SPR Umum 18 Dis Sebagai Tarikh PRN Sarawak

SPR turut menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Dis dan pengundian awal pada 14 Dis.
Noah Lee dan Hadi Azmi
2021.11.24
Kuala Lumpur
SPR Umum 18 Dis Sebagai Tarikh PRN Sarawak Seorang penunggang motosikal lalu berhampiran sepanduk kempen pilihan raya di sebuah kampung dalam negeri Melaka di Malaysia, 8 Nov 2021.
[AP]

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan pada 18 Dis depan, demikian menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan. Ia adalah PRN kedua dalam tempoh sebulan selepas Melaka.

"SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas hari ini dan memutuskan satu Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sarawak Ke-12 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 82 kerusi DUN tersebut berikutan berlakunya pembubaran DUN Sarawak Ke-11 pada 3 Nov 2021 yang lalu.

"Bagi maksud menjalankan PRU DUN Sarawak Ke-12 ini, SPR telah menetapkan tarikh penamaan calon adalah 6 Dis 2021 manakala hari mengundi awal ialah pada 14 Dis dan hari mengundi ialah pada 18 Dis," menurut Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Berdasarkan pengumuman itu, SPR memberi tempoh selama 12 hari untuk berkempen kepada semua calon dan parti politik bermula 6 Dis hingga tengah malam 17 Dis 2021. Ia membabitkan sejumlah 1.25 juta pengundi dan SPR menyasarkan 70 peratus daripada mereka akan keluar mengundi.

Pilihan raya itu diadakan susulan DUN Sarawak telah mencapai tempoh matang lima tahun pada Jun lepas. Ia ditangguhkan selepas kerajaan membuat proklamasi darurat di seluruh negara berikutan pandemik COVID-19.

Proklamasi itu kemudian dilanjutkan ke Sarawak dari 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022 bagi menghalang PRN diadakan ketika pandemik selepas mengambil kira penularan mendadak kes COVID-19 ekoran pelaksanaan PRN Sabah pada September 2020.

Bagaimanapun, darurat itu ditamatkan lebih awal apabila Yang di-Pertuan Agong pada 3 Nov memberi perkenan selepas menerima nasihat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan permintaan daripada Kerajaan Negeri Sarawak.

Tarikh pilihan raya dikecam

Pengumuman SPR itu bagaimanapun menerima kritikan Parti Ikatan Demokratik Malaysia, sebuah organisasi politik dikenali sebagai MUDA yang memfokus kepada golongan belia.

Parti itu menyelar tindakan mengadakan PRN Sarawak dua minggu sebelum belia berusia antara 18 dan 21 tahun dimasukkan ke dalam senarai pemilih berdaftar yang layak mengundi.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuching di Sarawak mengarahkan Kerajaan Persekutuan supaya melaksanakan penurunan had umur mengundi sebelum 31 Dis 2021 bersama dengan pendaftaran pengundi secara automatik.

MUDA adalah antara pihak yang bertungkus-lumus memperjuang had umur mengundi diturunkan. Pindaan Perlembagaan yang dibuat di Parlimen pada Julai 2019 berhubung Undi 18 berkuat kuasa mulai Januari 2022.

"Ini sangat tidak adil kepada pengundi muda di Sarawak," kata Naib Presiden MUDA Thanussha Francis Xavier yang juga pengasas bersama parti itu.

Sehari sebelum pengumuman SPR, sayap MUDA di Sarawak telah menghantar surat menggesa suruhanjaya itu menetapkan tarikh PRN Sarawak pada 2 Jan 2022 bagi membolehkan pengundi muda mengambil bahagian.

"Jawatankuasa Sementara Eksekutif Negeri MUDA Sarawak ingin memohon kepada SPR agar menetapkan tarikh pembuangan undi bagi PRN Sarawak pada 2 Jan setelah Undi18 dilaksanakan," kata pengerusi MUDA Sarawak Jeffery Ngui dalam surat kepada SPR yang dilihat oleh BenarNews.

"Jika pilihan raya diadakan sebelum terlaksananya Undi 18, ini seolah-olah menidakkan hak 135,000 pengundi baharu untuk menjalankan tugas demokrasi mereka dan akan menyebabkan mereka perlu menunggu lima tahun lagi untuk mengambil bahagian dalam mengundi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pilihan mereka,” katanya.

Tiada tentangan sengit

Sementara itu, penganalisis politik menjangkakan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menerajui pentadbiran negeri tidak akan menerima tentangan sengit dalam PRN bulan depan.

Azmi Hassan, seorang pakar strategi geopolitik, berkata GPS mempunyai rekod baik dalam mentadbir Sarawak dan mereka juga berdepan parti pembangkang yang mempunyai masalah pergolakan dalaman.

"Walaupun GPS tidak pernah diuji dalam pilihan raya, ujian mereka dalam mentadbir negeri Sarawak amat dibanggakan. Saya pasti ini dihargai pengundi Sarawak. Sebab itu saya berpendapat GPS, sebagai gabungan parti politik, mempunyai peluang yang cerah untuk mengekalkan kerajaan pimpinan mereka kerana pembangkang termasuk DAP [Parti Tindakan Demokratik] sedang bergolak terutama selepas apa yang berlaku di Sabah baru-baru ini.

"PKR [Parti Keadilan Rakyat] juga bergolak beberapa bulan lepas apabila orang kuat mereka keluar daripada parti. Jadi dalam hal ini, kita congak-congak, berkemungkinan GPS tidak mempunyai masalah yang besar dalam mengekalkan kerajaan negeri," katanya kepada BenarNews.

Azmi, yang bersara sebagai ahli akademik, berkata PKR juga dijangka berdepan masalah melawan GPS selepas parti pimpinan Anwar Ibrahim itu mengalami kekalahan teruk pada PRN Melaka.

Beliau merujuk kekalahan PKR di kesemua 11 kerusi yang ditandingi parti itu di Melaka. Dua lagi parti dalam gabungan Pakatan Harapan iaitu DAP dan Parti Amanah Negara pula masing-masing memperoleh lima dan satu kerusi. Keputusan itu jauh lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 apabila gabungan tersebut berjaya memenangi 15 kerusi dan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

PRN Melaka menyaksikan Barisan Nasional kembali mentadbir negeri itu dengan mandat lebih besar apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Menurut Azmi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia [Bersatu] pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang hanya memenangi dua kerusi di Melaka, juga dijangka tidak dapat memaksa GPS untuk memberikan mereka kerusi untuk ditandingi.

James Chin, penganalisis dari Universiti Tasmania, pula berpendapat keputusan PRN Melaka tidak mempunyai kesan terhadap pemilihan di Sarawak.

Menurut beliau, landskap politik di negeri itu jauh berbeza berbanding di Semenanjung.

"PRN Sarawak adalah lebih tertumpu kepada isu setempat serta personaliti," katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata GPS mungkin memenangi PRN itu untuk terus menerajui Sarawak.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.