Sempadan Darat dan Udara Malaysia-Singapura Dibuka Pada 29 Nov

Pengembara dari kedua-dua negara perlu mendaftar untuk menyertai program ini dan menerima pas Laluan Perjalanan Vaksinasi.
Iskandar Zulkarnain dan Noah Lee
2021.11.24
Kuala Lumpur
Sempadan Darat dan Udara Malaysia-Singapura Dibuka Pada 29 Nov Petugas di kaunter pertanyaan Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA2 sedang memberi penerangan kepada orang awam berkaitan Prosedur Operasi Standard sebelum penerbangan mereka pada 16 Sept 2021.
[S.Mahfuz/BenarNews]

Malaysia dan Singapura akan membuka semula sempadan antarabangsa masing-masing bagi membenarkan perjalanan melalui darat dan udara kepada rakyat kedua-dua negara yang melengkapkan vaksin COVID-19 tanpa perlu menjalani kuarantin.

Perjalanan darat antara kedua-dua negara yang dipisahkan oleh Selat Johor itu dibuka secara berperingkat bermula dengan bas yang ditetapkan dan terhad kepada 1,500 individu setiap hari bagi setiap negara.

Sempadan kedua-duanya telah ditutup hampir 20 bulan susulan penularan pandemik COVID-19 pada Mac 2020.

“Kedua-dua kerajaan sedang bekerjasama bagi melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) pada 29 Nov 2021. Pelancaran VTL-Darat adalah serentak dengan VTL-Udara yang akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi kedua-dua negara.

“Selain pekerja, VTL-Darat akan membuka peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua bahagian Tambak yang telah terpisah daripada keluarga disebabkan oleh pandemik COVID-19 untuk kembali bersatu dengan insan tersayang,” menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada Rabu.

Katanya inisiatif VTL-Darat bertujuan memudahkan pergerakan rentas sempadan tanpa melalui tempoh kuarantin dengan mengintegrasi protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan Imigresen.

Kenyataan itu menjelaskan pengembara yang layak memohon VTL-Darat adalah rakyat Malaysia dan Singapura, Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka-Panjang dari kedua-dua negara.

“Individu itu mesti divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang belum diimunisasi, mereka harus ditemani ibu bapa atau penjaga lengkap dua dos vaksin.

Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian saringan COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci ditentukan oleh kerajaan negara masing-masing,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi VTL-Udara, enam penerbangan setiap hari membabitkan enam operator dijadualkan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi.

“Buat permulaan, VTL-Darat terhad kepada bas awam sebagai mekanisme pengawalan sebelum diperluas kepada mod pengangkutan lain secara berfasa.

“Pusat turun dan naik penumpang di Malaysia ditetapkan di Terminal Larkin Sentral, Johor Bahru manakala di Singapura, Terminal Queen Street akan dijadikan pusat tersebut,” katanya.

Menurut PMO, penumpang wajib mendaftar dengan agensi kerajaan di Singapura atau Malaysia sebelum membeli tiket bas.

Langkah penting hubungan dua hala

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan menyebut Tambak Johor adalah antara sempadan darat yang paling sibuk di dunia sebelum pandemik COVID-19 menjejaskan aktiviti rentas sempadan kedua-dua negara.

“Pelancaran VTL-Darat adalah langkah penting bagi menghubungkan semula rakyat kita dan ekonomi, dan akan terus memperkukuh hubungan dua hala.”

Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri Singapura, turut memaklumkan kerjasama seterusnya ialah membuka semula Laluan Kedua Tuas.

“Beserta dengan VTL di antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ini akan mempertingkat hubungan rapat sosioekonomi antara kedua-dua negara dan rakyatnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut firma OAG yang mengkaji data penerbangan, laluan antarabangsa Singapura dan Malaysia adalah yang kedua tersibuk di dunia pada 2019.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam kenyataan berasingan menyebut pihaknya meluluskan permohonan 4,124 pengembara dari Malaysia bagi VTL-Udara setakat Isnin bermula 29 Nov ini.

Daripada jumlah itu, 1,792 adalah pelawat jangka pendek manakala 2,332 pemohon lagi pemegang Pas Jangka Panjang.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura Gan Kim Yong berkata negara itu memahami ramai pekerja yang berasal dari Singapura dan Malaysia tidak dapat bertemu dengan keluarga mereka sejak beberapa bulan lepas.

“Pelancaran VTL di antara Singapura dan Malaysia akan membolehkan mereka pulang untuk bersatu kembali dengan keluarga. Kita akan memulakan VTL-Darat dalam keadaan yang selamat dan teratur supaya kita dapat mencapai peningkatan dengan lancar.

“Kami mengharapkan para pekerja yang tidak berjaya mendapatkan tiket bas untuk pulang ke rumah dalam masa terdekat memahami keadaan ini yang disebabkan oleh kapasiti terhad pada peringkat awal pelaksanaannya. Kami akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk meluaskan VTL-Darat kepada lebih ramai pengembara pada minggu-minggu akan datang,” menurutnya dalam kenyataan itu.

Pembukaan sempadan beri kelegaan

Pada Selasa, Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin memaklumkan mengenai latihan simulasi yang melibatkan pegawai kedua-dua negara bagi cadangan pembukaan VTL-Darat.

"Pegawai dari Malaysia dan Singapura sedang melaksanakan latihan bagi cadangan pembukaan VTL melalui Tambak Johor hari ini.

"Pembukaan sempadan ini amat dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua negara. Semoga berjaya," ciap Khairy di akaun Twitternya.

Keputusan Malaysia dan Singapura untuk melancarkan VTL memberi kelegaan kepada rakyat kedua-dua negara.

Seorang guru yang ingin dikenali sebagai Lizzie, 40, menyifatkan pelaksanaan VTL sebagai berita yang amat dinantikan khususnya kepada mereka yang tinggal di Johor Bahru dan berulang-alik setiap hari ke Singapura sebelum pandemik.

“Saya amat lega kerana dapat kembali bertemu dengan keluarga yang terpisah selama hampir dua tahun …Terpisah daripada keluarga untuk tempoh yang begitu lama adalah pengalaman yang agak menekan,” katanya kepada BenarNews.

Farhana Syed, 33, penduduk Johor yang berkahwin dengan warga Singapura pula berkata beliau teruja kerana anak-anaknya dapat bertemu nenek mereka di republik itu.

“Ada ahli keluarga yang langsung tidak dapat berjumpa selama hampir dua tahun, jadi ini memang berita yang sangat dinantikan,” katanya.

Farhana berkata beliau sendiri melalui pengalaman yang sukar apabila suaminya tidak dapat merentas sempadan untuk ke Malaysia selama tiga bulan di peringkat awal penularan pandemik.

“Ia adalah tempoh yang memeritkan, saya terpaksa menguruskan anak bersendirian namun kami bersyukur kerana suami akhirnya mendapat pelepasan selepas tiga bulan,” katanya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.