TMI Dan Malaysia Today Diarah Bawa Turun Lapan Laporan Berita
2018.02.16
Kuala Lumpur

Suruhanjaya yang mengawal selia media Malaysia telah mengarahkan dua portal berita mengeluarkan lapan artikel yang didakwa mengganggu ketenteraman awam termasuk berita mengenai isteri Peguam Negara yang mengganggu urusan Jabatan Peguam Negara sebelum petang Jumaat.
Kedua-dua laman berita tersebut, The Malaysian Insight (TMI) dan Malaysia Today (MT) telah mematuhi arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum 4 petang Jumaat seperti yang diarahkan oleh suruhanjaya itu.
Pada Khamis, SKMM melalui surat rasmi oleh Unit Media Baru telah mengarahkan kedua-dua portal berita itu supaya mengeluarkan lapan artikel, tujuh dari TMI dan satu dari Malaysia Today, kerana didakwa melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Seksyen tersebut membolehkan tindakan penguasaan terhadap mana-mana kandungan yang dianggap buruk di Internet iaitu, “penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain” yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Ketua Pengarang TMI, Jahabar Saddiq mengesahkan telah menerima surat suruhanjaya itu dan memberitahu portal itu telah melaksanakan arahan suruhanjaya tersebut.
“Ya, saya mengesahkan telah menerima surat dari SKMM untuk mengeluarkan beberapa artikel di dalam portal berita TMI,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.
Jahabar bagaimanapun enggan menyatakan tajuk artikel yang dikeluarkan tetapi memberitahu, kebanyakan artikel tersebut adalah surat pendapat dari pembaca portal itu.
Manakala MT pula mengambil tindakan lebih terbuka dengan menyiarkan surat yang dihantar oleh suruhanjaya itu serta menyatakan artikel yang dikeluarkan itu bertajuk “First Lady AGC Walking The Path of Grace Mugabe” yang disiarkan pada 11 Februari tahun ini.
“Artikel itu telah dikeluarkan pada 8 malam pada hari Khamis, Februari 15, 2018,” menurut MT dalam artikel yang disiarkan pada Jumaat.
Menurut surat yang disiarkan MT, suruhanjaya itu telah menerima aduan orang awam berhubung satu artikel yang diterbitkan di portal berita itu, dan berlandaskan penelitiannya, suruhanjaya itu mendapati artikel itu menyalahi peruntukan di bawah seksyen tersebut.
“Sehubungan itu, pihak tuan dengan ini diminta untuk mengeluarkan artikel yang dinyatakan di atas, sebelum jam 4.00 petang (waktu Malaysia) Jumaat 16 Februari 2018,” menurut surat tersebut.
Suruhanjaya itu juga meminta kedua-dua portal berita tersebut agar lebih prihatin dan memastikan tidak menerbitkan artikel-artikel yang menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang Malaysia.
Artikel MT itu merujuk kepada individu bernama Faridah Begum, isteri Peguam Negara Mohamed Apandi Ali, yang sebelum ini membuat laporan polis terhadap Malaysia Today yang telah menyiarkan berita bahawa beliau telah mengganggu urusan pentadbiran Jabatan Peguam Negara. Farida juga merupakan kakak kepada Jahabar dari TMI.
Faridah sebelum ini mengesahkan telah membuat laporan polis terhadap pemilik blog MT Raja Petra Kamaruddin kerana tohmahan dalam artikel yang disiarkan itu.
SKMM pada 12 Disember tahun lalu telah menyiasat TMI berhubung rencana pengarang berkaitan siasatan Suruhanjaya DiRaja (RCI) mengenai kerugian urusan tukaran asing Bank Negara pada tahun 1990-an, bertajuk "A sham of RCI" yang diterbitkan pada 1 Disember 2017.
Lima eksekutif TMI, termasuk Jahabar diarah tampil memberi keterangan.
SKMM dalam satu kenyataan menyatakan siasatan sedang dijalankan terhadap portal berita itu berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai.
“SKMM menggesa agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang untuk siasatan yang adil dan saksama dijalankan.
“SKMM dalam pada itu akan memanggil editor, pengarah dan individu lain yang terlibat untuk sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan,” petik kenyataan pada ketika itu.
The Malaysian Insight dahulu dikenali sebagai The Malaysian Insider, yang telah tamat operasi pada Mac tahun lalu selepas sekatan kerajaan terhadap laman web itu yang memburukkan lagi masalah kewangannya.
Kerajaan Malaysia pada 25 Februari, 2016 telah menyekat akses kepada The Malaysian Insider, sehari selepas portal itu menerbitkan laporan yang mengatakan terdapat bukti yang boleh dipercayai untuk mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pada bulan Januari tahun lalu, Peguam Negara Apandi telah membebaskan Najib daripada dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan deposit AS$681 juta ke dalam akaun bank persendiriannya semasa berlangsung pilihanraya umum 2013. Najib telah mengekalkan bahawa beliau tidak pernah mengambil wang untuk keuntungan peribadi.
The Edge Media Group yang memiliki portal tertutup itu pada ketika itu berkata ia tidak dapat lagi mengekalkan portal itu setelah mengalami kerugian sebanyak 10 juta ringgit (AS$2.4 million) sejak membeli laman web itu pada bulan Jun 2014.