Isteri Ketua Pembangkang Malaysia Sekali Lagi Pertahan Kubu Kuat Suaminya
2015.05.07

Isteri kepada Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim, yang kini sedang menjalani hukuman penjara, mengekalkan kerusi Parlimen kawasan Permatang Pauh, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Khamis, walaupun berlaku pergolakan dalam pakatan pembangkang.
Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), menewaskan Suhaimi Sabudin, calon Barisan Nasional (BN), parti gabungan kerajaan Malaysia dengan majoriti yang rendah.
Pilihan raya itu terpaksa diadakan selepas mahkamah memerintah Anwar dipenjarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, pada Febuari lepas.
Wan Azizah, 63, seorang doktor perubatan lulusan daripada Ireland, memperolehi 30,316 undi mengalahkan Suhaimi, 44, yang mendapat 21,475 undi.
“Pengundi Permatang Pauh mahukan sebuah pakatan rakyat yang kuat dan mereka mengingati Anwar Ibrahim,” kata Wan Azizah seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider (TMI) lewat malam Khamis.
“Kemenangan ini bukan kemenangan PKR sahaja tetapi kemenangan rakyat yang menentang kezaliman BN kepada Anwar yang terbukti masih relevan buat rakyat Malaysia.” katanya.
TMI turut melaporkan Wan Azizah berkata keputusan pilihanraya kecil itu menunjukkan peningkatan undi Melayu di antara 4 sehingga 5 peratus terutamanya di kalangan golongan muda.
Beliau menang dengan majoriti 8,841 undi, berbanding majoriti 11,721 undi, yang diperoleh suaminya pada Pilihan Raya Umum ke-13 dua tahun lepas.
Semasa pilihan raya umum 5 Mei 2013 itu, Anwar memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 11,721 undi selepas memperolehi 37,090 undi menewaskan Mazlan Ismail, pencabar calon BN, dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) yang merupakan parti tulang belakang dan terbesar di Malaysia, dengan 25,369 undi.
Peratus keluar mengundi menurun
Suruhanjaya Pilihanraya melaporkan peratusan yang keluar mengundi sebanyak 74 peratus, menurun daripada 88 peratus pada Pilihan Raya Umum lalu.
Proses pembuangan undi yang berlangsung menyaksikan suasana penuh tegang dengan beberapa pergelutan berlaku membabitkan penyokong parti yang bertanding.
Turut menjadi mangsa, pengamal media serta anggota polis yang dilapor mengalami kecederaan ketika bertugas.
Krisis dalam pakatan pembangkang mula bergolak berhubung isu hudud yang diperkenalkan oleh Parti Islam SeMalaysia PAS yang tidak disokong oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PKR
Manakala Jumaat lalu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mohd. Piah memberi kata dua kepada Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri untuk menarik balik dan memohon maaf berhubung desakan supaya Presiden PAS, Abdul Hadi Awang berundur daripada parti itu.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan bekerjasama di Permatang Pauh selagi AMK negeri itu dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang tidak menarik balik kenyataan ke atas Abdul Hadi berhubung isu hudud.
Bagaimanapun, Timbalan AMK Pulau Pinang, Khairil Anuar Kamaruddin pula berkata, pihaknya tidak mempedulikan desakan Dewan Pemuda Pas negeri.
Peningkatan sokongan kepada Umno
Pengarah Pilihan Raya Jentera BN Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun calon pilihan mereka tewas, ia telah menampakkan perubahan dan peningkatan sokongan kepada Umno.
"Simptom positif ini memberi sinar baru kepada perjuangan Umno di Permatang Pauh. Tahniah dan syabas kepada pengundi yang sebelum ini berstatus hitam, kini memberi sokongan kepada BN," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN di Permatang Pauh.
Sementara itu, BN mengekalkan kerusi parlimen dalam satu lagi pilihanraya kecil awal minggu ini walaupun menyaksikan kemerosotan peratusan undi kepada parti itu.
Calon BN Hasan Arifin Hasan, 62, meraih 23,796 undi berbanding calon PAS, Nazri Ahmad, 40, yang memperoleh 14,901 undi.
Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Najib Razak berkata post-mortem akan diadakan bagi meneliti keputusan pilihan raya kecil di Rompin, negeri Pahang.
"Kami akui bahawa peratusan undi kepada Barisan Nasional telah merosot … walaupun majoriti kekal pada tahap selesa.”
Oleh staf Berita Benar dengan maklumat daripada laporan berita.