Suspek Plot Keganasan Sukan Sea Mengaku Tidak Bersalah

Hata Wahari
2017.12.11
Kuala Lumpur
171211-MY-suspects-620.jpg Polis anti-keganasan Malaysia membawa Hajar Abdul Mubin ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang untuk menghadapi tuduhan, 25 September, 2017.
Ihsan Polis Malaysia

Dua lelaki yang ditahan berhubung dengan plot keganasan temasya Sukan Asia Tenggara [SEA] di Kuala Lumpur pada Ogos lalu mengaku tidak bersalah di mahkamah atas dakwaan mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf (ASG) dan menyembunyikan maklumat mengenai keganasan.

Hajar Abdul Mubin, 25, dari Sabah  atau  lebih dikenali sebagai Abu Asrie mengaku tidak bersalah menjadi anggota Abu Sayyaf sejak tahun 2010.

Abu Asrie  didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin di hadapan Hakim Mohd Sofian Abd. Razak melakukan kesalahan tersebut di sebuah flat Taman Desa Baiduri, Cheras, Kuala Lumpur antara tahun 2010 hingga 30 Ogos tahun ini.

Tertuduh ini didakwa di bawah Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Abdul Syamir Dabilin, 25, seorang warganegara Filipina pula didakwa menyembunyikan maklumat berkaitan dengan tindakan keganasan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di flat yang sama, pada 30 Ogos lalu.

Abdul Syamir didakwa di bawah Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Pendakwaraya, Azlina Rasdi dihadapan manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mohd Sofian menetapkan 11 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh melantik peguam.

Hajar dan Abdul Syamir merupakan antara  lapan suspek  yang ditahan kerana cuba melakukan serangan ketika upacara penutup Sukan SEA 2017 serta perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka pada pagi 30 Ogos tahun ini.

Hajar dan Abdul Syamir sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Kajang pada 25 September lepas bersama-sama dua lagi  suspek anggota ASG yang lain iaitu seorang rakyat Malaysia, Ahmad Omar, 52, dan Jaffar Ahmad, 26.

Hajar yang terlibat dalam penculikan dan pertempuran dengan askar di selatan Filipina, telah memasuki Malaysia melalui Sandakan di Sabah, sebelum menuju ke Kuala Lumpur pada Disember 2015, demikian menurut Ketua Polis Malaysia Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan pada bulan September.

Dia juga dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin militan negara Islam (IS) Malaysia, termasuk Mahmud Ahmad yang didakwa sebagai penyalur dana IS yang berasal dari Timur Tengah.

Mahmud, yang disahkan maut oleh pihak berkuasa Filipina sebelum itu aktif terlibat dalam pengepungan bandar Marawi selatan Filipina bersama pemimpin ASG, Isnilon Hapilon, pemimpin IS bagi rantau ini yang diperakui.

Polis menahan lapan suspek tersebut antara Julai dan Ogos semasa operasi anti-keganasan di Selangor, Johor, Kelantan dan ibunegara Kuala Lumpur.

Polis berkata serbuan itu dilancarkan bagi menghalang plot keganasan semasa upacara penutupan SEA dan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lepas, yang  berlangsung di ibu kota Kuala Lumpur.

Polis tidak memberikan butiran mengenai plot keganasan dan tidak menyebut sama ada sebarang senjata atau bahan peledak ditemui dalam siri serbuan berkenaan.

Tetapi, Mohamad Fuzi  memberitahu, maklumat risikan menunjukkan bahawa suspek telah merancang untuk melancarkan kedua-dua serangan tersebut.

Sebelas buah negara dan beribu orang peserta mengambil bahagian dalam Sukan SEA ke-29 itu yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos.

ASG, dikenali sebagai kumpulan pengganas yang sering menculik orang awam dari pelbagai negara dengan memenggal kepala mangsa yang diculik sekiranya permintaan wang tebusan tidak dipenuhi. Beberapa pejuang kumpulan itu juga telah dikaitkan dengan IS dan juga terlibat dalam pertempuran di Marawi sejak 23 Mei.

Sementara itu, di Mahkamah Rayuan Putrajaya, seorang bekas tukang masak telah dikekalkan hukuman penjara enam tahun selepas  mahkamah tersebut menolak rayuan pendakwa raya.

Pendakwa raya telah memohon hukuman lebih berat keatas Rosmizam Che Din, 29 kerana kesalahan memberi sokongan dan memiliki gambar berkaitan kumpulan pengganas Negara Islam (IS) tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu telah dicapai oleh panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Mohtarudin Baki. Turut bersidang di mahkamah itu adalah Hakim Ahmadi Asnawi dan Hakim Kamardin Hashim.

Kuorum itu berpuas hati bahawa rayuan pendakwa raya tiada merit berdasarkan kepada fakta kes yang telah dikemukakan dengan itu.

Dengan itu, hukuman yang diputuskan oleh Hakim Mohd Sofian di peringkat mahkamah tinggi pada 12 Julai lalu telah dikekalkan.

Mohd Sofian  pada ketika itu mengekalkan hukuman tersebut selepas meneliti bai'ah sumpah setia yang dibuatnya dalam aplikasi Telegram bahawa dia sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai cita-cita kumpulan pengganas, selain sanggup mati demi kejayaan hasrat tersebut.

Rosmizam mengaku bersalah dalam tuduhan pertama kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan Gagak Hitam dengan menggunakan nama 'Zam Rosden' di Subang dekat sini, pada pukul 12.33 pagi, 30 Mac tahun lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda atau boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau dengan niat untuk melakukan kesalahan tersebut.

Dia turut mengaku bersalah terhadap tuduhan kedua memiliki item berunsur perbuatan keganasan iaitu 34 keping gambar dan dua video secara langsung berkaitan Daesh di dalam telefon bimbit berwarna hitam jenama Samsung di parkir aras LG, Pasaraya Da'Men, Persiaran Subang Permai, dekat sini pada pukul 1.30 petang, 15 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item itu.

Dalam tempoh empat tahun ini, pihak berkuasa Malaysia telah menahan 353 orang yang disyaki mempunyai kaitan dengan organisasi keganasan, termasuk IS. Enam puluh enam daripada suspek tersebut telah dibebaskan,demikian menurut maklumat kerajaan yang dikumpulkan oleh BeritaBenar.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.