Kerajaan Komited Pastikan Golongan Remaja 18 Tahun Mengundi Pada PRU15

Penganalisis politik berkata keputusan Kabinet itu lebih kepada usaha meredakan kemarahan rakyat tanpa komitmen terhadap tempoh masa untuk melaksanakan UNDI 18.
Noah Lee dan Muzliza Mustafa
2021.04.29
Kuala Lumpur
Kerajaan Komited Pastikan Golongan Remaja 18 Tahun Mengundi Pada PRU15 Peserta Himpunan UNDI 18 berkumpul di hadapan Parlimen sebagai tanda protes terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya menangguhkan pelaksanaan UNDI 18 di Kuala Lumpur pada 27 Mac 2021.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi portfolio undang-undang dan parlimen Malaysia Takiyuddin Hassan pada Khamis mengumumkan bahawa Kabinet telah bersetuju memberikan komitmen bagi memastikan golongan berusia 18 tahun dapat mengundi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang namun tidak menetapkan sebarang tempoh untuk melaksanakan langkah menurunkan had umur pengundi yang telah diluluskan Parlimen pada 2019.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Mei untuk mendengar bantahan Jabatan Peguam Negara berhubung saman yang difailkan terhadap Kerajaan Malaysia kerana menangguhkan hak anak muda untuk mengambil bahagian dalam PRU yang mungkin diadakan pada tahun ini.

"Kerajaan amat komited untuk melaksanakan umur Kelayakan Pengundi 18 tahun sebagaimana pindaan kepada peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui sebulat suara di Parlimen secara dwipartisan pada tahun 2019.

"Hal ini telah dibincangkan dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 28 April 2021 dan akan diusahakan agar dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat," kata Takiyuddin dalam kenyataan media pada Khamis.

Kenyataan itu dibuat sebulan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan bahawa proses persiapan untuk membolehkan golongan berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun mengundi telah tergendala akibat pandemik COVID-19. Ia dijangka memberi kesan terhadap lebih 1.2 juta rakyat Malaysia dalam lingkungan usia berkenaan.

Pengumuman SPR pada 25 Mac telah mencetuskan kemarahan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin. Antara yang mengkritik ialah Ahli Parlimen, ahli politik dan aktivis yang percaya pandemik itu hanyalah alasan untuk tidak membenarkan orang muda mengundi.

Menurut Takiyuddin, susulan keputusan yang dibuat kabinet, SPR akan mengambil langkah segera bagi menyelesaikan beberapa perkara untuk membolehkan UNDI 18 dilaksanakan termasuk isu berkaitan peruntukan undang-undang serta teknikal seperti sistem perisian yang diperlukan.

"Adalah jelas melalui ketetapan yang dibuat ini menunjukkan betapa kerajaan beriltizam untuk memberi peluang kepada golongan muda yang berumur tidak kurang 18 tahun menjadi pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-15 mahupun dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil dan Pilihan Raya Negeri.

"Kerajaan juga yakin SPR sentiasa bersiap sedia dengan pelbagai persiapan untuk menguruskan proses pilihan raya dari segi logistik, sumber manusia serta penyesuaian berhubung Prosedur Operasi Standard selaras dengan norma baharu pengendalian pilihan raya ekoran penularan COVID-19 di negara ini," kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Pada 16 Julai 2019, Parlimen Malaysia melakar sejarah apabila meluluskan cadangan pindaan terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Cadangan itu telah dibawa oleh kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad dan mendapat sokongan kesemua 211 Ahli Parlimen yang hadir termasuk pembangkang dengan 11 lagi tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat semasa undian dibuat.

Kenyataan SPR pada Mac menyebut rekodnya menunjukkan bahawa jumlah warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas ialah 5.6 juta orang dengan 1.2 juta daripada jumlah itu adalah individu yang berusia lingkungan 18 hingga 20 tahun.

Desak komitmen masa

Keputusan kabinet mengenai komitmen terhadap UNDI 18 mendapat reaksi positif beberapa pihak termasuk pembangkang iaitu Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta pemerhati pilihan raya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) namun dianggap belum mencukupi kerana kerajaan tidak memberikan sebarang tempoh berhubung pelaksanaannya.

Naib presiden MUDA Lim Wei Jit berkata rakyat tidak harus menerima sebarang tarikh selepas Julai 2021 iaitu tarikh asal yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini.

Merujuk kepada kenyataan Takiyuddin berhubung komitmen kerajaan, beliau berkata pendirian itu tidak mungkin dicapai tanpa usaha Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican serta beberapa Ahli Kabinet yang menyokong pelaksanaan UNDI 18.

"Namun kenyataan ini masih tidak cukup baik kerana tiada komitmen dan jangka masa yang spesifik mengenai bila UNDI 18 akan dilaksanakan. Sejujurnya, Kerajaan PN harus memberi komitmen untuk melaksanakan UNDI 18 pada atau sebelum Julai 2021. Ini adalah tarikh yang dijanjikan berkali-kali sebelum ini," katanya sambil menegaskan bahawa tarikh itu perlu ditepati kerana proses pendaftaran pengundi memakan masa dan mereka mungkin tidak sempat mengundi.

Jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 turut melontarkan pandangan sama dan mendesak agar satu tarikh yang jelas ditetapkan kerajaan.

"Kenyataan bahawa ia akan dilaksanakan ‘dalam tempoh terdekat’ boleh terbuka kepada interpretasi dan amat tidak menyakinkan semua pihak," menurut kenyataan organisasi itu pada Khamis yang turut mendesak Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh melepaskan jawatan kerana didakwa tidak kompeten untuk melaksanakan tanggungjawab mengemudi suruhanjaya tersebut.

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim pula mempertikai masa yang diambil kerajaan untuk melaksanakan UNDI 18.

"Keputusan dibuat semua parti menyokong dan oleh yang demikian, pelaksanaan harus dilakukan. Kalau jawapannya SPR tidak mampu, ini adalah ketakmampuan melampau dan keabaian tugas. Kalau dia tidak punya kewibawaan, patut dia letak jawatan, lantik tokoh muda yang lain untuk mengendali pilihan raya yang lebih bebas dan adil," kata beliau merujuk kepada pengerusi SPR.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Tunku Mohar Mokhtar berkata beliau percaya keputusan Kabinet itu dibuat sebagai respons terhadap kritikan yang dilemparkan terhadap kerajaan dan lebih kepada usaha meredakan kemarahan orang ramai dengan tidak memberikan sebarang komitmen berhubung tempoh pelaksanaan UNDI 18.

"Kenyataan itu menyatakan bahawa terdapat halangan birokrasi untuk diatasi sebelum UNDI 18 boleh direalisasikan. Kalau melihat pada kelembapan proses birokrasi, ia mungkin tidak dapat dilaksana pada Julai ini iaitu hanya dua bulan lagi. Bagaimanapun, kalau Parlimen dibubarkan pada Jun 2023, ada kemungkinan remaja 18 tahun berpeluang mengundi jika usaha untuk merealisasikannya dimulakan dengan segera," katanya kepada BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.