Peguam Syarikat Pemaju Antara Dalang Rusuhan Kuil
2018.11.28
Kuala Lumpur

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu telah menahan seorang peguam bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya sehingga menyebabkan lapan orang cedera dengan berpuluh lagi kenderaan musnah dalam kebakaran.
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor mengesahkan mengenai penahanan peguam yang dilantik oleh syarikat pemaju One City Development dalam mengendalikan proses pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman itu.
“Hanya seorang peguam yang ditahan bukan dua. Seorang lagi adalah rakannya,” kata Mazlan kepada pemberita bila ditanya tentang berita penahanan tersebut.
Tambahnya lagi peguam tersebut dan rakannya itu, kini telah disambung tahanan reman sehingga Sabtu, selepas tempoh reman terdahulu telah tamat pada Rabu.
Ketua Polis Negeri itu juga memaklumkan setakat ini, seramai 30 orang telah ditahan berhubung kejadian rusuhan yang tercetus Isnin lepas.
Pada awal kejadian pihak Polis telah menahan 17 orang tetapi jumlah itu telah meningkat sehingga 30 orang menjelang Rabu dengan pihak berkuasa negara menjangka berlaku peningkatan kerana lebih banyak lagi tangkapan akan dibuat selepas ini.
“Sehingga kini seramai 24 orang Melayu, seorang berbangsa Tionghua, dua dari keturunan India Muslim dan tiga berbangsa India telah ditahan dan berada dalam tahanan reman,” kata Mazlan sambil menambah kesemua yang direman disiasat dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Beliau berkata polis juga sedang merekodkan keterangan dari syarikat pemaju One City Development berkenaan kejadian tersebut.
‘Dibayar’
Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam satu sidang akhbar di Putrajaya pada awal Rabu berkata peguam yang ditahan polis pada Isnin dipercayai menjadi dalang dalam kejadian rusuhan itu dan beliau dipercayai telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil hindu berkenaan.
Katanya mereka yang diupah itu menerima bayaran antara RM150 (AS$35.71) dan RM300(AS $71.43) setiap orang.
“Siasatan polis mendapati peguam berkenaan telah membayar kepada kumpulan lelaki tersebut untuk melakukan pencerobohan dalam kawasan kuil berkenaan dan mengawasinya dari jauh sebelum ketibaan polis pada pagi 26 November.
“Siasatan juga menunjukkan sebanyak RM150,000 (AS$35,714) telah diserahkan kepada ketua kumpulan itu untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan. Hampir 50 orang telah dibayar antara RM150 dan RM300 setiap seorang untuk melakukan kerja-kerja itu,” kata Muhyiddin.
Beliau turut berkata pencerobohan tersebut adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan melanggari undang-undang sehingga mendatangkan kemarahan penganut agama hindu yang berada di kawasan berkenaan sehingga mencetuskan huru hara dan kerosakan harta benda.
“Jika pencerobohan itu tidak terjadi, saya tidak rasa huru hara akan berlaku,” kata Muhyiddin sambil menegaskan bahawa kejadian di kuil itu tidak berkaitan dengan isu perkauman.
“Komuniti yang berbilang bangsa dan agama di Malaysia sudah hidup aman dan harmoni sejak lama dulu. Isu ini adalah antara pemaju dan juga pihak pengurusan kuil berhubung isu hakmilik tanah. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan mengikut saluran undang-undang. Saya juga berharap bahawa tiada orang akan memanipulasi isu ini sehingga boleh mengundang ketegangan di antara kaum di negara ini,” tambah beliau.
Kuil Sri Maha Mariamman terletak di atas tapak tanah persendirian yang dimiliki oleh One City Development. Empat tahun lepas, mahkamah telah membuat keputusan yang memihak kepada One City dan mengarahkan kuil itu dipindahkan dua batu jauhnya dari kedudukan sekarang.
Sementara itu Perdana Menteri Mahathir Mohamad selepas melawat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Muhammad Adib Mohd Kassim yang berada dalam kritikal dan dirawat di Institut Jantung Negara selepas cedera dipercayai dipukul semasa rusuhan di kuil berkenaan berkata satu siasatan terperinci telah dijalankan bagi mencari mereka yang bertanggungjawab mendatangkan kecederaan terhadap anggota berkenaan.
Beliau berkata individu yang mendatangkan kecederaan itu mempunyai niat untuk membunuh.
Adib mengalami kecederaan parah di dada dan patah tulang rusuk semasa kejadian itu, sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi di Subang Jaya Medical Centre (SJMC) sebelum dipindahkan ke IJN di Kuala Lumpur pada Selasa dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kita sedang melakukan siasatan. Kita tidak punya banyak bukti tetapi polis akan menyiasat untuk mencari pelaku yang melakukan tindakan itu,” tambah Perdana Menteri Malaysia berkenaan.
Mahathir seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama dipetik sebagai berkata “Kita boleh ada demonstrasi tapi mestilah secara aman… ini bukan demonstrasi. Ini adalah sesuatu untuk membunuh orang dan mereka datang dengan parang dan segala senjata,”
Beliau juga berkata, tindakan mengupah orang Melayu mengawal kuil adalah satu perbuatan tanpa berfikir dan tindakan mengupah orang asing dalam situasi itu juga tidak membantu kerana mereka tidak memahami budaya Malaysia.
Dalam video yang dilihat oleh BeritaBenar, Mahathir turut berkata hura-hara tidak akan terjadi jika individu di kuil tersebut tidak bertindak sendirian dan segera menghubungi polis.
“Bila orang India nampak Melayu masuk ke dalam kuil, mereka ambil tindakan. Mereka sepatutnya melaporkan bahawa kuil mereka telah diceroboh terlebih dahulu, tetapi mereka tidak melakukannya dan mengambil tindakan sebaliknya sehingga menyebabkan tercetusnya huru-hara,” katanya.
Dalam pada itu, One City Development dalam kenyataan media terkininya menegaskan bahawa syarikat itu tidak pernah mengupah atau menggunakan samseng hingga mencetuskan kekacauan seperti yang dilaporkan sebelum ini.
“Mereka yang berada di tempat kejadian diarahkan untuk memberikan bantuan logistik dan membantu proses pemindahan kuil itu semasa dalam pemerhatian polis. One City akan bekerjasama dengan pihak polis dalam kes ini,” kenyataan itu berkata.
Sebanyak 61 peratus dari 32.4 juta rakyat Malaysia menganuti Islam manakala 1.6 juta menganuti agama Hindu.