Mansuh, Pusingan U dan Pindaan Akta Hasutan Malaysia Penuh Kontroversi
2015.04.08

Ramai melihat pindaan itu boleh mencetus kekeliruan dikalangan rakyat kerana masih terdapat ketidakpastian terhadap perlembagaan akta itu, selain menceroboh secara langsung kuasa budi bicara kehakiman.
Bacaan kali pertama pindaan akta itu, dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa, selepas Putrajaya membuat pusingan U apabila berjanji untuk memansuhkannya tiga tahun lepas.
Najib mengumumkan bahawa akta itu, akan dimansuh dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional, pada 12 Julai 2012, dalam usaha kerajaan mencari mekanisme bagi menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara serta keperluan menangani kompleksiti kemajmukan kaum yang wujud di negara ini.
Namun, semasa Perhimpunan Agung UMNO 2014, Najib menegaskan bahawa Akta Hasutan itu, tidak akan dimansuhkan, malah, akan diperkukuhkan.
Ahli Parlimen BN mahu kerajaan tarik balik pindaan
Ahli Parlimen Kinabatangan dari Barisan Nasional (BN) Bung Moktar Radin berkata kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai mengenai pindaan kontroversi itu, telah mencetuskan kekeliruan.
“Rakyat perlu diberi peluang melihat dengan teliti isi kandungan pindaan itu terlebih dahulu, dan mereka juga perlu dibenarkan menyuarakan pendapat. Kami meminta kerajaan menarik balik pindaan itu dan membincangkan kandungannya untuk kebaikan semua rakyat,” katanya kepada media di lobi Parlimen seperti yang dilaporkan portal berita The Malaysian Insider pada Rabu.
Sementara itu, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim dalam tweetnya bekata, mana-mana Ahli Parlimen BN yang menyokong pindaan rang undang-undang itu, tidak layak untuk berada di Parlimen. Orang Melayu yang akan paling menderita akibat undang-undang jenis ‘stalin’ ini.
Bagi Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty (LFL) Eric Paulsen, akta hasutan itu digunakan secara meluas seperti laras ‘machine gun’ automatik yang ‘menembak’ sesiapa sahaja yang menyatakan sesuatu walaupun dengan cara yang tidak ekstrem.
“Ianya digunakan secara meluas dan keterlaluan dan jelas telah disalah guna serta tidak patut dikekalkan lagi. Walaupun individu tersebut hanya menyatakan pendapat atau pandangan dengan sifat sedikit keterbukaan, dia sudah boleh didakwa di atas Akta Hasutan dan ini salah,” katanya.
Manakala Peguam aktivis Ambiga Sreenevasan mempersoalkan keputusan kerajaan membuat pindaan terhadap akta yang dilihat masih mempunyai ketidakpastian terhadap perlembagaan akta itu sendiri.
Beliau berkata pindaan tidak perlu dibentangkan pada masa ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai kes Profesor Undang-undang Azmi Sharom yang mencabar keperlembagaan akta itu yang masih belum selesai.
"Kita tidak mahu Parlimen membuang masa mereka, membincangkan pindaan apabila terdapat kemungkinan ia tidak boleh melihat cahaya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, seperti laporan akhbar The Star.
Azmi Sharom seorang kolumis di akhbar The Star, telah ditahan dibawah akta itu, selepas memberi komennya dalam berita bertajuk 'Take Perak crisis route for speedy end to Selangor impasse, Pakatan told', pada 15 Ogos tahun lalu.
Beliau kemudiannya mencabar keperlembagaan Akta Hasutan di Mahkamah sehingga kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan dan kini sedang dibicarakan.
Peningkatan hukuman dan membesarkan definisi hasutan
Ambiga, yang merupakan jurucakap Gerakan Padam Akta Hasutan (GHAH) berkata, masyarakat juga mengambil berat mengenai cadangan pindaan yang akan menuju kepada "peningkatan hukuman" dan "membesarkan definisi hasutan".
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Steven Thiru berkata, pindaan akta yang mengenakan penalti minimum dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap individu yang dituduh, secara langsung menceroboh kuasa budi bicara kehakiman.
Perubahan yang dicadangkan terhadap undang-undang era penjajahan sebagai "pencerobohan serius" kepada kebebasan bersuara akan menghalang hakim daripada menjalankan penghakimannya apabila mendengar kes-kes di bawah Akta Hasutan.
"Apa yang lebih serius adalah penetapan hukuman minimum, yang merupakan gangguan terhadap budi bicara kehakiman dan hukuman," kata beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, pindaan kepada akta itu termasuk mengadakan peruntukan tidak membenarkan seseorang yang didakwa melakukan kesalahan di bawah akta itu diikat jamin dan mengenakan hukuman lebih berat bagi individu yang melakukan kesalahan.
"Antara isu yang menjadi perhatian ialah komen yang semakin berbahaya dan berniat jahat, posting dan penerbitan yang menjejaskan keunggulan Malaysia yang dihargai – sikap toleransi, serta keharmonian kaum dan agama," kata Putrajaya bagi menyokong pindaan itu.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah terdapat seruan kepada pemisahan negeri di dalam Persekutuan Malaysia yang ditubuhkan dengan persetujuan rakyat Malaysia dan serangan tidak munasabah terhadap institusi kedaulatan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja."
Pemimpin politik pembangkang dan aktivis bimbang pindaan itu akan memberikan Putrajaya alat baru untuk menutup mulut pengkritik kerana sebahagian besar mereka yang didakwa mengikut akta itu ialah pemimpin pembangkang.
Oleh staf BenarNews dengan maklumat daripada laporan berita.