Krisis Migran: Pesawat Malaysia Siap Sedia Untuk Misi Menyelamat

Oleh staf BeritaBenar
2015.05.21
150521-MY-620 Aktivis Malaysia adakan bantahan di luar Kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur, 21 Mei 2015.
AFP

Malaysia meletakkan beberapa helikopter dalam keadaan siap siaga pada Khamis untuk misi menyelamat pendatang di luar pantai barat lautnya, yang sebelum itu menolak kemasukan bot pendatang dan menundanya keluar dari perairan negara berkenaan.

Dalam satu lagi langkah untuk menyekat krisis pendatang, Myanmar berkata ia akan bekerjasama untuk membendung  "pergerakan tidak teratur" orang dari wilayahnya ke negara-negara selatan.

"Kami bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan lain bagi menyelesaikan masalah berterusan ini melalui penglibatan membina dan atas dasar kemanusiaan," kata Zaw Htay, pengarah pejabat Presiden Myanmar, menurut Associated Press (AP).

Keputusan itu tidak membayangkan bahawa Myanmar akan bertanggungjawab bagi krisis itu atau menggunakan perkataan Rohingya, istilah yang tidak diperakui oleh kerajaannya, AP memetik beliau sebagai berkata.

Kenyataan itu dibuat semasa menteri-menteri luar Malaysia dan Indonesia berada di pusat pentadbiran Myanmar pada Khamis, untuk menghadiri mesyuarat berasingan mengenai isu itu.

Seorang diplomat kanan Amerika Syarikat juga mengadakan perbincangan secara berasingan dengan pegawai-pegawai kerajaan di Naypyidaw.
Timbalan Setiausaha Negara Anthony Blinken "berkongsi kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat mengenai krisis migran itu" dan menggesa Myanmar untuk bekerjasama dengan rakan-rakan serantaunya berhubung isu itu, menurut kedutaan Amerika Syarikat di Yangon.

Myanmar bersetuju "untuk mengetatkan langkah-langkah bagi mengelak pergerakan tidak teratur pendatang dari  Myanmar," kata Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan selepas Menteri Luar Retno LP Marsudi bertemu dengan Wunna Maung Lwin, rakan sejawatan beliau dari Myanmar.

Beliau bersetuju untuk menghantar pegawai-pegawai konsul melawat pendatang di Aceh, wilayah di barat laut Indonesia, yang  menerima 1,345 umat Islam Rohingya dan warga Bangladesh sejak 10 Mei lepas.

Siap Siaga

Pada  Khamis, Malaysia  mencari pendatang yang dikhuatiri terkandas di laut sejak negara jirannya,  Thailand, melancarkan tindakan keras terhadap pemerdagangan manusia awal bulan ini, selain menjaga mereka yang baru mendarat di pantainya.

Empat kapal tentera laut yang dipenuhi dengan makanan, minuman dan pakaian belayar ke Langkawi, sebuah pulau di pantai barat lautnya, di mana 1,158 pendatang telah mendarat minggu lepas, menurut agensi Berita Nasional (Bernama).

Tentera Laut juga meletakkan beberapa helikopter di Langkawi dan Perak dalam keadaan "bersiap siaga untuk menyelamatkan migran jika ada keperluan berbuat demikian," Bernama memetik Laksamana Abdul Aziz Jaafar sebagai berkata.

Sementara itu, atas permintaan kerajaan, kumpulan bantuan perubatan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Mercy Malaysia memulakan tugasnya di Pusat Tahanan Belantik di Kedah, di mana semua pendatang itu ditempatkan.

Sehari sebelum itu, Malaysia dan Indonesia mengumumkan bahawa kedua-dua negara itu akan berhenti menyekat pendaratan bot-bot asing serta menerima sehingga 7,000 migran dengan syarat masyarakat antarabangsa membantu menghantar mereka pulang atau ditempatkan semula di negara-negara ketiga dalam tempoh setahun.

Bilangan Meresahkan

Yante Ismail, jurucakap pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur, berkata agensi itu bersedia untuk membantu.

"Pada masa ini, UNHCR belum menerima jawapan rasmi daripada kerajaan yang memintanya mengambil bahagian dalam apa jua cara operasi, tetapi ia bersedia untuk berbuat demikian jika diperlukan," katanya kepada BeritaBenar.

Skala masalah itu amatlah meresahkan. Daripada 45,000 pelarian Rohingya yang berdaftar di Malaysia, hanya 2,000 ditempatkan semula di negara ketiga, menurut pengerusi Persatuan Rohingya di Malaysia, Abdul Hamid Musa Ali.

"Ini tidak termasuk 60,000 hingga 70,000 pendatang Rohingya di Malaysia yang masih tidak berdaftar dengan agensi PBB bagi Pelarian sehingga sekarang," Bernama memetik beliau sebagai berkata.

"Sejak tahun 2005, UNHCR telah memudahkan penempatan semula lebih 100,000 pelarian dari Malaysia ke negara-negara ketiga," kata Yante.
'Bawa mereka ke rumah anda'

Sementara itu, sokongan untuk Rohingya memasuki dimensi global apabila ahli-ahli politik di Eropah dan Amerika Syarikat menggesa Myanmar supaya membendung aliran pelarian.

Di Washington, para penggubal undang-undang menuntut supaya dikenakan tindakan tegas terhadap Myanmar kerana menindas  golongan minoriti, dan di Brussels, penggubal undang-undang Kesatuan Eropah menggesa Thailand untuk "menamatkan sebarang keterlibatan dengan kumpulan-kumpulan jenayah pemerdagangan  Rohingya dan pendatang lain," lapor AP.

Di Thailand, Perdana Menteri Prayuth Chan-o-cha kelihatan kecewa dengan tekanan daripada masyarakat antarabangsa, selepas negara itu tidak menyertai Malaysia dan Indonesia untuk membenarkan pendaratan bot-bot asing pada Rabu.

"Sesiapa yang menyokong idea ini (menerima orang hanyurt), silalah sumbang satu baht sehari atau bawa mereka ke rumah anda apabila kes mereka diproses," kata ketua junta itu semasa berucap di Bangkok, menurut Agence France-Presse.

"Atau anda berhijrah ke laut dan membawa mereka untuk tinggal di sini sebaliknya," katanya.

Suhana Osman di Kuala Lumpur menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.