Perunding Damai Dakwa Kumpulan Pemberontak Bertanggungjawab Atas Serangan di Selatan Thailand

Bagaimanapun, BRN nafi dakwaan kumpulan itu dalang di sebalik serangan berhampiran sempadan Malaysia minggu lepas.
Mariyam Ahmad dan Muzliza Mustafa
2022.06.01
Pattani, Thailand dan Kuala Lumpur
Perunding Damai Dakwa Kumpulan Pemberontak Bertanggungjawab Atas Serangan di Selatan Thailand Anggota tentera memeriksa kawasan serangan pemberontak di sebuah balai polis marin di daerah Tak Bai dalam wilayah Narathiwat di selatan Thailand, 26 Mei 2022.
[BenarNews]

Seorang perunding damai mewakili kerajaan dan sebuah laman Facebook propemberontak telah mendakwa bahawa kumpulan pemisah BRN bertanggungjawab melancarkan serangan di sepanjang sempadan Malaysia minggu lepas yang menjejaskan gencatan senjata hampir dua bulan bagi menghentikan keganasan di selatan Thailand.

Tiga anggota pasukan keselamatan Thailand cedera apabila lebih 10 penembak bersenjatakan raifal tempur dan bom tangan menyerang sebuah balai polis serta pejabat kastam dalam daerah Tak Bai di wilayah Narathiwat pada 25 Mei.

Perunding utama yang mewakili Barisan Nasional Revolusi dalam rundingan damai dengan Thailand yang dipelopori Malaysia telah mencabar dakwaan Bangkok itu dan mempersoal kesahihan hantaran media sosial bahawa kumpulan itu bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.

“Menyentuh insiden di Tak Bai, pejuang BRN telah melancarkan serangan ke atas tentera Siam dan memusnahkan kereta. Syukur kepada Tuhan, dengan izin Allah, ketiga-tiga anggota tentera Siam cedera dan semangat mereka kini goyah,” demikian menurut mesej dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa yang merujuk kepada Thailand menggunakan nama lamanya serta kumpulan pemberontak terbesar di wilayah selatan berhampiran kawasan sempadan yang majoriti penduduknya adalah Orang Melayu dan beragama Islam.

Pegawai tentera Thailand mengenal pasti individu yang membuat hantaran itu sebagai penyokong BRN.

Pada Rabu, Leftenan Jeneral Thira Daehwa yang berkhidmat sebagai setiausaha bagi panel mewakili Thailand dalam rundingan damai itu berkata beliau “seakan tidak percaya bahawa BRN tidak mengendahkan kehendak penduduk setempat yang inginkan keamanan dan meneruskan kehidupan mereka.”

“Ada kemungkinan serangan itu bertujuan menjejaskan rundingan damai dan suasana harmoni di bulan Ramadan,” kata Thira kepada BenarNews.

Anas Abdulrahman, perunding utama bagi panel BRN, telah menafikan bahawa kumpulan itu bertanggungjawab melakukan serangan tersebut.

“Tentera Thailand tidak mempunyai sebarang bukti untuk menuduh BRN kerana tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam insiden serangan di Tak Bai,” kata Anas kepada BenarNews.

“Jadi tentera Thailand membuat andaian bahawa pihak yang memiliki keupayaan dan kapasiti untuk melancarkan serangan sedemikian ialah BRN, jadi mereka menuding jari ke arah kami. Bagaimanapun, serangan di Tak Bai tidak akan menjejaskan proses rundingan damai kerana ia berlaku selepas Inisiatif Damai Ramadan berakhir.”

Anas juga berkata hantaran di laman Facebook itu tidak dilakukan di laman rasmi BRN.

“Sebarang pengumuman rasmi hanya akan dikeluarkan oleh Sekretariat Pusat BRN, Biro Penerangan BRN dan Sekretariat Rundingan BRN. BRN tidak akan bertanggungjawab untuk sebarang bentuk kenyataan, media atat pengumuman yang datangnya daripada medium atau pihak lain selain yang telah dinyatakan di sini,” katanya.

Semasa serangan itu, pemberontak telah melontarkan bahan letupan dan melepaskan tembakan menggunakan raifal automatik ke arah sebuah balai polis marin di Sungai Kolok yang memisahkan Thailand dari Malaysia, kata polis. Para penyerang terbabit turut menyasarkan pejabat kastam dan kedai serbaneka.

Serangan itu merupakan insiden keganasan terbesar yang meletus sejak kedua-dua pihak bersetuju pada awal April untuk  mengadakan gencatan senjata sepanjang bulan Ramadan. Gencatan senjata itu berakhir pada 14 Mei.

Komander Tentera Wilayah ke-4 Leftenan Jeneral Kriangkrai Srirak, yang menyelia situasi di selatan Thailand, telah mengeluarkan butiran mengenai siasatan yang sedang dijalankan pada Rabu.

“Mengenai insiden di Tak Bai, kami telah mengumpulkan bukti dan melakukan pemeriksaan forensik yang menunjukkan bahawa senjata serta bom yang digunakan mempunyai kaitan dengan pemberontak. Forensik ke atas kelongsong peluru yang digunakkan juga menunjukkan kaitan yang sama,” katanya kepada BenarNews.

Kriangkrai berkata penyerang melancarkan serangan ke atas balai polis marin kerana ia terlibat dalam tindakan keras berhubung aktiviti rentas sempadan haram baru-baru ini. Beliau mendakwa suspek pemberontak, yang belum dikenal pasti, mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah membabitkan penyeludupan dadah dan barangan haram lain di kawasan itu.

“Kami perlu memberkas penyerang terbabit. Mereka – sindiket penyeludupan yang terjejas dan pemberontak – mempunyai kaitan. Kami memiliki bukti dan kami tidak akan membiarkan mereka terlepas daripada hukuman,” katanya.

Malaysia bertindak sebagai fasilitator dalam rundingan damai antara kerajjan dan pemberontak di selatan Thailand – yang terbaharu ialah BRN. Fasilitator Rahim Noor berkata lebih banyak rundingan damai dijadualkan pada Julai.

Kriangkrai juga berkata serangan itu tidak akan menjejaskan usaha membawa keamanan di selatan Thailand.

“Rundingan damai akan diteruskan bagi membolehkan orang ramai memiliki hidup yang lebih berkualiti dan selamat menjalani kehidupan secara normal,” katanya.

Pergerakan kumpulan pemisah bersenjata di selatan Thailand terhadap kerajaan di negara yang majoriti penduduknya adalah beragama Buddha bermula pada 1960-an. Sejak pemberontakan meletus semula pada Januari 2004, lebih 7,000 orang terbunuh manakala 13,500 lagi cedera dalam keganasan di wilayah itu, demikian menurut badan pemikir tempatan Deep South Watch.

Subel Rai Bhandari di Bangkok dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.