Kumpulan Pengaman IMT tinggalkan selatan Filipina selepas hampir 2 dekad

Kumpulan Pengaman IMT tinggalkan selatan Filipina selepas hampir 2 dekad Bekas Presiden Rodrigo Duterte, yang meletak jawatan bulan lepas, memutuskan bahawa kehadiran mereka tidak lagi diperlukan.
Jeffrey Maitem
2022.07.15
Cotabato, Filipina
Kumpulan Pengaman IMT tinggalkan selatan Filipina selepas hampir 2 dekad Bekas pemberontak Barisan Pembebasan Islam Moro menanti pengangkutan untuk ke majlis peletakan senjata di Kem Darapanan, Sultan Kudarat di Mindanao, sebuah pulau di selatan Filipina, 7 Sept 2019.
[Ferdinandh Cabrera/AFP]

Kumpulan pemantau keamanan antarabangsa di selatan Filipina pimpinan Malaysia telah meninggalkan negara itu selepas pentadbiran Rodrigo Duterte, yang meletak jawatan bulan lepas, memutuskan bahawa kehadiran mereka tidak lagi diperlukan, kata para pegawai pada Jumaat.

Pasukan pengaman itu, yang dikenali sebagai Pasukan Pemantau Antarabangsa (IMT) dan ditugaskan bagi melindungi perjanjian gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan bekas gerila Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), meninggalkan negara itu dari Bandaraya Cotabato bulan lepas. Pasukan itu sebelum ini beroperasi di wilayah selatan Mindanao selama hampir dua dekad.

Naguib Sinarimbo, jurucakap bagi bekas pemberontak MILF, mengesahkan perkara itu kepada BenarNews dan berkata IMT telah meluahkan hasrat untuk meminda beberapa terma dalam perjanjian mereka. Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Meskipun perkara itu belum selesai, mereka memutuskan untuk membawa keluar kontingen mereka. Tempoh untuk mereka berada di negara itu juga sudah tamat,” kata Sinarimbo. Bagaimanapun, beliau berkata sama ada IMT boleh beroperasi semula di Filipina tertakluk kepada semakan semula kerajaan negara itu.

IMT, yang diperintah oleh Mejar Jeneral Hamdan Ismail, secara rasmi berundur dari negara itu pada akhir bulan Jun.

Dalam amanatnya sebelum meninggalkan negara itu, yang dikeluarkan kepada media pada Jumaat, Ismail berkata hubungan antara Filipina dan Malaysia bertambah erat sejak IMT berada di Mindanao.

“Saya berharap impian anda dan impian saya untuk mencapai keamanan yang berkekalan di bahagian wilayah ini boleh direalisasikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

 

Leftenan Kolonel Aminuddin Ihsan (kiri), yang mengetuai kontingen Brunei, bercakap pada sidang akhbar di Manila pada 20 Okt 2004 selepas ketibaan 10 anggota tentera negara itu yang bakal menyertai pasukan pemantau keamanan Malaysia untuk menyelia gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Di sebelah beliau ialah Mejar Jeneral Zulkifeli bin Mohd Zin dari Malaysia yang memimpin delegasi bagi Pasukan Pemantau Antarabangsa. [Erik de Castro/Reuters]
Leftenan Kolonel Aminuddin Ihsan (kiri), yang mengetuai kontingen Brunei, bercakap pada sidang akhbar di Manila pada 20 Okt 2004 selepas ketibaan 10 anggota tentera negara itu yang bakal menyertai pasukan pemantau keamanan Malaysia untuk menyelia gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF). Di sebelah beliau ialah Mejar Jeneral Zulkifeli bin Mohd Zin dari Malaysia yang memimpin delegasi bagi Pasukan Pemantau Antarabangsa. [Erik de Castro/Reuters]

Barisan Pembebasan Islam Moro telah menandatangani satu perjanjian damai dengan kerajaan pusat pada 2014, menamatkan pemberontakan oleh pejuang pemisah yang berlanjutan sejak sekian lama di Mindanao. Malaysia telah mempelopori rundingan damai itu dan penglibatannya diperluas sehingga merangkumi pemantauan pakatan gencatan senjata yang dicapai oleh kedua-dua pihak kira-kira dua dekad lepas.

Perwakilan dari Libya, Brunei dan Jepun termasuk dalam misi diterajui Malaysia, yang turut memantau aspek kemanusiaan, rehabilitasi dan pembangunan proses damai itu. Kontingen pengaman itu turut memastikan perlindungan terhadap orang awam di kawasan di mana pemberontak beroperasi.

Brigidier Jeneral Antonio Nafarrete, yang mengetuai pasukan gencatan senjata kerajaan, menzahirkan penghargaan pentadbiran itu terhadap usaha IMT menjaga keamanan di Mindanao. 

“Terima kasih banyak-banyak. Kami mengiktiraf sumbangan tidak ternilai IMT dalam mengekalkan proses damai membabitkan Bangsamoro semasa pasukan itu semakin menghampiri penghujung tugasannya,” kata beliau.

Apa yang akan Marcos lakukan?

Masih tidak jelas sama pengganti Duterte iaitu Ferdinand Marcos Jr. akan memanjangkan tempoh misi pengaman IMT.

Pengkritik berkata ayahnya, seorang diktator Filipina yang begitu lama memerintah, pernah menghantar tentera secara besar-besaran ke bahagian selatan negara itu dan ramai orang sama ada terbunuh atau hilang ketika beliau memegang jawatan Presiden dari 1965 hingga 1986.

Sekumpulan bekas pemberontak telah berkempen menentang Marcos Jr. Ketuanya, Murad Ebrahim (nama sebenar ialah Ahod Balawag Ebrahim) telah menyalahkan bapa Marcos dan pihak tentera di bawah mendiang diktator itu kerana bertindak menceroboh perkampungan orang Islam serta membunuh masyarakat di kawasan itu. Antara sebab Barisan Pembebasan Islam Moro dibentuk adalah untuk memerangi keganasan seperti ini dan pada masa sama, ingin mencapai kemerdekaan.

Kekuatan anggota IMT pada satu ketika ialah 60 orang namun ia kian menurun apabila ketegangan serta pertempuran semakin berkurangan dan keamanan mula bertapak di Filipina. Pada bulan Mac, kerajaan memaklumkan IMT bahawa ia tidak lagi perlu memanjangkan misinya.

Ketua barisan gencatan senjata, Butch Malang, berkata organisasi itu kekal komited dalam memperkukuh mekanisme keamanan bersama.

“Kami juga ingin mengambil peluang ini untuk terus memperkukuh komitmen bersama kita, kerjasama pasukan dan dedikasi untuk bekerjasama dengan semua rakan kongsi kita ke arah pematuhan gencatan senjata yang lebih proaktif sepanjang tempoh pasca perjanjian proses damai antara kerajaan dan MILF,” kata Malang.

“Pematuhan MILF terhadap gencatan senjata adalah kejayaan yang dicapai secara beransur-ansur namun ia direalisasikan secara kolektif susulan kerjasama dan perkongsian kukuh pasukan keselamatan, kerajaan tempatan dan komuniti di lapangan,” katanya.

 

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.