Malaysia Tingkatkan Kawalan Keselamatan Pantai di Sabah

Muzliza Mustafa
2016.09.14
Kuala Lumpur
160914-MY-PH-sabah-620.jpg Tentera Filipina berkawal di sebelah kenderaan pengangkut berperisai di dalam sebuah kem tentera di Jolo, wilayah Sulu, ketika tentera kerajaan bersedia untuk memperhebatkan operasi terhadap militan Kumpulan Abu Sayyaf, 5 September, 2016.
AFP

Langkah baru yang dilaksanakan Malaysia untuk memperkukuhkan  pertahanannya di negeri timur, Sabah, bertujuan mencegah berlakunya ancaman pantai dari selatan Filipina, ketika kerajaan baru di Manila meningkatkan lagi operasi terhadap militan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), kata  seorang pakar keselamatan kepada BenarNews.

"Kita tidak boleh menolak sebarang kemungkinan kerana pantai mereka memang dekat dengan kita," kata Profesor Zaini Othman, yang mengetuai Pusat Penyelidikan Keselamatan Strategik di Universiti Malaysia Sabah, pada Rabu.

Menteri Pertahanan  Hishammuddin Hussein memberitahu pemberita semasa lawatan hujung minggu ke Sabah bahawa kementeriannya mahu meningkatkan tahap keselamatan di negeri itu daripada ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) dan kumpulan militan yang berpangkalan di selatan negara jiran, Filipina, lapor agensi berita negara, Bernama.

Langkah itu diambil selepas kerajaan Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang baru dilantik, telah mempergiatkan serangan ketenteraan terhadap ASG akhir bulan lepas di Wilayah Sulu, yang kawasan selatannya terletak berhampiran dengan kawasan hujung timur Sabah.

Pada 2 Sept, letupan bom membunuh sekurang-kurangnya 14 orang di Davao City, di pulau selatan Filipina, Mindanao. Sebuah stesen radio Filipina, DZMM, melaporkan bahawa ASG, yang pemimpin kanannya telah berikrar untuk setia kepada IS, mendakwa bertanggungjawab melakukan pengeboman itu, menurut Rappler.com.

Tahun ini, ASG menculik anak-anak kapal Malaysia dan Indonesia dari kapal-kapal yang belayar di perairan yang memisahkan Borneo dari selatan Filipina. Lapan warganegara Indonesia dan sekurang-kurangnya empat warganegara Malaysia dipercayai masih berada dalam tahanan kumpulan itu, selepas 18 anak kapal dari Indonesia dan Malaysia dibebaskan ASG dan sebuah lagi kumpulan bersenjata di selatan Filipina pada awal 2016. Dua lagi anak kapal Indonesia dilaporkan dapat melarikan diri.

Hujung minggu lalu, tiga warganegara Filipina yang merupakan penduduk tetap Sabah telah diculik dari sebuah bot nelayan yang didaftarkan di Malaysia yang berlayar di luar negeri itu, demikian disahkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Minggu lalu, Duterte dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Joko "Jokowi" Widodo telah menandatangani perjanjian dua hala di Jakarta bagi  mengukuhkan keselamatan maritim di perairan bersama mereka, termasuk melancarkan rondaan tentera laut bersama untuk melindungi Laut Sulu daripada kegiatan rampasan pada masa depan.

"Kami berharap pada masa akan datang tiada lagi masalah keselamatan di Laut Sulu dan kami akan melakukan rondaan bersama untuk memastikan keselamatan di perairan," kata Jokowi  semasa sidang berita bersama di Istana Presiden pada Jumaat.

"Saya minta maaf, Tuan Presiden, kerana kadang kala penghantaran arang batu untuk loji kuasa di negara saya telah tertangguh kerana berlakunya rampasan," kata Duterte kepada Jokowi, lapor Jakarta Globe.

Mengukuhkan pertahanan pantai

Antara langkah-langkah pertahanan baru yang diambil oleh Malaysia ialah kerajaan akan menggunakan 20 kereta perisai dan sekurang-kurangnya empat helikopter yang dilengkapi dengan senapang Gatling di kawasan Lahud Datu, yang terletak di dalam Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), lapor Bernama yang memetik Hishammuddin sebagai berkata. Tentera Malaysia juga akan memasang radar dan sistem pengawasan pantai di lima lokasi di pantai timur Sabah, kata Menteri Pertahanan itu.

ESSCOM ditubuhkan selepas serangan maut di Sabah oleh kumpulan bersenjata dari kepulauan Sulu di selatan Filipina tiga tahun lepas. Kumpulan itu menggelarkan dirinya sebagai Tentera Diraja Sulu, dan ahli-ahlinya memperkenalkan diri mereka sebagai pengikut lelaki yang mengisytiharkan dirinya Sultan Sulu.

Pada awal 2013, pasukan keselamatan Malaysia menumpaskan pemberontakan oleh kira-kira 200 pejuang dari Sulu. Tujuh puluh dua orang termasuk 56 lelaki bersenjata Sulu, 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia dan enam orang awam terbunuh dalam pertempuran yang berlaku beberapa minggu di Kampung Tanduo.

ESSCOM bertanggungjawab mengawasi keselamatan dari utara Kudat ke tenggara Tawau.

"Briged ESSCOM telah ditempatkan di Felda Sahabat sejak insiden Tanduo itu berlaku. Oleh itu, pengumuman yang dibuat oleh Hishammuddin adalah lebih kepada memperkukuhkan kekuatan tentera di kawasan berkenaan, " kata penganalisis keselamatan Zaini kepada BeritaBenar.

'Tiada perubahan'

Sejak mengambil alih jawatan di Manila pada akhir bulan Jun, Duterte, bekas Datuk Bandar Davao City, telah melancarkan tindakan keras terhadap suspek pengedar dadah  dan meningkatkan lagi operasi ketenteraan bagi menghancurkan ASG.

Sepanjang awal September, lebih daripada 3,000 orang telah terbunuh dalam perang dadah Duterte. Kempen itu telah mendapat kritikan antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, sekutu rapat  Filipina sejak sekian lama, berikutan tindakan di luar bidang kehakiman terhadap suspek.

Minggu ini, Presiden Filipina itu mencetuskan ketegangan dengan AS apabila menyatakan bahawa pasukan khas Amerika Syarikat, yang  ditempatkan di Mindanao dan berkhidmat sebagai penasihat kepada tentera Filipina dalam usaha memerangi ASG, perlu meninggalkan negaranya.

Pada Selasa, Setiausaha Luar Filipina Pefecto Yasay bertindak untuk mengendurkan ketegangan dengan Amerika Syarikat.

"Setakat ini, tiada perubahan dalam dasar kami berhubung dengan persahabatan erat kami dengan Amerika," kata Yasay seperti yang dilaporkan Agence France-Presse.

Penempatan lima lagi batalion ke Sulu oleh kerajaan Duterte sebagai langkah memerangi Abu Sayyaf boleh membawa pelbagai kesan, termasuk menyebabkan militan melarikan diri ke Sabah dari pangkalan mereka di selatan Filipina, lapor media Malaysia yang memetik Ketua ESSCOM Wan Abdul Bari Abdul Khalid sebagai berkata pada 5 Sept.

Beliau berkata pasukan Malaysia sentiasa dalam keadaan siap siaga dan berwaspada dengan potensi serangan daripada militan Filipina, menurut laporan. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas soalan BeritaBenar mengenai inisiatif keselamatan baru di Sabah.

Ismira Lutfia Tisnadibrata di Jakarta menyumbang kepada laporan ini

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.