Sidang Kemuncak Serantau Bincang Isu Aliran Pendatang

Oleh staf Berita Benar
2015.05.12
150512-MY-ROHINGYA620 Sebahagian daripada pendatang tanpa izin Bangladesh dan Myanmar yang ditahan di perairan pulau Langkawi, pada 11 Mei, 2015
Berita Benar

Malaysia dan Thailand adalah antara negara yang akan berbincang pada akhir bulan ini, dalam usaha menyelesaikan krisis pemerdagangan manusia dan masalah aliran pendatang melalui Teluk Bengal dan Selat Melaka.

“Thailand akan menjadi tuan rumah pada persidangan serantau yang akan diadakan di Bangkok,” kata kementerian luar Thailand dalam satu kenyataan pada Selasa.

Hampir 2,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar dan Bangladesh telah mendarat di Malaysia dan Indonesia dalam tempoh tiga hari lepas, dan beribu-ribu lagi mungkin berada di lautan selepas Thailand melancarkan tindakan tegas terhadap pemerdagangan manusia.

Sidang kemuncak 29 Mei

Persidangan 29 Mei di Bangkok, adalah usaha negara serantau dalam menangani isu penghijrahan pendatang tanpa izin yang semakin meningkat, sejak kebelakangan ini,” kata kenyataan itu.

Pada Isnin, pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 1,018 orang di pulau Langkawi, di luar pantai barat laut Malaysia, sehari selepas nelayan-nelayan di wilayah Aceh, Indonesia menyelamatkan ratusan lagi pendatang yang lain.

Agence France-Presse (AFP) melaporkan pada Selasa, pihak berkuasa Thailand mengatakan mereka tidak boleh membendung aliran pendatang yang membuat perjalanan laut yang sangat bahaya dari Bangladesh dan Myanmar tanpa bantuan negara serantau.

Pihak berkuasa Thailand mengakui pegawai-pegawai kanannya bersubahat dengan sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia dan beberapa orang dari mereka telah ditahan selepas penemuan banyak kubur manusia di selatan negara itu, yang dipercayai mangsa penyeludupan manusia dari Myanmar dan Bangladesh.

"Sidang kemuncak khas itu, merupakan panggilan segera bagi negara rantau ini, untuk bekerjasama dalam menangani peningkatan penghijrahan pendatang," kata kenyataan kementerian luar Thailand itu.

"Negara-negara asal, transit dan destinasi mesti bekerjasama untuk menangani masalah ini, termasuk puncanya" kata kenyataan itu.

Selain Malaysia dan Thailand, sidang kemuncak sehari itu, akan dihadiri oleh pegawai dari 15 buah negara termasuk Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Australia dan Amerika Syarikat.

Polis Thailand minta kerjasama Malaysia tangkap dalang

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand juga meminta Malaysia menangkap bekas presiden pentadbiran wilayah Satun di selatan Thailand, Pajjuban Angchotiphan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemerdagangan dan penyeludupan manusia berskala besar dari Myanmar dan Bangladesh di wilayah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Thailand, Aek Angsananont berkata beliau telah menghubungi rakan sejawatannya di Malaysia meminta bantuan memberkas Pajjuban yang juga dikenali sebagai Ko Tong serta beberapa lagi pengikutnya termasuk seorang lelaki di kenali sebagai Malay Todin, seperti laporan The Bangkok Post.

Kesemua mereka dipercayai melarikan diri dan kini bersembunyi di pulau Langkawi, Malaysia yang bersempadanan dengan Thailand.

Pada Isnin, polis Thailand telah mengeluarkan 51 waran tangkap terhadap 51 individu berhubung kes pemerdagangan dan penyeludupan manusia dari Myanmar dan Bangladesh di negara itu.

Sementara itu Kementerian Dalam Negeri Malaysia berkata negara itu, akan mengadakan perbincangan segera dengan Bangladesh dan Myanmar bagi mencari penyelesaian isu berhubung kebanjiran pendatang etnik Rohingya dan Bangladesh ke negara berkenaan.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan, Ketua Setiausaha kementerian itu, Alwi Ibrahim berkata pihaknya mendapati wujud elemen penyeludupan migran ekoran kerelaan pendatang dari kedua-dua negara berkenaan untuk datang ke Malaysia.

Selain itu pihak Thailand juga akan dibabitkan dalam perbincangan bersama Bangladesh dan Myanmar susulan kes-kes penyeludupan migran menerusi sempadan Malaysia-Thailand yang melibatkan pendatang warga Rohingya serta Bangladesh, kata laporan agensi itu.

Ramai di antara mereka yang membuat perjalanan laut merbahaya melalui Teluk Bengal datang daripada minoriti Muslim Rohingya - kumpulan terpinggir yang tinggal di barat Myanmar yang miskin dan di negara jiran Bangladesh.

Myanmar menafikan kewarganegaraan minoriti Rohingya, dan beberapa siri keganasan kaum  antara penganut Buddha tempatan dan warga Islam itu telah terjadi sejak beberapa tahun lalu.

Ramai minoriti warga Islam Rohingya telah dibunuh sehingga menyebabkan kebanyakan mereka mengambil keputusan melarikan diri, keluar dari Myanmar kerana tidak sanggup tinggal lagi di negara itu, kata kumpulan hak asasi manusia.

Sementara itu, kesemua pendatang yang ditahan di pulau Langkawi pada awal Isnin, kelihatan lemah akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi, menurut Majlis Perundingan Malaysia bagi Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (MAPIM).

Seorang pendatang etnik Rohingya yang bernama Jamal turut menceritakan kesengsaraan yang mereka hadapi di tanah air mereka serta azab yang terpaksa ditanggung sepanjang perjalanan sebelum sampai ke Malaysia, kepada sukarelawan MAPIM, Nasrun Hamzah.

“Jamal memberitahu mereka berada di dalam kapal selama empat bulan untuk menuju ke Malaysia dan setahu saya sebanyak lima orang meninggal dunia semasa perjalanan kerana perjalanan mereka mengambil masa yang lama.

“Jamal, juga dijanjikan pekerjaan di Malaysia oleh anggota sindiket pemerdagangan manusia,’’ kata Nasrun kepada Berita Benar pada Selasa.

Mati atas bot dan mayat dihumban dalam laut

Bernama pula melaporkan, seorang rakyat Bangladesh, Iqbal Hussain merupakan antara 500 pendatang yang berada di atas sebuah bot yang ditahan di perairan Langkawi pada awal Isnin, mendakwa orang yang membawa mereka sering memukul penumpang bot berkenaan dengan tali dan lebih 60 daripada mereka telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan mayat dihumban ke laut.

Katanya, mereka diberi makan tiga atau empat hari sekali dan hanya bergantung pada air hujan sebagai minuman.

Anuara Begum, 40, seorang warga Rohingya pula berkata, kematian suami dan kehilangan anak lelakinya, yang dipercayai akibat perbuatan tentera Myanmar, menyebabkannya berasa tiada lagi sebab untuk terus tinggal di negara itu.

"Suami saya dibunuh tentera Myanmar, tiga tahun lepas kerana dia enggan menjadi buruh paksa. Mereka juga mengambil anak lelaki saya dan hingga kini, saya tidak tahu nasibnya," kata wanita itu melalui jurubahasa.

Manakala Tenaganita, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak kumpulan pelarian mendakwa, berdasarkan kepada keterangan pelarian Myanmar dan Bangladesh, mereka akan dihantar ke Perak, Kedah, Pahang dan Pulau Pinang, setibanya di Malaysia, untuk bekerja.

Pengarah Tenaganita, Glorene Das dalam satu kenyataan berkata, aktiviti pemerdagangan dan penyeludupan manusia itu semakin meningkat kerana mendapat permintaan yang besar bagi tenaga buruh murah.

Manakala agensi berita Associated Press melaporkan Laksmana pertama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Tan Kok Kwee berkata agensi itu tidak akan membiarkan mana-mana bot asing menghampiri perairan negara itu.

“Kita tidak akan membiarkan mana-man bot asing memasuki perairan Malaysia," kata Tan.

“Jika bot tenggelam, agensi akan menyelamatkan mereka, tetapi jika bot didapati layak untuk berlayar serta boleh berada di laut, agensi akan menyediakan bekalan dan menyuruh mereka pulang," katanya.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian (UNHCR) Jeffrey Savage pula merayu kepada pihak berkuasa Thailand, Malaysia dan Indonesia supaya tidak menghantar pulang bot yang penuh dengan pelarian yang telah ditinggalkan oleh penyeludup manusia itu.

Beliau yang berpejabat di Jakarta itu, berkata ramai lagi pendatang terkandas di perairan antara Malaysia dan Indonesia.

"Apa yang kami dengar daripada pendatang ini, bahawa mereka telah terperangkap di laut selama beberapa minggu dan bulan dan kemudian penyeludup hanya meninggalkan mereka, dengan sedikit makanan dan air, tiada bahan api untuk enjin, jadi mereka hanyut, "katanya kepada Reuters di pantai utara Sumatera di Indonesia, di mana beberapa ratus pendatang tiba dengan bot pada Ahad lepas.

Beliau berkata, UNHCR turut memanggil suatu carian antarabangsa dan operasi menyelamat antara Laut Andaman dan Selat Melaka, terhadap “krisis kemanusiaan terbesar yang sedang berlaku".


Nani Yusof melaporkan dari Washington DC dan Hata Wahari di Kuala Lumpur

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.