Sultan Muhammad V Lafaz Sumpah Yang Di-Pertuan Agong Ke-15 Malaysia

Shuman Vasu
2016.12.13
Kuala Lumpur
161213-MY-king-620.jpg Sultan Muhammad V, berangkat ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur untuk melafaz sumpah bagi memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 di upacara penuh beristiadat, Dis. 13, 2016.
AFP

Malaysia menyaksikan Yang di-Pertuan Agong yang baru pada Selasa apabila Sultan Kelantan Sultan Muhammad V melafaz sumpah untuk memegang jawatan itu dalam satu upacara penuh beristiadat di Istana Negara.

Pelantikan baginda turut disertai oleh lafaz sumpah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dalam satu upacara yang disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen nasional negara itu.

Sultan Muhammad V, yang berusia 47 tahun, menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Isnin.

Kedua-dua Sultan Muhammad V dan Sultan Nazrin Shah dipilih bagi tempoh lima tahun bermula Selasa pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt lepas.

Malaysia menggunakan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja dengan tempoh takhta selama lima tahun bagi setiap Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Sultan Muhammad V menaiki takhta sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada September 13, 2010 dan telah pertama ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 6, 1985.

Baginda memegang jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong sejak bulan Oktober 2011, sehingga pelantikannya sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.

Dengan penobatan Sultan Muhammad V pada Selasa, rakyat negeri Kelantan akan melihat seorang raja daripada negeri mereka sebagai Yang di-Pertuan Agong setelah 37 tahun.

Sultan Muhammad V adalah gelaran untuk Tengku Muhammad Faris Petra, 47, yang merupakan anak sulung daripada empat beradik kepada Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis Abdul Hamid.

Upacara di Istana Negara pada Selasa menyaksikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-244 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh Sultan Muhammad V dan Sultan Nazrin Shah.

Sultan Muhammad V, berangkat turun untuk menerima ketibaannya, sebelum upacara penabalannya sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ke-15 yang penuh beristiadat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Perdana Menteri Najib Razak turut hadir, Dis. 13, 2016. [AFP]

Pemimpin berjiwa rakyat

Sultan Muhammad V sering dipuji sebagai pemerintah berjiwa rakyat dan prihatin dengan kebajikan rakyat jelata, termasuk kebajikan Orang Asli di kawasan pedalaman seperti Gua Musang dan Jeli di Kelantan.

Sultan Muhammad V juga sering terlibat dalam kerja sosial dan sebagai penaung Yayasan Sultan Kelantan, baginda menolong golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, golongan miskin dan golongan kurang upaya.

Baginda juga ialah seorang yang amat mementingkan hal ehwal agama Islam di Kelantan dan memelihara kebajikan masjid masjid di negeri itu, menurut laporan.

Selain Perdana Menteri Najib Razak, turut hadir dalam upacara itu adalah Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri, barisan menteri-menteri kabinet Malaysia, anggota parlimen serta pegawai tinggi kerajaan negara itu.

Jemputan Mahathir ditarik balik

Pada Dis. 7, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan menghantar surat kepada bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan isterinya Siti Hasmah Mohd Ali memaklumkan keputusan menarik balik jemputan ke majlis upacara di Istana Negara pada Selasa.

Surat yang ditandatangani Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Syed Danial Syed Ahmad antara lain menjelaskan pembatalan itu berlaku kerana pihaknya tidak dapat menyediakan tempat untuk Mahathir dan isterinya di upacara itu.

Mahathir yang merupakan pengkritik paling lantang terhadap pentadbiran Najib dalam satu respon dalam blognya memberitahu beliau sebelum ini bersetuju memenuhi jemputan itu kerana menganggap upacara itu tiada kena mengena dengan politik.

“Rupa-rupanya acara negara adalah sebahagian daripada politik parti,” kata Mahathir yang juga pengerusi parti baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Pakar Perlembagaan Malaysia Prof Dr. Aziz Bari ketika ditanya sama ada pelantikan Sultan Muhammad V yang berjiwa rakyat boleh berbuat sesuatu mengenai keluhan rakyat kepada pentadbiran Najib, beliau berkata adalah terlalu awal meramalkan perkara itu.

“YDPA terakhir yang tegas adalah Sultan Mizan dari negeri Terengganu yang menerima memorandum Bersih pada masa itu. Jika YDPA yang baru ini tegas, mungkin lima tahun adalah terlalu singkat untuk melakukan perubahan,” katanya.

Katanya, Sultan Muhammad V kekal sebagai simbol ketua negara tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan jika baginda akan mampu berbuat sesuatu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.