Malaysia, Thailand Pertahan Tindakan Tidak Benarkan Pendaratan Pendatang
2015.05.14

Negara-negara Asia Tenggara pada Khamis mempertahankan keputusan mereka untuk menolak pendatang-pendatang Rohingya dan Bangladesh daripada mendarat di pantai-pantai mereka, walaupun menerima kritikan terhadap dasar itu.
"Tentera-tentera Laut Thailand, Malaysia dan Indonesia perlu berhenti bermain ping pong manusia tiga cara , sebaliknya bekerjasama untuk menyelamatkan semua orang yang berada dalam bot-bot malang itu, " kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia Human Rights Watch, dalam satu kenyataan.
"Kerajaan Burma telah mewujudkan krisis ini dengan penindasan berterusan terhadap Rohingya," katanya. "Thailand, Malaysia dan Indonesia telah melakukan perkara yang lebih teruk dengan dasar tiada belas kasihan mereka untuk menolak gelombang baru 'orang hanyut' yang meletakkan beribu-ribu nyawa dalam bahaya."
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon " bimbang dengan laporan bahawa beberapa negara mungkin menolak kemasukan bot-bot yang membawa pelarian dan pendatang," kata satu kenyataan PBB.
"Setiausaha Agung itu menggesa kerajaan-kerajaan berkenaan untuk memastikan kewajipan menyelamat di lautan terus didukung,’ katanya
Ban juga menggesa kerajaan-kerajaan itu untuk “memudahkan pendaratan yang tepat pada masanya dan memastikan sempadan dan pelabuhan mereka terbuka untuk membantu mereka yang lemah dan amat memerlukan,” katanya.
'Adakah ini adil?'
Tentera Laut Thailand pada Khamis berkata ia telah membaiki dan memberi semula bot untuk 300 Rohingya di kira-kira 17 kilometer (00 batu)dari wilayah Satun
"Tiada seorang pun daripada mereka mahu ke pantai Thailand tetapi ingin melakukan perjalanan ke negara ketiga," kata jurucakap kerajaan Mejar Jeneral Sansern Kaewkamnerd, lapor Associated Press.
Sementara itu, Malaysia menolak kemasukan sebuah bot membawa kira-kira 500 pendatang di luar Pulau Pinang, sebuah negeri di utara, dan sebuah bot lagi dengan 300 pendatang berhampiran Pulau Langkawi, menurut laporan.
“Kami menghantar isyarat yang betul kepada mereka, iaitu untuk menghantar mereka pulang ke tempat dari mana mereka datang," Reuters memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri Malaysia Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai berkata.
“Negara mereka tidak berperang. Jika bot itu tiada masalah, mereka sepatutnya belayar pulang ke negara sendiri."
Di Bangkok, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha berkata Thailand sudah sekian lama membenarkan perjalanan pendatang melalui wilayahnya, tetapi tidak boleh membenarkan mereka untuk kekal berada di negara itu.
"Jika kita bebas membuka pintu, sesiapa sahaja boleh datang sesuka hati," katanya.
Thailand sudah pun mempunyai kira-kira 100,000 pelarian di sembilan kem di sepanjang sempadannya dengan Burma, katanya.
Aktivis dan pemimpin agama di negara-negara yang terjejas pula meluahkan rasa marah terhadap tindakan menolak kemasukan bot-bot pendatang itu.
"Tindakan ini, bukannya menghantar mereka pulang, sebaliknya memaksa menghadapi kematian," kata Nur Khan, pengarah sebuah pertubuhan bantuan guaman Ain o Shalish di Bangladesh.
"Keadaan ini perlu diperbetulkan dari sudut pandangan manusia. Di lautan, mereka yang tidak berdosa dibiar hanyut, dieksploitasi dan dikhianati oleh para penyeludup.
“Memaksa kepada kematian, dengan tidak memberikan apa-apa perlindungan adalah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan," katanya kepada Berita Benar.
Amidi Abdul Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia, menggesa negara itu untuk bertindak bersama-sama dengan negara-negara Islam lain bagi membantu pendatang-pendatang berkenaan.
"Walaupun mereka telah diberi makan dan minum di dalam bot, ramai di antara mereka yang sakit. Mereka perlu diberi rawatan dengan segera, bukan hanya dibiarkan di situ, "katanya kepada Berita Benar dari Kuala Lumpur.
"Jika kos menampung pelarian berkenaan yang menjadi persoalan, Malaysia sebagai anggota OIC perlu menggunakan hubungan itu dan membincangkan langkah bagi menangani keperluan para pelarian ini dengan negara-negara Islam yang lain,” katanya sambil merujuk kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dianggotai 57 buah negara Islam.
"Langkah-langkah kemanusiaan berlandaskan Islam amat diperlukan sekarang," gesa beliau.
Di Indonesia - yang menyelamatkan 600 pendatang di pantai Aceh awal minggu ini tetapi kemudian menolak kemasukan sebuah bot lain - ketua Majlis Ulama Indonesia juga menggesa supaya langkah kemanusiaan diambil.
"Kita patut membantu mereka bukan sahaja demi agama, tetapi demi kemanusiaan, dan yang berlandaskan kepada ajaran Islam. Kita mesti memberi bantuan," kata Din Syamsuddin kepada Berita Benar.
'Satu juta orang sedang menunggu'
Malaysia memutuskan untuk tidak menerima lebih banyak bot selepas 1,158 pendatang Burma dan Bangladesh mendarat di pantainya pada Isnin. Mereka sedang dipindahkan ke pusat tahanan di Sik, sebuah kawasan terpencil di Kedah.
"Selepas beberapa bot yang membawa pendatang tanpa izin terlepas masuk, kita bersedia untuk mengelak kemasukan lebih banyak bot," kata Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Malaysia, kepada agensi berita negara, Bernama, pada Khamis.
"Kita tidak boleh berkompromi dalam perkara ini kerana ianya tidak akan berakhir dengan kebanjiran pendatang tanpa izin. Difahamkan bahawa hampir satu juta orang sedang menunggu di Myanmar dan Bangladesh untuk belayar menuju Malaysia, " katanya.
Seorang profesor dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata walaupun ekonominya agak mantap, Malaysia adalah negara yang terlalu kecil untuk menangani kebanjiran pendatang.
Kerajaan kini membelanjakan RM30 hingga RM50 (US$8 to 14) untuk menampung seorang pendatang sehari, kata Azmi Hassan kepada Bernama.
"Jika kita menerima pelarian lagi selepas ini, keadaan akan menjadi tidak terkawal dan boleh menjejaskan keselamatan dan kemakmuran negara," katanya. "Kita adalah sebuah negara kecil dan bukannya sebuah kuasa besar.
Nani Yusof di Washington, Pimuk Rakkanam di Bangkok, Shahriar Sharif di Dhaka dan Aditya Surya di Jakarta yang menyumbang kepada laporan ini