Parti Baru Diterajui Mahathir Mohamad Didaftarkan

Melati A. Jalil
2016.09.08
Kuala Lumpur
160908-MY-party-1000.jpg Bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin (tengah) menunjukkan dokumen berkenaan selepas mengemukakan permohonan bagi mendaftar sebuah parti politik baru di Putrajaya, 9 Ogos, 2016.
AFP

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan para pemimpin kumpulan yang berpecah daripada parti dominan Malaysia, telah berjaya mendaftar sebuah parti politik baru dalam usaha mereka menggulingkan Perdana Menteri Najib Razak yang dilanda skandal.

Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Mohammad Razin Abdullah ketika dihubungi berkata, proses pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hampir selesai dengan parti itu perlu mengemukakan surat mengenai peranan dan fungsi presiden dan pengerusi parti.

"Pada dasarnya, kami telah meluluskan PPBM sebagai parti yang sah, satu-satunya perkara yang belum selesai ialah PPBM perlu menghantar surat yang menyatakan fungsi dan peranan presiden dan pengerusi mereka sebelum kami boleh melengkapkan pendaftaran parti.

"Pada mulanya, parti itu meminta untuk menggunakan Bersatu sebagai singkatan nama parti tetapi ia bersetuju mengubahnya selepas berbincang dengan kami. Mereka tidak boleh menggunakan ‘Bersatu’ sebagai singkatan nama parti bagi mengelakkan kekeliruan kerana enam parti lain turut menggunakan akronim sama, " katanya kepada BeritaBenar.

Parti itu memfailkan pendaftarannya pada 9 Ogos lalu, dengan diketuai oleh bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat Muhyiddin Yassin, yang dijangka menyandang jawatan presiden parti.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang keluar daripada  parti pemerintah utama negara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada Februari lalu, akan menjadi pengerusi parti itu.

Anak lelakinya, Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar negeri utara, Kedah, akan menjadi naib presiden.

Muhyiddin dan Mukhriz telah disingkirkan daripada UMNO pada  Jun lalu, susulan membuat kritikan terhadap kepimpinan Najib yang juga Presiden UMNO.

PPBM wakili semua rakyat Malaysia

Mahathir, Muhyiddin dan bekas ahli-ahli UMNO berazam bahawa  PPBM akan mewakili 'semua rakyat Malaysia’dalam membawa pembaharuan institusi dan kerajaan yang bersih serta memberi cabaran kepada kepimpinan Najib, yang dibayangi oleh dakwaan rasuah.

Terdahulu pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi berkata pada dasarnya, ROS meluluskan permohonan parti itu tanpa membuat sebarang perubahan tetapi ia mesti menggunakan singkatan baru 'PPBM'.

"Selaras dengan pengumuman saya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah diluluskan hari ini tanpa sebarang pindaan dan mereka telah mendaftar parti sebagai singkatan PPBM," kata Ahmad Zahid dalam satu sidang media.

Beliau berkata, penggunaan akronim baru "PPBM" adalah berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh parti itu dan ia telah diluluskan oleh ROS.

ROS terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Seorang daripada pengasas parti itu, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, beliau secara peribadinya teruja kerana pendaftaran parti itu diluluskan dan sedia untuk memulakan tugas lapangan bagi menarik pengundi.

"Memandangkan sekarang ia telah diluluskan, saya akan turun padang setiap hari. Muhyiddin juga akan turun padang hampir setiap hari, untuk memulakan proses pendaftaran (ahli)," katanya kepada BeritaBenar.

Pilihan raya umum negara ini perlu diadakan menjelang pertengahan 2018.

Bagaimanapun, Syed Saddiq mengkritik ROS yang tidak membenarkan parti itu menggunakan "Bersatu".

"Saya fikir, bagi bahagian itu, ia masih menunjukkan perasaan ketakutan yang amat kuat daripada pihak pemerintah, yang tidak membenarkan penggunaan Bersatu," katanya sambil menambah kata bahawa perubahan nama singkatan tidak akan menghalang  parti itu daripada merekrut ahli.

PPBM tidak sama dengan UMNO

Mahathir, dalam satu temu bual eksklusif dengan BeritaBenar pada  Selasa, tidak bersetuju dengan kritikan bahawa parti politik baru itu mempunyai persamaan dengan UMNO kerana ia ditubuh berasaskan kaum.

"Dan penduduk kawasan luar bandar khususnya majoriti orang Melayu, mereka bimbang tentang kaum mereka dan jika anda tidak memenuhi kehendak mereka, anda tidak akan ke mana-mana. Anda mungkin mempunyai etika yang tinggi dan banyak lagi, tetapi anda tewas dalam pilihan raya.

"Apa gunanya menjadi sebuah parti yang kalah dalam pilihan raya dan ia tidak akan dapat melaksanakan semua idea besarnya. Oleh itu, kita membentuk satu parti yang berasaskan kaum, "katanya kepada BeritaBenar.

Keahlian parti itu terdiri daripada warganegara Bumiputera, termasuk penduduk pribumi dari negeri-negeri Sabah dan Sarawak di Malaysia Timur serta warganegara bukan bumiputera yang akan diiktiraf sebagai "ahli bersekutu", kata Muhyiddin dalam laporan BeritaBenar semasa parti itu memfailkan permohonan pendaftaran.

Bumiputera bermakna "anak-anak bumi." Di Malaysia, istilah itu digunakan untuk merujuk kepada majoriti etnik Melayu dan orang asli lain.

Ditanya mengenai usaha menjatuhkan Najib dalam pilihan raya akan datang, Dr Mahathir berkata: "Sudah semestinya, tiada apa yang pasti... kerana kita tahu bahawa Barisan Nasional yang diketuai oleh Najib mempunyai banyak wang dan tidak takut memaparkan penggunaan wang."

Haireez Azeem Azizi menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.