Malaysia Akan Hantar Pulang 680 pendatang Bangladesh

Oleh staf Berita Benar
2015.05.19
150519-MY-BOTPULANG620 Seorang pendatang Bangladesh yang diselamatkan sedang berdoa ketika petugas Indonesia melakukan pewasapan di ruang tidur dalam sebuah gudang di Langsa, wilayah Aceh, pada 19 Mei 2015
AFP

Malaysia akan menghantar pulang kira-kira 680 warga Bangladesh yang mendarat di pantai barat negara itu minggu lepas, yang merupakan sebahagian daripada kebanjiran pendatang tanpa izin di rantau Asia Tenggara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada Selasa.

"Pendatang tanpa izin Bangladesh akan dihantar pulang ke negara mereka, sebalik sahaja selesai urusan dokumentasi,” kata Wan Junaidi kepada pemberita di lobi Parlimen pada Selasa.

Warga Bangladesh itu adalah antara kira-kira 1,000 pendatang tanpa izin yang berjaya mendarat di barat laut pulau Langkawi pada 11 Mei lalu.

Kesemua mereka diselamatkan daripada bot-bot penyeludupan manusia atau berenang untuk menyelamatkan diri.

Kumpulan itu termasuk kira-kira 400 pelarian etnik Rohingya - iaitu minoriti Islam tanpa negara dari Myanmar.

Kerajaan Malaysia merancang untuk menyerahkan mereka kepada pejabat tempatan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR), kata Wan Junaidi.

“Terpulanglah kepada UNHCR untuk menentukan sama ada mengeluarkan kad pelarian atau "menghantar pelarian itu ke negara-negara ketiga," katanya.

Di seberang Selat Melaka pula, kira-kira 1,350 pendatang telah diselamatkan oleh nelayan di wilayah Aceh, Indonesia, walaupun dasar yang dikuatkuasakan kerajaan Indonesia, Malaysia dan Thailand, sejak minggu lepas, mencegah kemasukan lebih banyak bot-bot yang sarat dengan pendatang.

Menteri luar ketiga-tiga negara akan bertemu di Kuala Lumpur pada hari Rabu untuk membincangkan krisis itu, dan pada 29 Mei ini, Thailand akan menjadi tuan rumah sidang kemuncak multinasional berkaitan isu yang sama.

Dalam pada itu, kerajaan Filipina pada Selasa, berkata negara itu bersedia untuk membantu pendatang-pendatang itu.

"Sebagai satu-satunya negara yang mengamalkan ajaran Katolik di Asia Tenggara, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan," kata Herminio Coloma, jurucakap Presiden Filipina kepada Agence France-Presse, tanpa memberi butiran.

Tekanan mencengkam kerajaan

Di Jakarta pada Selasa, ahli parlimen Indonesia Muhammad Nasir Djamil mengkritik cara kerajaannya mengendalikan krisis itu.

"Kerajaan Indonesia lemah. Ini menghalang negara daripada bertindak segera terhadap krisis kemanusiaan di rantau ini," katanya kepada BeritaBenar.

"Parlimen perlu membuat keputusan politik dalam memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar bagi menamatkan konflik sektarian itu serta membantu rakyat mereka yang terkandas di Indonesia," katanya.

Di Banda Aceh, ibu kota wilayah Aceh, kira-kira 100 penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan bagi menyokong pendatang-pendatang itu, sambil menggesa tindakan antarabangsa bagi menyelamatkan mereka yang masih hanyut di laut.

"Penduduk-penduduk Aceh telahpun menunjukkan contoh yang baik," kata Darlis Aziz penyelaras perhimpunan itu, kepada BeritaBenar.

"Apabila setiap kerajaan enggan membantu, kami selamatkan pendatang ini. Kerajaan sepatutnya berasa malu, "katanya.

"Bayangkan jika kita atau saudara-mara kita berada dalam kedudukan mereka. Sekarang adalah masa untuk membuktikan bahawa kita mempunyai rasa kemanusiaan. Mereka adalah manusia, dan bukannya haiwan, " tambah Darlis.

Teungku Faisal Ali, yang mengetuai cawangan wilayah Nadhlatul Ulama, kumpulan Islam berpengaruh di Indonesia, turut mempunyai sentimen yang serupa.

“Sebagai sebuah negara majoriti Islam, Indonesia mesti bertindak segera," katanya kepada BeritaBenar.

Indonesia dan negara-negara ASEAN lain perlu memberi tekanan terhadap Myanmar, yang mana majoriti penduduknya beragama Buddha, supaya mengiktiraf Rohingya sebagai warganegara  dan memberi mereka hak yang sama, katanya.

"Saya bimbang jika tidak ada tindakan konkrit serta-merta, konflik boleh tercetus di Indonesia kerana mungkin ada dendam terhadap mereka yang beragama Buddha," Faisal memberi amaran.

"Jika konflik agama meletus, kerajaan perlu mengambil tanggungjawab kerana membiarkan krisis kemanusiaan itu berlaku di tengah lautan," katanya.

Di Malaysia, terdapat gesaan yang sama terhadap kerajaan negara itu, yang kini pengerusi  ASEAN, dalam usaha memberi tekanan terhadap Myanmar supaya meringankan penderitaan Rohingya.

"Jika Myanmar tidak mahu menyelesaikan isu ini, kita perlu memecat Myanmar daripada ASEAN," Zahidi Zainul Abidin, seorang Ahli Parlimen Padang Besar, memberitahu Parlimen pada Selasa, lapor portal berita The Malaysian Insider.

"Kehidupan manusia adalah lebih penting daripada ekonomi ASEAN. Jika tidak, ini sangat memalukan," kata Zahidi.

Padang Besar terletak bersempadan dengan selatan Thailand, pusat transit terkenal pemerdagangan pendatang asing tanpa izin ke Malaysia.

Mayat lebih 30 pendatang juga ditemui di sempadan di bahagian selatan Thailand, awal bulan ini, yang menyebabkan Thailand mengambil tindakan tegas terhadap pemerdagangan manusia selain tentera lautnya menyekat kemasukan bot-bot penyeludup ke perairan negara itu.

Myanmar menafikan bahawa pendatang tanpa izin itu datang dari wilayahnya dan berkata negara itu tidak akan menghadiri sidang kemuncak di Bangkok nanti.

Gesaan daripada badan-badan antarabangsa

Sementara itu, agensi-agensi PBB dan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) telah mengeluarkan kenyataan bersama kepada Indonesia, Malaysia dan Thailand supaya menyelamatkan pendatang yang terkandas di laut.

"Kami amat bimbang dengan laporan bahawa bot-bot yang sarat dengan wanita, lelaki dan kanak-kanak tidak dapat mendarat dan terkandas di laut, tanpa mempunyai akses segera terhadap bantuan makanan, minuman dan bantuan perubatan," kata kenyataan yang ditandatangani oleh ketua IOM dan agensi-agensi PBB bagi pelarian dan hak asasi manusia.

"Kami menggesa negara-negara di rantau ini supaya melindungi semua penumpang dalam bot yang sarat itu dengan membenarkan mereka mendarat dengan selamat."

Hata Wahari di Kuala Lumpur, Nurdin Hasan di Aceh dan Maeswara Palupi di Jakarta  menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.