya umum nanti,”kata Anwar.
PH terdiri daripada PKR, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (PAN) yang merupakan serpihan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru ditubuhkan dengan diterajui bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, yang muncul sebagai pengkritik Najib yang paling lantang.
PAS meninggalkan pakatan itu pada Jun 2015 dan sejak itu bertindak sebagai pakatan pembangkang kedua yang menentang gabungan Barisan Nasional, yang telah memimpin Malaysia sejak merdeka pada 1957.
PKR dan DAP mahu sama ada Anwar atau isterinya Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon perdana menteri.
Sementara itu, PPBM menamakan bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin sebagai calon bagi jawatan itu walaupun pengasas parti itu, Mahathir, yang menjadi perdana menteri Maaysia lebih dua dekad berkata, beliau tidak keberatan menyandang jawatan itu jika rakyat mahukannya. PAN pula berdiam diri mengenainya.
Najib memecat Muhyiddin sebagai timbalannya selepas beliau menggesa perdana menteri meletakkan jawatan setelah dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan sebuah dana mewah Malaysia.
Laporan menyatakan bahawa hampir $700 juta daripada entiti yang dikaitkan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sarat hutang, telah dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.
Najib menafikan sebarang salah laku atau mengambil wang demi kepentingan peribadi daripada hal ehwal 1MDB.
Pakatan tanpa pemimpin
Seorang lagi penganalisa, Profesor Hanafiah Harun, menyifatkan PH sebagai “pakatan tanpa pemimpin” di tengah-tengah pertikaian berhubungan pencalonan bagi jawatan perdana menteri itu.
"Pakatan Harapan tidak stabil, terutamanya dengan kehadiran PPBM dan PAN yang jelas menambah masalah yang sedia ada dalam pembangkang. Kekeliruan tampak ketara kerana pembangkang belum membuat keputusan tentang calon bagi jawatan PM dan timbalan PM," kata Hanafiah kepada BeritaBenar.
Azmi pula berkata, PPBM yang dipimpin Mahathir sebenarnya menjadikan keadaan lebih keruh buat PH.
"Masalahnya ialah PPBM, tanpa rekod prestasi dalam pilihan raya umum, tetapi memasang strategi dengan menamakan calon mereka sendiri," kata Azmi yang percaya keutamaan harus diberikan kepada PKR dan DAP kerana menang besar dalam pilihan raya umum lalu.
Pembangkang, yang diketuai oleh Anwar, mencatat kemenangan besar pada pilihan raya umum Mei 2013 dengan memenangi hampir 52 peratus undi popular. Bagaimanapun, ia hanya menguasai 89 kawasan pemilihan daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Dengan Anwar tidak lagi mahu menjadi calon perdana menteri, ada yang berpendapat Mahathir adalah calon terbaik bagi menyandang jawatan itu.
"Bagi jawatan perdana menteri, saya percaya [Mahathir] adalah calon yang tepat,” kata bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim dalam satu catatan blog pada Isnin.
'Gila kuasa'
Seorang pemimpin parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib, ketika dihubungi berkata, persengketaan dalaman pembangkang menunjukkan bagaimana pembangkang sememangnya "gila kuasa" dan masing-masing berjuang demi kepentingan sendiri.
"PKR mahu Anwar Ibrahim atau Wan Azizah sebagai calon PM, sementara PPBM mahu Mahathir menjadi PM lagi," kata Wan Mohd Hazlyn Agyl, presiden kelab alumni UMNO Luar Negara kepada BeritaBenar.
Perbalahan dalam kalangan parti pembangkang juga menjejaskan usaha pendaftaran rasmi pakatan itu, kata Mahathir yang berusia 92 tahun dalam temu bual dengan stesen penyiaran Singapura, Channel NewsAsia.
Katanya, beliau secara peribadi tidak mahu kembali sebagai perdana menteri tetapi menegaskan bahawa sesetengah orang mahu beliau berbuat demikian "atas apa jua alasan."
Anwar akan dibebaskan daripada penjara menjelang pertengahan tahun depan tetapi dihalang daripada berpolitik sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun, kecuali jika beliau mendapat pengampunan diraja.