Waris Serah Serpihan Dipercayai Bangkai Pesawat MH370
2018.11.30
Kuala Lumpur

Lima serpihan dipercayai daripada bangkai pesawat MH370 diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia oleh waris mangsa dan anak kapal pesawat malang itu pada Jumaat.
Ia sebagai usaha menggesa kerajaan membuka satu siasatan baru untuk mengetahui nasib pesawat tersebut serta 239 nyawa yang berada di dalamnya.
Pesawat MH370 yang berdaftar di Malaysia itu dan kesemua penumpang serta anak kapal hilang dari radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan kini disifatkan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan awam sedunia.
Serpihan-serpihan yang baru dijumpai itu ditemukan di sepanjang persisiran pantai Madagascar oleh warga tempatan antara September 2016 hingga Ogos 2018 sebelum diserahkan kepada Blaine Alan Gibson, seorang penjejak bangkai pesawat dari Amerika Syarikat (AS).
Gibson dan pasukan penyelidiknya yakin serpihan-serpihan yang ditemui berasal daripada pesawat Boeing yang hilang itu kerana selepas diselidik, mereka dapati satu daripada serpihan tersebut mempunyai label yang tertera nombor siri sama dengan yang biasa dijumpai pada lantai pesawat-pesawat Boeing 777.
“Hanya terdapat satu pesawat Boeing 777 yang hilang di Lautan Hindi. Ini ialah daripada pesawat Malaysia 370, tidak mungkin daripada pesawat lain,” kata Gibson dalam satu sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
Beliau turut yakin penyerahan serpihan itu akan membolehkan pihak berkuasa Malaysia membuktikan bahawa ia sememangnya berasal daripada pesawat malang tersebut.
Sehingga kini, sejumlah 27 serpihan telah ditemukan di persisiran pantai benua Afrika dan tiga daripadanya telah terbukti berasal daripada MH370 manakala lima lagi ‘hampir pasti’ berasal daripada pesawat itu, menurut laporan Australian Transport Safety Bureau (ATSB) pada 23 Januari 2017.
Gibson, yang menggelarkan dirinya 'pencari kebenaran' berkata beliau memulakan penyelidikan mengenai kehilangan pesawat itu secara bersendirian pada 2015 selepas menyedari pencarian yang dijalankan oleh pihak berkuasa hanya merangkumi lautan dalam dan tidak melibatkan pencarian di permukaan laut.
"Saya menghubungi pengkaji samudera tentang di manakah serpihan-serpihan pesawat tersebut dan mereka beritahu saya mungkin berada di Madagascar dan Mozambique, jadi saya ke sana dan menemui beberapa serpihan," kata Gibson.
Sejak itu, beliau memaklumkan kepada penduduk tempatan di Madagascar dan Mozambique yang kemudiannya menjumpai lebih banyak lagi serpihan yang dipercayai berasal daripada pesawat yang dipercayai terhempas itu.
Berdasarkan kajiannya terhadap lokasi serpihan-serpihan tersebut, Gibson percaya pencarian terdahulu oleh pihak berkuasa Malaysia dan Australia tidak dilakukan di lokasi yang tepat.
"Serpihan itu dapat membantu kita mengenal pasti latitud pesawat itu terhempas kerana semua serpihan dijumpai di Afrika dan tidak langsung dibawa arus ke Australia atau Tasmania," kata Gibson.
Pencarian terakhir yang dijalankan oleh Ocean Infinity, sebuah syarikat persendirian dari AS yang menawarkan diri untuk mencari bangkai pesawat tersebut dibatalkan pada 27 Mac tahun ini setelah pencarian tersebut gagal menemui pesawat tersebut tiga bulan selepas ia dilancarkan.
Mengulas pencarian yang dibuat secara 'tiada bayaran jika tiada hasil itu', Gibson berpendapat Malaysia patut meneruskan pencarian di bawah perjanjian yang serupa dengan pihak yang berkesanggupan.
"Jika ada syarikat yang menawarkan untuk menjalankan lagi pencarian secara 'tiada bayaran jika tiada hasil', ia tidak menjadi risiko kepada Malaysia.
"Namun, tanggungjawab mencari kekal tanggungjawab kerajaan Malaysia, ia merupakan pesawat Malaysia," tambahnya lagi.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang menerima serpihan itu bagi pihak kerajaan Malaysia berkata Putrajaya tidak pernah menolak kemungkinan untuk membuka kembali siasatan berhubung kehilangan pesawat MH370.
"Kami sentiasa terbuka untuk membuka semula siasatan jika terdapat bukti baru," kata Loke.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan tersebut terletak di bawah bidang kuasa Kabinet sebelum diluluskan.
"Saya tidak boleh buat keputusan sendiri," katanya.
Sejak pencarian oleh Ocean Infinity dihentikan pada Mac, Kementerian Pengangkutan telah membentangkan satu laporan tidak muktamad pada 30 Julai oleh Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 yang hanya dapat membuktikan pesawat tersebut tidak mengalami sebarang masalah teknikal ketika berlepas pada penerbangan terakhirnya itu.
Waris penumpang dan anak kapal penerbangan malang itu bagaimanapun menyuarakan kekecewaan mereka terhadap kegagalan kerajaan mencari penyelesaian kehilangan misteri pesawat itu yang masuk tahun keempat.
"Sepatutnya lebih banyak usaha dilakukan untuk mencari serpihan, seperti melancarkan kerjasama antara kerajaan di sana dengan Kementerian Pelancongan dan pelancong-pelancong serta pengunjung pantai, sebagai contoh.
"Pasti lebih banyak akan dapat ditemui," kata peguam Grace Nathan, anak kepada seorang penumpang pesawat MH370 kepada Berita Benar.
"Sebaliknya, kami terpaksa pergi dengan sendiri dan kami berjaya menemui hasil walaupun dengan sumber dan kelengkapan yang terhad," tambah Grace.
Beliau berharap kerajaan tidak akan menyerah dalam usaha pencarian pesawat yang hilang itu supaya ia dapat menjadi penutup kepada tragedi tersebut kepada dirinya sendiri dan waris-waris lain.